Khabarnya alumni yang julung kali akan diadakan ini akan menghimpunkan hampir keseluruhan rakan-rakan sepengajian. Sudah tentulah banyak cerita yang akan dikongsi dan diluahkan. Namun dalam keseronokan tersebut, terpalit sedikit rasa sedih tentang khabar kawan-kawan yang terlebih dahulu dijemput Ilahi.

“Allah lebih sayangkan mereka,” bisik hati Ila. Ternyata rasa seronok dan teruja untuk turut serta dalam majlis alumni yang akan diadakan tidak lama lagi itu, secara tidak langsung mengimbas kembali nostalgia lama. Maklumlah ketika itu masing-masing muda remaja.

Yang pasti, antara Ila dan Haziq ada cerita lama yang mereka simpan. Cinta dan jodoh yang tidak kesampaian, membuatkan mereka reda dengan takdir yang Allah tentukan buat mereka. Saat putusnya cinta antara mereka berdua adalah saat yang paling mengguris hati Ila.

Mana tidaknya, tatkala Haziq berterus terang mengatakan bahawa pada sangkaannya, Ila menganggapnya sekadar kawan rapat, membuatkan dia tidak berani untuk meluahkan perasaannya. Lalu dia mencari seseorang untuk dijadikan teman istimewanya.

Di pihak Ila pula mengharapkan Haziq akan memulakannya terlebih dahulu dan terus menanti, sehinggalah Ila akhirnya terpaksa beralah lalu berterus terang bertanyakan perasaan Haziq kepadanya. Sudah tentulah jawapan Haziq itu benar-benar membuatkan Ila terkilan.

Namun mereka berjanji untuk terus berkawan rapat sekalipun masing-masing sudah berumah tangga kelak. Ila akur, jodohnya untuk bersama Haziq tidak kesampaian. Il acuba menerima hakikat, Allah telah memberikannya yang mungkin lebih baik daripada Haziq untuk dia terus melayari bahtera kehidupannya.

Kini lebih 10 tahun berlalu. Cerita lama itu bertandang kembali mengusik hati Ila. “Astaghfirullahala’zim,” Ila cepat-cepat mengucap panjang. Dia tahu tidak wajar sama sekali dia menyimpan lagi perasaan cinta kepada Haziq.

Hari yang dinantikan tiba. Malam itu masing-masing memperkenalkan keluarga masing-masing. Saling bertukar pengalaman dan cerita dan tidak kurang juga saling usik-mengusik melihat perubahan diri. Ternyata malam pertemuan itu sukar untuk dilupakan. Haziq dan Ila pula saling bertukar nombor telefon.

Tapi Haziq malam itu dia datang bersendirian. Tiada anak dan tiada isteri yang dibawa bersama. Ditanya mana orang rumah, Haziq hanya menunduk. Seakan cuba menahan sebak. “Dia selamat di ‘sana’,”ujar Haziq. Haziq menceritakan segala-galanya kepada Ila seperti mana pada zaman universiti dahulu. Ila pula mendengar tekun dengan harapan kesedihan yang dialami Haziq beransur reda.

Sejak dari itu, Haziq selalu menghubungi Ila. Dan ada kalanya bila ada waktu terluang, mereka akan keluar makan tengah hari bersama dan Haziq akan mengambil serta menghantar Ila di pejabatnya.

Hal ini berlarutan sejak enam bulan yang lalu. Dalam tempoh itu banyak cerita dan luahan perasaan yang dikongsi. Seperti biasa Ila akan menjadi pendengar yang setia. Namun Allah kembali menguji hubungan mereka. Haziq seakan menaruh harapan agar Ila kembali kepadanya sekalipun tahu Ila punya suami dan anak.

Di pihak Ila pula, ada kala imannya juga goyah. Cinta lamanya membuatkan dia serba salah. Dia sayangkan suami dan anak-anaknya dan tidak mungkin membiarkan keluarga bahagia yang telah dibina runtuh begitu sahaja.

Bagaimanapun syaitan mula berbisik di hati kecilnya, inilah masanya untuk dia ‘bersatu’ kembali dengan ‘buah hatinya’. Bina hidup baharu bersama kekasih yang dahulunya tidak kesampaian. Ternyata Ila bingung apakah yang harus dilakukannya?