Apabila kalut menguasai diri, banyak tindakan tidak waras boleh berlaku dan sudah pasti menjadi sesalan empunya badan kemudian hari. Oleh itu, sikap tenang wajib dimiliki oleh setiap Muslim.

Pernah suatu hari, seorang sahabat nabi bernama Asyajj ‘Abdul Qays (nama sebenarnya al-Mundhir bin al-Harith r.a.) masuk bertemu Baginda bersama kaumnya. Melihat sifat tenang nan anggun yang beliau pamerkan, Rasulullah lantas memujinya:

“Sesungguhnya ada dua kualiti (sifat) pada kamu yang Allah cintai iaitu sifat sopan santun (bijak dalam bertindak) dan tenang (tidak gopoh atau meneliti sebelum bertindak),” - Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Tirmizi.

Subhanallah! Allah cinta sikap tenang Asyajj. Seolah-olah boleh kita katakan, sesiapa sahaja yang tenang sangat disukai Allah. Mengapa Allah suka sifat tenang? Hamba yang tenang sukar terjerumus dalam kesilapan emosi yang didorong oleh ketidakwarasan berfikir.

Orang yang tenang tidak bertindak kecuali selepas lama berfikir dan melihat segala sudut baik atau buruk. Lidah atau jari jemarinya tidak cepat menutur kata (di alam nyata atau alam maya dalam media sosial) sebelum dinilai dosa pahalanya. Bicara dan tindakan mereka dilihat dalam neraca manfaat dan bahagia. Geraknya hanya mencari pahala dan membahagiakan orang.

Jika kita telusuri dalam al-Quran ketenangan adalah antara anugerah berharga dambaan orang beriman. Sifat ini banyak menjadi sebab kemenangan umat Islam antaranya:

1. Rasulullah dan Sayidina Abu Bakar r.a. diberi ketenangan dalam Gua Thur ketika diburu musuh dalam peristiwa hijrah:

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad SAW) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad SAW) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana,” (al-Tawbah 9:40).

2. Umat Islam dibantu dengan ketenangan ketika diserang hendap kafir Hawazin dalam perang Hunain:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak perang dan dalam perang Hunain, iaitu semasa kamu berasa megah kerana jumlah kamu yang ramai; maka jumlah yang ramai itu tidak memberi faedah kepada kamu sedikit pun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang beriman. Allah juga menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya serta Dia menyeksa orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang yang kafir,” (al-Tawbah 9:25-26).

Tambah menarik perhatian adalah gandingan sifat tenang dan bantuan malaikat yang disebut dalam kedua-dua ayat di atas. Seolah-olah Allah mahu kita tahu ketenangan adalah sifat terpuji yang disukai malaikat manakala sifat kalut serba gopoh senang menjerumuskan hamba dalam perangkap syaitan sebagaimana disebut sebuah hadis:

“Sifat tenang itu berpunca daripada Allah (disukai), manakala sifat kalut (gopoh) berpunca daripada hasutan syaitan,” (Sunan Tirmizi, hadis ini dinilai lemah ringan oleh para ulama hadis kerana kelemahan ingatan seorang perawinya).

3. Ketenangan luar biasa Rasulullah dan para sahabat ketika berhadapan sikap kurang ajar wakil Musyrikin Quraish dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyah:

“(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) - perasaan sombong angkuh secara jahiliah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah turunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada kalimah takwa, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang yang sangat berhak dengan kalimah takwa itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu,” (al-Fath 48:26).

IBRAH PERJANJIAN HUDAIBIYAH

Dalam peristiwa Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah, umat Islam pada awalnya berhasrat masuk ke Mekah untuk menunaikan umrah, namun mereka dihalang di Hudaibiyah.

Sikap wakil Quraysh yang berunding dengan Rasulullah sangat provokatif dan kurang ajar. Jika bukan kerana sifat tenang Rasulullah dan para sahabat, perang pasti tercetus.

Pada awalnya perjanjian Hudaibiyah kelihatan merugikan umat Islam sehingga menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati sahabat, namun ketenangan dan kebijaksanaan Rasulullah menerima beberapa syarat perjanjian menjadi sebab kemenangan kemudian hari untuk Islam.

Contohnya, dalam peristiwa Hudaibiyah umat Islam yang menyertai Rasulullah ke Mekah cuma 1,400 orang. Selepas pihak Musyrikin Mekah melanggar syarat perjanjian, Rasulullah menggempur dan membuka kota Mekah pada tahun kelapan Hijrah dengan 10,000 tentera. Dalam masa hampir tiga tahun sahaja jumlah umat Islam bertambah berlipat kali ganda. Ini antara ‘buah berzat’ dan ‘testimoni saintifik’ daripada sikap tenang.

Pengajaran penting untuk umat Islam Malaysia dalam topik ini adalah kita perlu sentiasa tenang. Jiwailah ajaran Islam dan jangan terlalu gopoh bertindak ketika menangani sebarang isu yang melanda. Keamanan Malaysia yang sudah sekian lama dinikmati usah dicalar-balar dengan kegopohan.

Tidak berbaloi jika ia hilang kerana sikap gopoh sesetengah warga. Kalut lagi gopoh bertindak tanpa neraca fikir yang waras boleh memangsakan orang tidak bersalah. Biarlah dikata lembab bertindak berbanding dilihat gagah melibas kata atau menghayun senjata tapi menjadi sesalan tak sudah kemudian hari. Hadam betul-betul kepentingan bersikap tenang kerana tenang itu menang!