Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jumuah: 10: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."

Imam al-Baghawi berkata: "Iaitu apabila telah selesai daripada solat, maka bertebaranlah di muka bumi untuk melakukan perniagaan dan menyelesaikan urusan-urusan kamu." (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/123)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Miqdam r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang itu, lebih baik daripada dia memakan makanan yang hasil daripada usaha tangannya sendiri dan sesungguhnya adalah Nabi Allah Daud a.s memakan makanan yang hasil daripada usaha tangannya sendiri.” - Riwayat Bukhari (2072).

Nabi SAW sendiri pernah terlibat dalam bidang perniagaan. Malah sahabat-sahabat besar Baginda sendiri turut terlibat dalam dunia perniagaan seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf.

Meskipun begitu, perniagaan yang dilakukan hendaklah mengikut garis-garis dan etika perniagaan ditetapkan oleh Islam. Usaha yang dilakukan hendaklah dipastikan tidak melanggar batas-batas syariat.

Antaranya peniaga diminta supaya tidak melibatkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada mensyirikkan Allah SWT dalam usaha meraih rezeki dan keuntungan dalam perniagaan.

HUKUM MENGGUNAKAN PELARIS

  • Meletakkan benda-benda fizikal sebagai pelaris bagi menarik pelanggan dan melariskan perniagaan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
  • Pergantungan seseorang akan beralih kepada pelaris, bukannya kepada Allah SWT. Ia adalah satu amalan khurafat yang boleh membawa kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah SWT.
  • Dalam Islam, perbincangan berkenaan hal ini sering dikaitkan dengan al-Tamimah (tangkal). Meletakkan benda-benda fizikal tersebut di premis perniagaan dengan harapan dapat menarik pelanggan dan melariskan perniagaan termasuk dalam perkara menggunakan tangkal.
  • Islam melarang sebarang penggunaan tangkal. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan tiwalah itu adalah syirik.” - Riwayat Imam Ahmad (3615), Abu Daud (3883) dan Ibnu Majah (3530)
  • Imam al-Munawi berkata: "Menggunakan tangkal dianggap syirik kerana bererti seseorang itu meyakini ia dapat memberi pengaruh (ta’thir) dan ini boleh membawa syirik kepada Allah."
  • Al-Tibi pula berkata: "Maksud syirik pada hadis di atas adalah apabila seseorang meyakini bahawa ia (jampi, tangkal dan tiwalah) mempunyai kekuatan dan mampu memberi kesan (dalam mempengaruhi/mengubah sesuatu) dan perkara tersebut adalah jelas bertentangan dengan tawakal kepada Allah." (Lihat Faidh al-Qadir, 6/121)
  • Dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang menggantungkan tangkal, nescaya Allah SWT tidak akan selamatkannya daripada tangkal itu. Dan siapa yang memakai azimat, nescaya Allah SWT tidak sempurnakan azimat itu.” - Riwayat Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20090), Al-Hakim dalam al-Mustadrak (7501) dan Ibn Hibban (6096)
  • Syeikh ‘Atiyyah Saqar dalam fatwanya pernah menyebut: “Sesiapa yang mempercayai sesuatu khurafat seperti kayu kokka (sebagai tangkal pelindung yang) dapat menghindarkan syaitan dan iblis, memurahkan rezeki dan menyembuhkan penyakit, ia adalah pelaku syirik kerana segala itu adalah hak Allah SWT semata-mata.”

HANYA ALLAH PEMBERI REZEKI

Sesungguhnya bukanlah dengan meletakkan objek tertentu yang dapat menarik keuntungan berkali ganda. Tetapi ia dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kerja keras serta sifat takwa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq: 2-3: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

Ibn Kathir berkata: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Iaitu dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/31)

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Allah SWT dan berusahalah dengan cara yang baik! Sesungguhnya satu jiwa itu tidak akan mati sehingga rezekinya diberikan secara sempurna, walaupun lambat. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan berusahalah dengan cara yang baik! Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.” - Riwayat Ibnu Majah (2144)

KESIMPULAN

Meletakkan benda-benda fizikal seperti beras, syiling, garam dan sebagainya sebagai amalan pelaris untuk menarik pelanggan adalah termasuk dalam perkara-perkara khurafat dan boleh mensyirikkan Allah SWT.

Hindarilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik dalam usaha kita mencari rezeki yang berkat. Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik, lazimi dan amalkan ayat-ayat Quran, di samping bermohon kepada Allah agar dikurniakan rezeki serta keuntungan berganda dalam perniagaan.

Kami juga mengesyorkan supaya perbanyak beristighfar memohon ampun kepada-Nya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya),” (Surah Nuh: 10-12)

Semoga kita sentiasa diberi petunjuk dalam mengamalkan ajaran-ajaran Islam yang sebenarnya serta dijauhkan daripada kebatilan dan saya juga berdoa agar Allah kurniakan kepada kita rezeki yang halal dan dimurahkan serta diberkati-Nya. Amin!

Ketahui lebih lanjut mengenai Irsyad Fatwa ini dalam: http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2676-irsyad-al-fatwa-siri-ke-257-hukum-amalan-pelaris-oleh-peniaga.