Situasinya sangat berbeza dengan hasutan syaitan dalam diri. Bisikannya jauh lebih bahaya sehingga mampu mengundang murka Allah seperti dosa rasuah, zina, dusta dan bunuh.

Oleh itu, silap faham antara ‘takut hantu atau takut dosa’ perlu diperbetul agar tiada lagi Muslim tersalah menyangka tingkap sebagai pintu. Bahkan ‘lambakan cerita hantu’ juga antara produk syaitan yang mahu kita lebih takutkan makhluk berbanding takutkan Khaliq (Tuhan Yang Maha Pencipta).

Bagi menyedarkan para pembaca agar lebih risaukan jerangkap samar dosa dipasang syaitan, berikut beberapa panduan diberikan al-Quran:

1. Perangkap halal dan haram dalam makanan

“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Dia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya),” (al-Baqarah 2:168-169).

Awasi aspek makan dan minum agar tidak terjerumus dalam rasa ‘kalis haram’ walaupun sekecil nilai 10 sen atau masa sesingkat lima minit. Ingat! Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Haram yang sedikit boleh jadi haram yang banyak jika tidak dibendung.

2. Perangkap menerima Islam secara berjuzuk sahaja

“Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan. sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu,” (al-Baqarah 2:208).

Terimalah Islam secara total, bukan selektif yang bersesuaian dengan nafsu kita. Islam umpama antibiotik yang perlu disempurnakan dosnya demi memberi kesan positif menyeluruh.

3. Perangkap mengubah ciptaan Allah

“Dan demi sesungguhnya, aku akan sesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdaya mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata,” (al-Nisa’ 4:119).

Perbincangan ayat ini sangat panjang, ringkasnya ia merujuk kepada sebarang usaha mengubah ciptaan Allah merangkumi ubah agama, syariat dan bentuk fizikal manusia kerana mahu cantik bergaya.

4. Perangkap mencipta berbagai-bagai bidaah dalam agama

“Dan antara binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. Makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata,” (al-An’am 6:142).

Ayat ini berkaitan dengan isu ciptaan bidaah beberapa haiwan ternakan yang diharamkan tanpa dalil agama oleh orang Arab jahiliah. (Boleh rujuk ayat 103 Surah al-Ma’idah dan ayat 138-139 Surah al-An’am).

5. Perangkap hasad dengki dalam keluarga

“Bapanya (Nabi Ya’qub a.s.) berkata:” Wahai anakku (Yusuf a.s.)! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia,” (Yusuf 12:5).

Telahan firasat Nabi Ya’qub a.s. tentang ‘tangan jahat syaitan’ ternyata benar sebagaimana pengakuan Nabi Yusuf pada akhir kisah mereka (Yusuf 12 :100).

6. Perangkap permusuhan yang dicetuskan oleh penggunaan bahasa kasar

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (yang Mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia,” (al-Isra’ 17:53).

7. Perangkap penyebaran berita palsu

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun antara kamu menjadi bersih daripada dosanya selamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui,” (al-Nur 24:21).

Ayat ini diturunkan sebagai menegur sebahagian Muslimin Madinah yang terlibat memanjangkan fitnah tajaan Munafik Madinah terhadap isteri Nabi, Aishah r.a. Seakan-akan Allah mahu ingatkan betapa kaki fitnah sebenarnya tentera bertauliah lantikan syaitan.

8. Perangkap memesongkan manusia daripada beriman kepada hari kiamat

“Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjuk-Ku); inilah jalan yang lurus. dan janganlah syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar); sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu,” (al-Zukhruf 43:61-62).

Beriman kepada hari kiamat boleh mengukuhkan integriti seorang Muslim. Pendosa atau penjenayah mungkin boleh meloloskan diri daripada hukuman dunia, tetapi hukuman akhirat tidak mungkin dilepasi.

Inilah kelebihan mendalami al-Quran. Allah selaku Pencipta syaitan memberi kita jalan dan lorong mengenal helah syaitan. Setelah tahu helah mereka, kita mudah menyelamatkan diri daripada tipu daya mereka.

Semoga rencana ini menyedarkan kita agar lebih risau dan takut terjerumus dalam hasutan syaitan berbanding takutkan hantu.

Hantu hanya khayalan manusia yang dicipta oleh syaitan, manakala syaitan adalah makhluk benar yang sudah lama diwartakan Allah sebagai musuh. Jangan tersalah membidik musuh!