DALAM Islam, suami diarahkan agar hidup bersama isterinya dengan cara baik. Ini termasuk dalam aspek percakapan, layanan dan perubatan. Maka sikap suami tidak membenarkan isterinya menerima rawatan perubatan adalah sikap yang jauh daripada konsep berbuat baik kepada isterinya.

Sebenarnya, suami tidak memiliki isteri. Isteri adalah individu yang berbeza dengan suami. Masing-masing ada hak dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab isteri ialah mematuhi arahan suaminya. Bagaimanapun ia bukanlah mutlak, contohnya dalam riwayat hadis dinyatakan bahawa tiada ketaatan kepada makhluk jika dalam maksiat kepada Allah.

Oleh itu, pertimbangan perlu diberikan dalam hal ini antara keperluan rawatan dengan arahan suami. Jika keperluan rawatan lebih perlu, maka isteri bertanggungjawab menjaga kesihatan tubuh badannya.

Suami bertanggungjawab adalah suami yang mengambil berat persoalan kesihatan isteri dan ahli keluarganya.

Hukum tangkap khalwat

APAKAH hukum mengetuk pintu rumah orang apabila ada laporan jenayah syariah berlaku seperti khalwat?

PEMERIKSAAN adalah sesuatu yang dibenarkan bawah undang-undang. Polis membuat sekatan jalan sehingga menimbulkan kesesakan jalan raya dengan tujuan pemeriksaan dan mencari penjenayah. Polis trafik juga membuat pemeriksaan lesen memandu dan cukai jalan.

Begitu juga, apabila terdapat laporan bahawa sesuatu kilang tidak mematuhi tatacara pembuangan sisa bahan daripada kilang, maka pihak berkuasa melakukan pemeriksaan terhadap kilang.

Maka begitulah apabila ada laporan jenayah syariah maka pemeriksaan dilakukan.

Bagaimanapun, beberapa perkara perlu dijaga. Antaranya tidak menjatuhkan air muka orang yang diperiksa. Harta benda juga sewajarnya dijaga. Maka pintu rumah sewajarnya tidak dipecahkan hanya kerana pintu tidak dibuka.

Apa yang penting ialah pemeriksaan jika wujud laporan yang disangka atau diyakini benar.

Guna duit anak untuk bersedekah

SEORANG bapa menggunakan duit anaknya untuk pergi bekerja. Kemudian si bapa bersedekah kepada orang miskin. Adakah harus bagi si bapa ini bersedekah dengan duit anaknya?

DUIT si anak lazimnya adalah duit bapanya. Maka tidak mengapa jika si bapa menggunakan dahulu duit anaknya untuk urusan tertentu.

Bagaimanapun, wajar jika ibu bapa mendidik anaknya agar menghormati harta orang lain. Oleh itu, lebih baik bagi bapa untuk tidak menggunakan duit yang menjadi milik anaknya tanpa meminta kebenaran si anak. Ini sebagai teladan terbaik untuk anak.

Ibadah pesakit autism

ADAKAH seorang lelaki dewasa atau wanita dewasa yang mengalami autism diwajibkan bersolat, berpuasa, menutup aurat dan sebagainya?

AUTISM adalah gangguan pada perkembangan otak. Maka dalam keadaan sebegini, bebanan taklif agama tidaklah begitu berat. Maka anak yang menghidap autism perlu dididik dan diajar sesuai dengan keadaan akal serta fizikal mereka.

Jika anak ini bersolat, maka tidak mengapa. Jika dia tidak bersolat, maka Allah lebih mengetahui keadaan otak dan akalnya yang sebegitu. Maka, sebagai orang normal dan memiliki kesihatan sempurna tidaklah perlu memaksa anak autism dengan sesuatu yang di luar kemampuan mereka.