Pelbagai peringatan telah disampaikan pihak Kedutaan Malaysia di Jordan, tentang risiko yang bakal kami hadapi. Kami mungkin disekat, dihalang atau didera mental oleh pihak keselamatan Israel.

Pendek kata, apa-apa yang terjadi adalah bawah tanggungan sendiri. Manakan tidak, Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Ia jelas tercatat pada pasport Malaysia.

Namun ketenangan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah memberi keyakinan kepada ahli delegasi. Sesekali baginda bergurau bagi meredakan kebimbangan.

Kira-kira pukul 8.30 pagi, kami akhirnya memasuki kenderaan, membaca doa selamat dan mula bertolak. Delegasi melalui pemeriksaan Jordan terlebih dahulu dan meneruskan perjalanan ke sempadan Israel, melalui Sungai Jordan menggunakan Jambatan Raja Hussein.

Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam. Benarlah tanggapan kami pada awal-awal lagi, semasa melalui pemeriksaan itu, dua daripada delegasi ditahan. Mereka berdua disoal siasat, dilengahkan dan dibiarkan menunggu sehingga tiga jam lamanya.

Kami menginsafi bahawa inilah bentuk tekanan diberikan Israel terhadap umat Islam yang ingin mengunjungi Masjid Al-Aqsa. Seboleh-bolehnya umat Islam tidak digalakkan ke masjid ketiga suci dalam Islam itu, melupakan terus sehingga terbiar, lalu mudah mereka untuk mengambil alih.

Berikutan itu, delegasi yang ‘terlepas’ menaiki kenderaan lain tanpa menunggu dua rakan yang ditahan, untuk terus ke Masjid Al-Aqsa bagi mengejar solat Jumaat.

Sebaik sahaja sampai, suasana begitu sibuk kerana rakyat Palestin ingin menunaikan solat Jumaat. Syukurlah kerana delegasi disambut dengan meriah oleh mereka yang berpengaruh di Al-Quds.

Antaranya, Pengarah Wakaf Al-Quds, Syeikh Azam Al-Khatib; Menteri Al-Quds, Ir. Adnan Al-Husaini; Mufti Al-Quds, Syeikh Adnan Ghaith; dan Pengarah Masjid Al-Aqsa, Syeikh Omar Al-Kiswani.

Ternyata rakyat Palestin amat menyanjung tinggi kehadiran rakyat Malaysia, apatah lagi seorang anak raja yang sanggup ‘terbang’ beribu-ribu batu jauhnya, untuk berjumpa sendiri dengan mereka.

Baginda kemudian menyampaikan 30 buah kerusi roda dari MAIPs dan memaklumkan sumbangan RM120,000 daripada rakyat Perlis untuk kegunaan rakyat Palestin.

Kunjungan itu ujar mereka, memberi motivasi dan semangat untuk terus mempertahan Al-Quds daripada diambil alih oleh Yahudi. Pada masa yang sama, mereka mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk terus mengunjungi Al-Aqsa agar Israel tahu bahawa masjid itu milik orang Islam.


TANDA SOKONGAN


Ulama moden berpandangan bahawa umat Islam digalakkan mengunjungi Masjid Al-Aqsa beramai-ramai kerana mampu memberi tekanan kepada dunia bahawa masjid itu adalah milik orang Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, ia juga secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada rakyat Palestin untuk mempertahan Al-Quds.

Jelas beliau, terdapat pandangan ulama sebelum ini apabila bandar ini diisytiharkan sebagai kota Israel, maka segala cukai hasil lawatan ke situ akan memberi manfaat kepada Israel.

“Namun saya berpendapat umat Islam wajar mengunjungi Masjid Al-Aqsa untuk menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa ia milik orang Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Asri secara peribadi turut berpendapat, isu kebersihan Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh penduduk Palestin.

Menurut beliau, adalah penting untuk rakyat Palestin menjaga kebersihan masjid itu dan Dome of The Rock, perkara paling asas sebelum memperkata tentang perjuangan.

Ini kerana kata beliau, sekitar kedua-dua kawasan itu tidak terjaga dengan baik dan keadaannya agak kotor.

“Kita tidak mahu di kawasan dijaga Israel bersih kerana rakyat Israel terkenal dengan kebersihan tetapi apabila memasuki kawasan Islam yang dijaga Palestin, kotor dan tidak terjaga,” katanya.

Tambah Mohd. Asri, beliau telah menyampaikan perkara itu dalam pertemuan dengan pemimpin Al-Quds dan mereka memahaminya.

“Mereka memberi alasan, tentera Israel tidak membenarkan mereka mengindahkan kawasan itu seperti menanam pokok-pokok bunga.

“Saya tidak fikir Israel menghalang umat Islam menjaga kebersihan kawasan masjid kerana kita lihat seluruh kawasan di bawah Israel bersih dan rapi,” katanya.