Walaupun kedengaran agak kontroversi, namun beliau yang memeluk Islam lebih 25 tahun lalu mengaku itulah realiti, sekali gus menjadi dilema bagi kebanyakan golongan bukan Islam untuk memeluk Islam.

Ditambah dengan pelbagai konflik tercetus di negara Islam seluruh dunia, di samping provokasi ditimbulkan terhadap umat Islam menjadikan Islam lebih dipandang serong.

Perkara sama turut dilalui oleh aktivis dakwah itu ketika terdetik ingin memeluk Islam setelah merasakan ‘pelik’ pada ajaran agama lamanya yang dilihat bertentangan dengan kitab suci agama tersebut.

“Saya satu-satunya dalam keluarga yang dihantar ke sekolah kebangsaan berbanding lima beradik lain iaitu ke sekolah jenis kebangsaan. Sejak kecil saya berkawan dengan ramai rakan Melayu beragama Islam.

“Malah, sehingga masuk institusi pengajian tinggi, saya mempunyai ramai kawan orang Islam. Namun, tiada seorang pun mengajak saya memeluk Islam dan bercerita tentang Islam. Lebih sedih, jika melihat akhlak segelintir mereka, tiada sebab mengapa saya perlu memilih Islam.

“Tetapi saya ibaratkan, jika sebuah bas kemalangan, adakah kita hendak salahkah bas itu? Pastinya tidak, sebaliknya disebabkan pemandunya yang mungkin mengantuk atau sebab lain. Begitu juga Islam yang sudah memberi panduan jelas dan cantik mengikut al-Quran dan sunah, tetapi umat Islam yang tidak ikut dan melanggar perintah. Adakah agama Islam itu yang salah?,” Jelasnya.

Berkongsi lanjut, Muhammad Fitri bagaimanapun berkata, suntikan hidayah untuk beliau mengenali Islam bermula ketika menghadiri ceramah di kuil yang disampaikan oleh pendeta terkemuka agama lamanya itu ketika berusia 16 tahun.

“Pendeta memetik satu ayat dalam kitab suci agama itu, ‘Tuhan itu Esa’. Ini jauh berbeza dengan apa yang saya belajar sejak kecil iaitu terdapat banyak tuhan dan masing-masing menjalankan tanggungjawab tersendiri.

“Begitu juga dikatakan ‘tidak boleh melihat wajah Aku (Tuhan) dengan mata kamu’. Jadi selama ini tuhan yang aku sembah itu siapa? Ini jelas bertentang antara amalan dengan panduan sebenar dalam kitab itu,” katanya.

Sejak itu, beliau mula mengkaji tentang konsep Tuhan yang Esa sehingga ditakdirkan mendengar seruan azan, sekali gus membawanya mengenali Islam.

“Keluarga saya tinggal di Banting, Selangor dan hampir setiap hari masa itu, saya akan terbangun daripada tidur ketika azan pertama dikumandangkan kira-kira satu jam sebelum masuknya waktu solat subuh. Sehinggalah azan kedua baru saya dapat tidur semula.

“Lama kelamaan sifat ingin tahu terhadap Islam semakin mendalam dan saya mula mengkaji sendiri termasuk mendengar ceramah agama di televisyen sehinggalah akhirnya membuat keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.

SERBA TIDAK KENA

Sementara itu, bagi penggiat seni tanah air, Adam Corrie Lee Abdullah, sejak awal memeluk Islam sudah dihantui dengan pelbagai larangan dalam agama yang menjadikannya tertekan kerana membuat pilihan itu.

Namun, kerana keputusan yang diperoleh dengan hidayah Allah bukan disebabkan paksaan atau terikut-ikut membuatkan pelakon terkenal sebagai watak Dragon dalam sekual filem KL Gangster itu tekad terus mendalami Islam.

“Ujian pertama saya hadapi adalah ramai kenalan Muslim mula mengeluarkan hukum, setelah memeluk Islam dengan mengatakan ‘ini boleh itu tidak boleh, makan itu haram dan ini sahaja yang boleh makan’. Walaupun itu semua benar perintah Islam, tetapi saya rasa lebih banyak perkara penting yang perlu saya ketahui terlebih dahulu.

“Begitu juga, cabaran saya ketika di set penggambaran. Pernah sekali ditegur oleh rakan Muslim kerana solat di kawasan lapang semasa di lokasi, dia mengatakan ‘mengapa solat di sini, carilah surau atau masjid’. Sedangkan pada itu jadual sangat padat dan waktu telah suntuk.

“Lain pula halnya ketika saya pergi solat di masjid dengan memakai jubah, ramai mengatakan saya sudah menjadi ulama bukan lagi pelakon. Dengan sebab itu, saya semakin kurang menerima tawaran berlakon disebabkan tanggapan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengendahkan sebarang tohmahan diterima sebaliknya yakin, yang mengurniakan rezeki itu adalah Allah SWT bukannya makhluk.

“Benarlah, duit banyak tidak menjamin kebahagiaan atau apa-apa, tetapi keberkatan Allah itu lebih penting. Jika dulu, poket saya sentiasa penuh, RM1,000 tidak pernah kurang, tetapi sejujurnya, saya seperti tidak rasa apa-apa. Sekejap sahaja sudah habis.

“Tetapi sekarang, walaupun tidak banyak pendapatan diterima tetapi alhamdulillah sentiasa cukup untuk saya sekeluarga, biarpun tidak terlalu mewah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Adam Corrie menasihatkan, umat Islam supaya menggunakan pendekatan berhikmah dalam menarik bukan Islam mengenali Islam seterusnya memeluk Islam.

“Dakwah bukan sahaja disampaikan menerusi kuliah atau kelas pengajian agama, tetapi lebih penting adalah umat Islam itu sendiri yang menyerlahkan kecantikan Islam. Ia adalah dengan mempamerkan akhlak terbaik kepada masyarakat dan sentiasa memberi sokongan serta galakan kepada rakan bukan Islam mengenali Islam.

“Dengan kejayaan ini, saya yakin Islam pasti akan lebih dikenali dan diterima masyarakat umum,” katanya.

Dialog bukan debat

SEJARAH membuktikan Islam disebarkan menerusi kepintaran para Rasul berkomunikasi bersama masyarakat bukan Islam pada masa itu, dalam masa sama mematahkan hujah golongan itu tanpa mengguris perasaan mereka.

Ia dirakam dalam al-Quran antaranya dalam kisah Nabi Nuh a.s. berdialog mengajak umatnya mentauhidkan Allah seperti dalam Surah Hud ayat 32 dan kisah Nabi Musa a.s. berdialog bersama Firaun dalam Surah Saba ayat 24 dan 25.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Muhammad Nidzam Abdul Kadir berkata, berdasarkan dalil di atas, Islam memberi peluang kepada umatnya untuk berdialog.

Bagaimanapun katanya, ia mempunyai garis panduan yang perlu diikuti bagi mengelak timbul perkara tidak diingini atau kesan lebih buruk daripada komunikasi tersebut.

Justeru katanya, pendekatan berdialog adalah lebih baik daripada berdebat dalam usaha memberi penerangan mengenai Islam kepada golongan sasar atau mereka yang tersasar daripada landasan Islam sebenar.

“Jika kita fahami, dialog bertujuan saling mengenali dan memahami dengan menyatakan pendirian masing-masing. Debat pula bertujuan memahami hujah pihak lawan seterusnya memperkukuh hujah sendiri dan mematahkan hujah lawan.

“Dialog juga kita tidak perlu mengkritik hujah pihak lawan, manakala debat perlu mengkritik. Oleh itu berdialog dilihat lebih berhikmah dan kurang memberi kesan negatif antara kedua-dua pihak berbanding jika berdebat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kepatuhan kepada adab dan nilai mulia serta tidak menghina mana-mana agama atau ritual adalah antara garis panduan yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam terutama pendakwah.

Firman Allah SWT: “Dan jangan kamu mencari Tuhan-tuhan yang disembah selain Allah, maka bagi mereka akan mencari Allah atas dasar permusuhan tanpa ilmu...”

“Budaya dialog antara agama, etnik dan sebagainya wajar menjadi wadah dalam mencari jalan penyelesaian. Orang yang berdialog hendaklah berilmu dalam masa sama menjaga adab serta disiplin dialog dengan baik,” katanya.