“Ya Allah, selamatkan dan lindungilah sahabatku daripada menjadi mangsa kejahatan sihir suami ku. Mereka tidak bersalah. Niat mereka hanya untuk menolong aku!,” rintih Lina dalam doa selepas solat. Lina sama sekali tidak menyangka suaminya boleh bertindak sejauh itu.

Walaupun Lina berkeras melarang agar suaminya tidak meneruskan niatnya, namun suara Lina tidak diendahkan. Ramli, merasakan dirinya tercabar. Berang sungguh dirinya apabila dapat tahu kawan karib Lina membantu Lina memfailkan fasakh. Tercabar egonya sebagai seorang suami.

“Kalau dia dah berani masuk campur hal rumahtangga aku, bermakna dia juga berani menerima risikonya. Beritahu dia, sengsara dia akan menjelma tidak lama lagi!” Kata-kata marah berbaur ugutan dilepaskan kepada Lina sebagai tanda amaran.

Lina menjadi tidak keruan. “Ya, semua ini salah aku. Kalaulah aku tidak mengadu kepada sahabatku akan perihal rumahtangga ku, perkara ini tidak mungkin berlaku,” getus hati kecil Lina.

Apa pun, semua berlaku disebabkan ketidakmampuan Lina untuk bertahan dengan sikap suaminya yang panas baran. Setiap hari, ada sahaja kesan lebam dipukul oleh suaminya di badannya.

Namun Lina hanya mendiamkan diri dan menerima segala yang berlaku secara paksa rela. Dia tahu, dia ada hak untuk meminta cerai. Tapi, hatinya tidak sekuat itu untuk mendesak kakinya melangkah untuk memfailkan perceraian.

Lina dihantui ketakutan. Pernah suaminya memberi amaran untuk memperlakukannya lebih teruk andai dia mengadu akan hal yang terjadi kepada sesiapa hatta kepada keluarganya. Lantas, perkara itu terus senyap daripada pengetahuan sesiapa. Namun keprihatinan sahabatnya atas keperitan dilalui oleh Lina, akhirnya Lina peroleh kekuatan apabila sahabatnya bersedia untuk membantunya.

Pun begitu, Lina sama sekali tidak pernah menyangka begini kesudahannya. Perasaannya serba salah. Apakah perlu diberitahu kepada sahabatnya akan perbuatan suaminya atau hanya perlu mendiamkan diri?