Bukan sahaja didedahkan dengan kehidupan di dalam institusi pengajian tinggi (IPT), kolej yang berkonsep sekolah di dalam kampus di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu turut memfokuskan kepada muridnya dengan pendedahan ilmu aqli dan naqli bagi melahirkan insan yang berkemahiran dan berpengetahuan agama.

Ia menerusi pendekatan istimewa yang disediakan bagi membolehkan murid memaksimumkan kemampuan masing-masing dengan bantuan tenaga pengajar bertaraf pakar, di samping bantuan pembelajaran yang komprehensif.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, kolej yang ditubuhkan hasil kesinambungan program Permata Negara itu disasarkan akan melahirkan pemimpin dalam kalangan remaja yang mempunyai kebolehan seimbang dunia dan akhirat untuk memimpin generasi akan datang.

Menyakini perkara itu beliau berkata, ia kerana murid yang terpilih untuk mengikuti pengajian dalam kolej tersebut adalah merupakan murid terbaik dalam kalangan yang terbaik di seluruh negara.

“Penilai terhadap murid-murid ini telah dibuat sejak mereka berusia lapan tahun lagi di mana mereka perlu menjalani latihan dan ujian IQ secara dalam talian. Selain itu mereka juga perlu menyertai beberapa Kem Permata Insan yang dianjurkan bagi mendapatkan pelbagai pendedahan.

“Menerusi ujian tersebut, kita melihat kemampuan dan tahap IQ mereka adalah dua tahun lebih tinggi berbanding umur mereka. Oleh itu, tidak menjadi masalah buat mereka untuk menerima sesuatu yang lebih daripada umur mereka sebenar.

“Malah, sekiranya golongan ini diletakkan untuk mengikuti persekolahan biasa lebih dikhuatiri mereka akan menjadi bosan dan akan mengakibatkan keinginan untuk belajar kurang. Ini yang kita lihat berlaku pelajar genius akhirnya menjadi penjual roti canai,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan kepada murid dan ibu bapa pada hari pendaftaran kemasukan murid Permata Insan di USIM, baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah Pusat Permata Insan, Profesor Datuk Dr. Mizan Adiliah dan pengetua Kolej Permata Insan, Wan Zakry Wan Kamarudin.

Seramai 50 murid yang terdiri daripada 30 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan masing-masing berusia 13 tahun mengikuti pengajian peringkat menengah Asas 1 (Tingkatan 1) di Kolej Permata Insan.

Kebanyakan murid terlibat juga merupakan peserta Program Permata Insan yang dilancarkan secara rasmi pada 12 Mac 2010 lalu oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga selaku Penaung Program Permata.

Kanak-kanak yang terpilih seterusnya akan mengikuti kurikulum khas Permata Insan yang mengandungi empat (4) komponen penting iaitu Modul Pintar al-Quran dan al-Sunnah, Modul Bahasa Arab, Modul Bahasa Inggeris dan Modul Pembangunan Insaniah sehingga berusia 12 tahun.

Pembangunan Kompleks Kolej Permata Insan menempatkan tanah seluas 12 ekar iaitu berhampiran Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM. Pembinaan fasa satu menempatkan blok pentadbiran, blok pengajaran dan pembelajaran dan kemudahan asrama serta dewan makan sedia digunakan bagi kumpulan pertama.

Musa berkata, pembinaan Kolej Permata Insan di dalam kampus USIM membolehkan murid berinteraksi dan menggunakan segala kemudahan yang ditawarkan di institusi tersebut bagi mempercepatkan proses kematangan murid.

“Penyediaan prasarana yang sesuai menjadi keutamaan bagi membolehkan mereka mendapat pembelajaran yang lebih ke hadapan dan mencabar menepati aras kesukaran yang sesuai dengan kemampuan mental mereka. Oleh itu, murid dapat mengembangkan potensi minda dan bakat dalam suasana pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif.

“Kita berharap menerusi program yang memartabatkan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup ini dapat melahirkan Muslim Nobel Laureates dan pemimpin akan datang yang mempunyai personaliti al-Abrar dalam bidang sains dan teknologi serta mampu mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli,” ujarnya.

BERBEZA dengan kaedah pembelajaran di kebanyakan sekolah lain, pengetua Kolej Permata Insan, Wan Zakry Wan Kamarudin berkata, Kolej Permata Insan mengamalkan konsep pembelajaran berasaskan pelajar.

Kaedah itu katanya, merupakan kaedah pembelajaran berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan oleh pelajar sendiri menerusi perbincangan dalam kumpulan mengikut topik perbincangan yang diberikan.

“Melihat kepada kemampuan mereka dalam pelajaran, kita cuba mengamalkan pendekatan pembelajaran dalam kelas yang berbeza. Tidak hanya diberikan input, tetapi murid sendiri perlu memberi hasil (output) menerusi topik atau isu semasa yang diberikan untuk dikupas dalam kumpulan masing-masing.

“Kaedah itu ternyata lebih mudah diterima oleh murid dan mengajar mereka untuk lebih berdikari di samping ilmu yang dipelajari sukar dilupakan.

“Malah, bagi idea murid-murid yang difikirkan berkesan dalam menangani sesuai isu akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan sebagai sumbangan dan langkah sekiranya boleh dilaksanakan,” katanya.

Tambah Zakry, selain menguasai ilmu akademik, murid Permata Insan juga akan bergelar hafiz dengan menghafal sebanyak 30 juzuk al-Quran apabila menamatkan pengajian di kolej tersebut.

Ia tambahnya menerusi silibus ‘sebulan satu juzuk’ yang didedahkan kepada murid istimewa itu.

“Dalam usaha melahirkan insan yang profesional dunia dan akhirat, pelbagai pengisian kerohanian menjadi keutamaan kepada murid di Kolej Permata Insan ini. Sebaik bangun tidur mereka didedahkan untuk melakukan qiamullail secara berjemaah.

“Murid juga perlu mengikuti kelas al-Quran dengan mensasarkan hafalan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 3 tahun. Sebulan satu juzuk, setahun 10 juzuk dan 3 tahun 30 juzuk,” jelasnya.

Tidak terbatas mengikut silibus yang ditetapkan, murid yang mempunyai potensi untuk bergerak lebih pantas dibenarkan untuk mempelajari pelajaran mengikut silibus kemampuan masing-masing.

Mizan berkata, ia bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan pantas tanpa mengikut peringkat umur.

“Pembelajaran yang diajar di kolej ini adalah sama berasaskan model silibus standard kebangsaan, tetapi ia telah dipadatkan bagi sukatan pelajaran yang dilihat berulang-ulang. Ini berdasarkan keupayaan murid Permata Pintar yang mampu menerima pelajaran itu.

“Ini juga membolehkan mereka untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan lebih awal berbanding murid di sekolah biasa. Bagaimanapun, bagi murid yang lebih pantas, akan diberi peluang untuk mendapatkan pendedahan pelajaran dengan lebih awal,” katanya.

Tidak mengasingkan murid dengan aktiviti murid sekolah yang lain, Kolej Permata Insan turut menyediakan aktiviti kokurikulum dan badan beruniform untuk diceburi oleh pelajar.

“Penglibatan murid di kolej ini tidak sesekali membuatkan mereka terasing daripada murid sebaya yang lain kerana selain belajar dalam kelas, mereka turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang lebih memberi impak kepada murid.

“Sebagaimana sekolah lain, murid juga berpeluang memilih sebarang aktiviti sukan, badan beruniform dan persatuan yang disediakan di Kolej Permata Insan,” tambahnya.