Nilai al-Quran terlalu besar kerana di dalamnya terdapat perintah Allah SWT dan hukum- hakam Islam yang membimbing manusia untuk hidup bahagia di dunia serta akhirat.

Al-Quran adalah panduan hidup sebenar seorang Muslim, malah petunjuk nyata yang membimbing manusia ke arah kebenaran dan menjauhkan diri daripada kemungkaran.

Kalam Allah itu bukan sekadar dicari ketika berlaku mala petaka atau kematian, tetapi isi kandungannya harus dibaca, diteliti serta dikaji setiap masa. Lebih malang, al-Quran dibiarkan berhabuk di atas almari atau rak buku tanpa disentuh. Hanya dicari ketika hati berasa resah dan gelisah.

Kadangkala terdetik dalam hati, adakah al-Quran kecil yang diletakkan di atas permukaan papan meter kenderaan dibaca atau sekadar hiasan?

Bukan mahu bersangka buruk, tetapi masa manakah tuan empunya al-Quran kecil itu membacanya? Baiklah, mari bersangka baik. Mungkin dibaca ketika berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Alhamdulillah.

Pasti ramai yang memberi alasan tidak dapat membaca al-Quran kerana tiada wuduk, sekali gus menghalang diri daripada menyentuh kitab suci tersebut. Ketika berkesempatan berada di rumah Allah dan masih berwuduk, tidak juga disentuhnya kitab suci itu. Sebaliknya masa terluang itu masih digunakan untuk bersembang kosong bersama teman yang sering ketemu.

Namun sebenarnya kita masih mempunyai pilihan. Apa gunanya ada telefon pintar sekiranya kita tidak memuat turun aplikasi naskhah al-Quran dalam talian atau halaman-halaman yang mempunyai ayat suci al-Quran.

Tidak perlu mempunyai wuduk untuk membuka halaman seumpama itu dalam telefon pintar. Maka tiada ruang untuk memberikan pelbagai alasan untuk tidak mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran setiap hari.

Suatu yang menyedihkan apabila anak muda masa ini lebih teruja untuk menatap halaman media sosial masing-masing daripada menjenguk diri ke muka surat al-Quran yang penuh dengan ketenangan.

Lebih menyedihkan, mereka sanggup mengadu dan merintih nasib dalam media sosial berbanding meminta pertolongan daripada Allah SWT menerusi solat atau membaca al-Quran. Pelik bukan?

Di mana silapnya? Rasanya janganlah kita mencari di mana silapnya. Sebaliknya kita sama-sama berganding bahu membantu meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepentingan membaca al-Quran.

Bantu mereka yang tidak pandai membaca al-Quran dan bagi mereka yang tidak pandai membaca al-Quran, janganlah malu untuk meminta bantuan.

Rajin-rajinlah ke masjid. Insya-Allah, ada saja pertolongan yang boleh diberikan oleh para jemaah untuk membantu kita membaca al-Quran dengan baik.

Allah SWT akan sentiasa membantu mereka yang rajin berusaha ke arah kebaikan. Ketepikan rasa malu. Ya benar, untuk berbuat kebaikan pasti sahaja ada penghalangnya.

Ketepikan rasa malu diejek untuk kita membuat amalan baik. Kerana apa? Syaitan sentiasa akan menggoda insan lain untuk ‘mengganggu’ kita apabila ingin beramal. Biarkanlah.

Apa yang pasti, kita yang perlu mengubah diri kita. Siapa kita tanpa mengenal ayat suci al-Quran. Tidak malukah kita?

Mahu syafaat Nabi Muhammad SAW tetapi kita sendiri jauh daripada al-Quran dan jarang berselawat ke atas Baginda. Mari kita ubah cara hidup. Semoga al-Quran menjadi peneman hidup kita seharian.