Namun, situasi itu diambil oleh pertubuhan dakwah Islam, Multiracial Reverted Muslim (MRM) dalam usaha menyebarkan pengetahuan agama Islam kepada masyarakat terutama golongan belum Islam di kawasan tumpuan ramai.

Bergiat aktif sejak 2014, MRM yang terkenal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan kegiatan dakwah jalanan (street dakwah) mengakui menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang menyebarkan Islam. Ia termasuk menjadi mangsa fitnah yang cuba menjatuhkan usaha pertubuhan berkenaan.

Berikut temu ramah yang diadakan bersama pengasas yang juga Presiden MRM, Firdaus Wong Wai Hung bagi berkongsi cabaran dihadapi pertubuhan itu dalam usaha menyambung misi Rasulullah SAW tersebut.

MEGA Mimbar: Bagaimana sukarelawan MRM bersedia menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka?

Firdaus: Peranan MRM adalah menyampaikan Islam kepada golongan belum Islam dan Muslim dengan menjawab salah faham mereka terhadap Islam. Selain itu, kita juga membantu menyediakan landasan kepada masyarakat untuk memperoleh maklumat mengenai Islam.

MRM bukan ingin mencari musuh atau menimbulkan sebarang provokasi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama, tetapi untuk menjelaskan tentang salah faham masyarakat belum Islam terhadap Islam. Ramai yang memusuhi Islam kerana tidak faham tentang Islam.

Oleh itu, langkah diambil adalah dengan mengambil pendekatan dakwah melalui teladan dan mengelakkan perdebatan dalam dakwah sebaliknya fokus komunikasi yang baik.

Alhamdulillah, setakat ini tiada perkara buruk terjadi kepada sukarelawan ketika di lapangan kerana biasanya program yang kita adakan dipantau pihak polis, namun tidak dinafikan MRM sering menjadi mangsa fitnah daripada pihak cuba menjatuhkan usaha dakwah.

Apakah cabaran terbaru yang diterima MRM?

Dakwah adalah sunah Rasulullah dan sunah dalam dakwah adalah bakal menempuh ujian serta cabaran. Antara cabaran terbaru kebelakangan ini adalah wujudnya sekumpulan ekstremis agama lain yang sering memfitnah serta mengugut kami menerusi sosial media juga panggilan telefon. Malahan mereka pernah mengganggu forum kami suatu masa dahulu.

Selain itu, MRM turut menghadapi cabaran daripada kumpulan difatwakan sesat oleh jabatan agama yang membuat laporan polis terhadap kami kerana didakwa membongkar kegiatan mereka menyebarkan ideologi atau dakyah sesat mereka kononnya berselindung menerusi program kebajikan.

Cabaran lain termasuk laporan berat sebelah daripada sesetengah portal berita, malah lebih mengecewakan apabila niat dan perancangan kami untuk mempertahan imej Islam daripada laporan berat sebelah tidak mendapat sokongan memberangsangkan daripada masyarakat Muslim.

Tanpa penguasaan menerusi media, amat sukar untuk membersihkan nama Islam daripada tohmahan dan laporan berat sebelah mereka.

Apakah yang dilakukan ketika mengadakan street dakwah?

Lazimnya kita akan mendekati orang ramai dengan memberi tumpuan kepada belum Islam sama ada warganegara atau pelancong asing untuk berkongsi maklumat tentang Islam.

Sukarelawan MRM akan berdialog dengan mereka, di samping menyebarkan risalah asas tentang Islam dan al-Quran terjemahan dalam beberapa bahasa tertentu. Tujuan kita bukan untuk mengajak mereka peluk Islam, tetapi cukup sekadar memahami agama suci ini.

Tidak terkecuali kita turut mendekati umat Islam untuk turut sama memperkukuh akidah mereka.

Di samping itu, kita juga melaksanakan solat berjemaah di lapangan, ini adalah satu daripada usaha dakwah bil hal (dakwah melalui perbuatan) yang kita lakukan. Alhamdulillah, mengikut rekod beberapa orang awam termasuk pelancong asing berminat mendekati kita dan ada yang memeluk Islam ketika itu.

Selain mengadakan street dakwah, apakah peranan lain diambil oleh MRM?

1. Khidmat nasihat: Rata-rata saudara baharu lazimnya menghadapi kesukaran untuk berhadapan orang ramai terutama dengan keluarga mereka setelah memeluk Islam, oleh itu kita memberi kaunseling dan pandangan bagaimana untuk berhadapan dengan keluarga serta menyantuni budaya masing-masing selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.

2. Kursus latihan: Kita menganjurkan bengkel metodologi dakwah dan bengkel street dakwah terbuka kepada orang ramai untuk mempelajari kemahiran berdakwah di jalanan dan teknik berkomunikasi berkesan dalam mendekati golongan bukan Islam termasuk orang Islam sendiri untuk kembali mengamalkan cara hidup Islam sebenar.

3. Bantuan kewangan: Bagi sesetengah mualaf yang baru memeluk Islam menerusi saluran MRM, kita mengambil tanggungjawab memastikan kelangsungan hidup mereka dengan memberikan bantuan kewangan, namun ini bukan berterusan tetapi sekadar memastikan mereka stabil dan dapat memulakan hidup baharu.

Apakah perancangan terbaru yang bakal dilaksanakan MRM?

Insya-Allah pada 15 Disember ini, MRM bakal menganjurkan Mega Street Dakwah yang diadakan serentak di lokasi terpilih seluruh negara dengan bertemakan ‘Muslim Love Jesus And Muhammad SAW’.

Program ini mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan beberapa NGO Islam lain. Orang ramai yang ingin menjadi sukarelawan juga dialu-alukan untuk turut sama membantu usaha dakwah.

Selain itu baru-baru ini, MRM memperkenal pusat informasi Islam dinamakan Islamic Information Kiosk yang ditempatkan di beberapa lokasi terpilih. Kiosk ini menyediakan pelbagai risalah tentang Islam, menjawab persoalan dan kekeliruan Islam serta al-Quran terjemahan.

Kami akan meneruskan projek dakwah yang telah dimulakan di benua Afrika seperti Uganda, Zambia, Zimbabwe, Botswana, Afrika Selatan serta di Amerika Latin iaitu negara Peru serta Colombia.

Di samping itu, kami bercadang mewujudkan satu unit khas multimedia bagi memperkasa usaha dakwah menerusi media sosial, tetapi kekangan kewangan dan kekurangan sokongan daripada masyarakat membantutkan usaha kami.