Jawapan: Pengambilan vaksin tidak bermaksud bahawa seseorang Muslim bergantung kepada vaksin dan tidak lagi bergantung kepada Allah. Pengambilan vaksin termasuk dalam aspek sebab dan usaha ikhtiar. Ketetapan penyakit dan kesembuhan adalah daripada Allah.

Jika pengambilan vaksin menjejaskan akidah, maka makan dan minum juga akan menjejaskan akidah. Ini kerana kita akan bergantung kepada makanan dan minuman, bukan lagi bergantung kepada Allah. Oleh itu, orang yang menolak vaksin juga sewajarnya menolak makanan dan minuman. Ini kerana yang memberi kenyang dan menghilangkan dahaga adalah Allah, bukannya makanan dan minuman.

Kita tidak menolak makanan dan minuman. Makanan dan minuman adalah sebab dan usaha ikhtiar. Begitu juga dengan pengambilan vaksin.

Ibu mahu, tetapi bapa tidak benarkan ambil vaksin

Seorang bapa tidak membenarkan anaknya diberikan vaksin manakala ibunya pula sebaliknya. Adakah seorang ibu iaitu si isteri dikira derhaka kepada suaminya?

Jawapan: Sewajarnya perlu ada perbincangan antara suami isteri dalam isu sebegini. Katakan si suami tidak mahu anaknya diberikan vaksin. Ini kerana vaksin adalah agenda musuh.

Manakala si isteri membaca tentang vaksin dan kesan buruk jika tiada pengambilan vaksin. Si isteri bimbang anaknya akan terdedah kepada penyakit berbahaya jika tidak diberikan vaksin.

Perbincangan perlu ada antara suami isteri. Suami tidak perlu terlalu tegas dan keras dalam isu sebegini. Paling tidak, biarkan sahaja si isteri membawa sendiri anak untuk diberikan vaksin jika si suami tetap tidak bersetuju.

Maka si suami wajar membantu isterinya agar isterinya tidak tersepit antara kebimbangan dalam sudut perubatan dan keperluan patuh kepada perintah suami.

BUTA

Hukum imam buta

Haruskan insan yang buta untuk menjadi imam solat?

Jawapan: Harus bagi orang cacat penglihatan untuk menjadi imam solat, bahkan tidak makruh.

HUJAN

Tinggal solat Jumaat kerana hujan lebat

Adakah wajib untuk hadir ke masjid menunaikan solat Jumaat jika pada waktu itu hujan lebat?

Jawapan: Antara keuzuran untuk meninggalkan solat berjemaah termasuk solat Jumaat adalah ketika keadaan hujan. 

Jika hujan rintik-rintik maka eloknya teruskan kehadiran, tetapi jika agak lebat maka wujud keharusan untuk tidak hadir solat Jumaat.