Berasal dari Lenggong, Perak dan kemudiannya berpindah ke Sabak Bernam dan kini menetap di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Husain menyedari, sepanjang kehidupan sebagai manusia yang diciptakan Allah SWT, jangan sesekali manusia mencuaikan perintah-Nya. Manusia yang melupakan Allah SWT, pasti tidak beroleh bahagia, sedangkan itulah yang didambakan oleh setiap jiwa hamba.

Husain mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Anita Esmail, 37, pada 1998 dan setakat ini mereka dikurniakan lima anak sebagai penyeri mata.

Anak pertama Nurul Nisha, 16; kedua Nurul Husnita, 14; ketiga Muhammad Aizad, 13; keempat Siti Mariam, 11 dan kelima yang comel dan sering mengikuti mereka, Muhammad Nur Ramadan Fitri, empat tahun.

“Dahulu sewaktu zaman muda, saya bekerja dengan abang sebagai penebar roti canai dan pendapatan agak besar ketika, iaitu kira-kira RM3,000 sebulan. Namun, dahulu saya lalai dengan Tuhan, solat saya abaikan, hinggalah apabila Allah SWT beri saya peringatan, baharu saya tersedar dan insaf,” tambah Husain.

Ceritanya, dahulu selama kira-kira 10 tahun Husain menjadi penebar roti canai di kedai makan abangnya.

Dia betah berlama-lama di sana, kerana pendapatannya juga boleh tahan besarnya. Hinggalah akhirnya Husain berfikir untuk mencuba nasib berdikari, dan dia berhenti dari kedai abangnya.

“Selepas berhenti daripada menjadi penebar roti canai di kedai makan abang, dalam tempoh setahun saya cuba melakukan beberapa pekerjaan lain. Saya pernah jadi pemandu lori syarikat, malangnya baru beberapa hari bekerja saya kemalangan jalan raya pula,” jelas Husain.

Menurut Husain, motosikal yang dia tunggangi telah bertembung dengan sebuah kereta di sebatang jalan raya di Bandar Bukit Sentosa pada tahun 2010. Akibatnya, bahunya patah dan dia terlantar beberapa lama. Kemalangan itu juga menyebabkan satu-satunya pekerjaan yang memerlukan tangan, iaitu menebar roti canai terganggu. Akibatnya, setahun juga lamanya Husain menganggur, dan hanya menggunakan wang hasil simpanan untuk keperluan hidup.

Bagi Husain, pengalaman selama setahun iaitu sekitar 2010 hingga 2011 tanpa pekerjaan itulah yang paling menggigit emosinya. Bayangkan, saat itu dia sudah pun mempunyai empat orang anak, yang masing-masing sedang bersekolah. Segalanya memerlukan biaya yang besar. Dia sedar, dia perlu melakukan sesuatu demi menyelamatkan keluarganya.

“Antara pengalaman getir yang tidak akan saya lupakan ialah, saya dan anak-anak hanya dapat makan nasi berlaukkan air kosong. Itulah yang amat sedih bagi saya.” Luahnya.

Keprihatinan

Namun, atas keprihatinan adik-beradik, juga jiran tetangga dan sahabat terdekat dengan mereka, kesusahan Husain dan keluarganya tetap dibantu dan akhirnya mereka diminta menyalurkan kesulitan itu kepada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Tahun 2010, ada kenalan meminta saya mengadu masalah ini kepada LZS. Namun suami saya enggan, dia merasa malu untuk meminta bantuan. Tetapi demi anak-anak, akhirnya dia gagahi juga menghantar borang permohonan kepada LZS. Buat permulaan kami diberikan bantuan buat menjelaskan yuran persekolahan anak-anak,” ujar Anita yang sebelum itu hanya mendengar perbualan kami.

Selepas 2010, LZS terus menilai apakah lagi bantuan yang wajar disalurkan kepada Husain dan Anita demi membebaskan mereka daripada belenggu keadaan. Kebetulan Husain memang berkemahiran dalam pembikinan roti canai, maka mereka pun dibantu dengan bantuan modal oleh LZS, di samping LZS juga terus menyalurkan lain-lain bantuan kepada mereka.

“Pada 2013, suami saya mengikuti Kursus Asas Keusahawanan anjuran LZS, kerana ia menjadi syarat untuk mendapatkan bantuan modal. Kemudian kami diberikan bantuan modal perniagaan oleh LZS, iaitu berupa mesin penguli tepung, peti sejuk beku dan meja menebar roti canai serta modal pusingan yang jumlah keseluruhannya kira-kira RM5,000,” kata Anita lanjut.

Setelah mereka memperoleh bantuan modal perniagaan, maka Husain dan Anita pun bercadang untuk membuka gerai menjual roti canai. Mereka ditawarkan untuk membuka gerai makanan di sebuah medan selera mini di sekitar Bandar Bukit Sentosa, malangnya mereka tidak mampu untuk terus bertahan di situ.

“Sewa yang dikenakan kepada kami jika mahu dibandingkan dengan jumlah pendapatan, rasanya tidak menguntungkan. Maklumlah, kawasan itu juga agak sunyi dari pengunjung. Kami hanya mampu bertahan tiga bulan dan akhirnya, atas desakan keadaan dan beberapa faktor lain, kami terpaksa menarik diri dari terus berniaga di situ,” jelas Husain.

Setelah itu, Husain dan Anita cuba lagi berniaga di beberapa lokasi lain, namun masih gagal mencari tapak yang benar-benar menguntungkan. Lalu demi menampung pendapatan jualan roti canai yang kurang memberangsangkan, Husain terpaksa menjadi pengawal keselamatan di sebuah sekolah pada sebelah malam.

“Setelah setahun menjadi pengawal keselamatan dan juga dengan pendapatan jualan roti canai yang tidak menentu, akhirnya dengan ihsan seorang kawan saya dapat tawaran daripada beliau yang juga merupakan pengusaha sebuah kantin sekolah, untuk menjual roti canai di kantinnya. Alhamdulillah, dengan adanya jualan tetap di kantin itulah yang dapat menampung serba-sedikit pendapatan saya,” kata Husain.

DUA tahun lalu, pihak LZS telah mengesyorkan agar Husain mendapat modal perniagaan yang lebih besar iaitu sebuah lori dan juga peralatan yang sesuai buat dia mengembangkan lagi perniagaan roti canainya.

“Alhamdulillah, dengan adanya lori dan modal yang lebih besar maka dapatlah saya memantapkan perniagaan. Buat masa ini, saya masih menunggu kelulusan permit perniagaan daripada pihak Majlis Daerah Hulu Selangor, kerana tanpa permit itu saya tidak dapat menjalankan perniagaan dengan lebih meluas. Buat masa ini, saya hanya menjual roti canai dari kawasan rumah dan juga di kantin sekolah,” jelas Husain P. Sabgam.

Di akhir perbualan, Husain sempat berpesan agar setiap orang yang membaca artikel ini tidak sesekali mensia-siakan segala kesempatan yang telah Allah SWT berikan.

Dia sudah melalui fasa-fasa di mana pernah mengabaikan perintah Allah SWT, sehingga diberikan peringatan dan kini dia berasa sangat besar manfaat di sebalik ketaatan kepada Allah SWT.

“Mungkin bantuan zakat termasuk lori yang saya dapat ini pun adalah hasil saya bertaubat dan mendirikan solat. Malah, sekarang ini saya dapat rasai ketenangan dalam hidup, rezeki pun kian cukup. Kini saya dapat belikan apa yang anak-anak inginkan, tidak seperti dahulu serba kesempitan. Malah, kini saya sudah mampu menyisihkan sedikit wang buat simpanan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu, semoga semuanya diberkati Allah SWT selalu, amin,” tuntasnya menamatkan perbualan di kantin sekolah yang kian ramai dibanjiri anak-anak berseragam bagi menikmati roti canai hasil tangannya.

Nota: Husain dan Anita bersedia membekalkan roti canai untuk sebarang majlis dan mereka boleh dihubungi di 012-352 8254 (Husain) atau 018-211 2219 (Anita).