Tidak dinafikan institusi pendidikan berjaya melahirkan golongan tersebut dalam pelbagai bidang, namun dalam keghairahan itu acapkali kita terlupa bahawa lepasan institusi pengajian tinggi hari ini dilihat kekurangan nilai estetika yang membentuk jati diri mereka iaitu nilai kemanusiaan.

Kekurangan tersebut diakui sendiri oleh aktivis kemanusiaan, Dr. Aizan Sofia Amin yang menegaskan bahawa setiap pelajar wajar menceburkan diri dalam aktiviti kemanusiaan di universiti masing-masing.

Ini kerana, beliau menyifatkan pembabitan itu mampu membentuk jati diri seseorang di samping menggilap kemahiran berkomunikasi dan keyakinan untuk berhadapan dengan khalayak ramai.

“Ia juga dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka sebelum memasuki alam pekerjaan kerana dilihat sebagai satu nilai tambah selain pencapaian akademik yang diperoleh ketika pengajian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Malah, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM) itu percaya bahawa mahasiswa mampu dan mempunyai potensi tinggi dalam mengendalikan aktiviti kemanusiaan sama ada dalam atau luar universiti.

“Oleh itu, kita perlu perkasakan kepimpinan belia supaya pada masa akan datang mahasiswa akan menjadi pelapis kepada pemimpin hari ini.

“Dari sudut akademik, mahasiswa perlu didedahkan dengan subjek atau kursus-kursus tertentu yang melibatkan aktiviti kesukarelawanan agar mereka terus berbakti dan mempunyai nilai tanggungjawab dalam diri,” katanya.

CACAT FIZIKAL BUKAN HALANGAN

Dalam masa sama, beliau yang juga orang kurang upaya (OKU) akibat kanser tulang mengingatkan golongan belia bahawa mereka juga perlu berusaha sendiri mengasah pengalaman dan kemahiran dalam aktiviti kemanusiaan.

Mengakui kekurangan fizikal adalah cabaran besar baginya, namun keazaman Dr. Aizan tidak pernah goyah untuk terus menceburi aktiviti-aktiviti kemanusiaan kerana kesungguhan untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Katanya, kerja-kerja kemanusiaan adalah sesuatu yang dilakukan demi kebaikan manusia tanpa mengharapkan apa jua balasan termasuk dalam bentuk kewangan dan populariti.

“Dalam konsep psikologi ia dipanggil altruisme yang menekankan kebajikan dilakukan dengan ikhlas terhadap kebahagiaan manusia lain. Ia sekali gus memberi ketenangan kepada jiwa si pelaku,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ditanya mengenai aktiviti kemanusiaan yang pernah diceburi, Dr. Aizan berkata, beliau terlibat sebagai sukarelawan sejak dari universiti dalam sebuah persatuan kecil.

Tidak terhenti di situ, beliau mencari inisiatif lain untuk memenuhi masanya dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaan di luar kampus.

“Saya terlibat dalam aktiviti kemanusiaan sejak di universiti tetapi ia sangat terhad. Kemudian, apabila saya tamat pengajian dan dalam proses untuk menyambung ijazah sarjana, saya mengambil keputusan untuk menjadi sukarelawan di Majlis Kanser Nasional (Makna) bersama ibu saya,” katanya.

Di Makna, Dr. Aizan bukanlah semata-mata sebagai sukarelawan, malah diberi peluang untuk mengasah bakat sebagai penceramah.

“Keberadaan saya di Makna sangat bermakna buat saya kerana tidak hanya terlibat dalam aktiviti sukarelawan, malah dilatih untuk menjadi penceramah memandangkan saya juga pernah menghidap kanser.

“Walaupun ada kekurangan, saya tetap ingin menyumbang kepada orang lain. Jadi dengan melakukan kerja-kerja ini saya percaya sebenarnya saya berupaya untuk berbakti dengan tenaga dan masa yang saya korbankan.

“Ketika melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) di Glasgow, Scotland, saya pernah mencabar diri sendiri dengan mengambil langkah bersama sekumpulan pelajar Malaysia lain menyahut cabaran untuk mengumpul dana sebanyak 2,000 pound (RM10,600) untuk menjayakan satu program kemanusiaan,” katanya.