Pernah dalam sebuah ceramah yang saya hadiri, seorang wanita Nigeria bertanya soalan ini kepada Firdaus Wong Wai Hung. Lantas pengerusi pertubuhan Multiracial Reverted Muslims itu menjawab:

“Kita perlu faham bahawa perhambaan dalam Islam sangat berbeza dengan perhambaan yang diamalkan oleh bukan Islam. Islam memberi banyak hak kemanusiaan kepada hamba abdi. Hak ini tidak ada dalam kamus perhambaan golongan bukan Islam.”

Apa yang beliau sebut sangat benar. Para hamba abdi diletakkan Allah seiring dengan manusia lain yang wajib dilayan dengan baik. Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga diri.” (al-Nisa’:4:36).

Rasulullah juga berpesan perkara sama dalam hadis Baginda, antaranya bermaksud: “Mana-mana lelaki yang miliki seorang hamba wanita, lalu mendidik hamba itu dengan baik kemudian memerdekakannya dan dikahwininya, maka baginya dua pahala. Begitu juga, mana-mana hamba lelaki yang menunaikan hak Allah dan hak tuannya, maka baginya dua pahala.” - Sahih Bukhari

Manakala, arahan ini pula menjadi pesanan akhir Baginda ketika saat ingin dijemput Allah ertinya: “Ketika sakit yang membawa kepada wafat Baginda, Rasulullah berterusan berpesan: “(jagalah) solat dan hamba milikmu.” Pesanan ini terus diucapkan Baginda sehingga mulut Baginda dipenuhi air liur (dan menghentikan sebutannya).” - Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad.

Seorang sahabat yang merendahkan sahabat lain turut ditegur Rasulullah maksudnya: “al-Ma’rur bin Suwayd menceritakan, Aku bertemu Abu Dhar r.a. di al-Zabadah (sebuah tempat berhampiran Madinah). Pada waktu itu beliau memakai pakaian yang sama dengan hambanya. Aku bertanya apa sebab persamaan itu (kerana biasanya pakaian hamba tidak sepatutnya sama kualiti berbanding tuannya). Beliau menjawab: Dahulu aku pernah caci seorang lelaki dan merendahkan ibunya (menurut sebuah riwayat Abu Dhar telah merendahkan Bilal dengan berkata: ‘Wahai anak perempuan hitam’ berikutan perbuatanku itu Nabi SAW menegurku dengan sabdanya “Wahai Abu Dhar, adakah kamu merendahkan (mencela) ibunya? Jika begitu pada dirimu masih ada perangai (buruk) jahiliah. Mereka itu adalah saudara kamu dan pembantumu yang ditakdirkan Allah berada di bawah jagaanmu. Sesiapa yang punyai hamba dalam jagaannya, maka hendaklah dia beri hambanya makan dengan makanan yang sama (kualiti serta jenis) dengan makanannya, dan hendaklah dia beri pakaian dengan pakaian yang sama dengan pakaiannya. Jangan sesekali kamu bebankan mereka dengan kerja yang tidak mampu mereka buat. Jika kamu arahkan dia dengan sesuatu kerja berat maka bantulah dia.” - Sahih al-Bukhari dan Muslim

Dalam peristiwa lain Rasulullah pernah menegur dengan tegas seorang sahabat yang sedang menyebat hambanya ertinya: “Abu Mas’ud al-Badariy menceritakan, aku pernah menyebat hambaku dengan cemeti. Tiba-tiba aku dengar satu suara dari belakang berkata: ‘Ketahuilah wahai Abu Mas’ud.’ Aku tidak faham maksud kata-kata itu kerana terlalu marah. Apabila suara itu semakin hampir denganku baru aku perasan dia adalah Rasulullah. Baginda masih berkata ‘Ketahuilah wahai Abu Mas’ud.’ Aku lantas mencampakkan cemeti daripada tanganku. Baginda menegaskan lagi sabdanya: “Ketahuilah wahai Abu Mas’ud! Sesungguhnya Allah sangat mampu menyeksamu lebih daripada tindakanmu menyeksa hamba ini.” Selepas nasihat nabi itu, aku tidak lagi memukul hambaku selama-lamanya.” - Sahih Muslim


MENGHAPUS DOSA

Islam membenarkan perhambaan bukan untuk mengekalkannya kerana kemuncak kebaikan kepada hamba yang dimiliki adalah membebaskan mereka. Bahkan Islam banyak mensyariatkan hukum yang menjadi sebab hamba abdi dibebaskan, antaranya seperti:

1 Penghapus dosa (kafarah) membunuh

Firman Allah maksudnya: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (dia wajib membayar kafarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar ‘diyah’ (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya)………” (al-Nisa’:4:92).


Orang yang melanggar sumpah

Firman Allah maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan 10 orang miskin daripada jenis makanan sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba…” (al-Ma’idah 5:89).

Ini antara ‘secubit’ nas agama yang membezakan perhambaan dalam Islam dengan perhambaan bukan Islam. Semoga kekeliruan kita berkaitan ini dipadam terus tanpa bekas.

Perhambaan sudah dihapuskan, tapi ada sesetengah majikan yang melayan pekerja mereka seperti hamba. Pekerja dibebankan dengan tugasan luar biasa, diherdik dihina seolah mereka tiada harga diri dan tambah parah dilewatkan pembayaran gaji.

Tindakan ini salah dengan etika Islam dan hak kemanusiaan. Sebagai penutup, jadikanlah hadis Rasulullah berikut sebagai ‘lampu merah’ bagi kita agar tidak melanggar perkara tidak disukai Allah dan Rasulullah:

Sabda Rasulullah maksudnya: “Ada tiga jenis manusia yang Aku (sendiri) akan dakwa (serta musuhinya) pada hari kiamat, iaitu; (1) orang yang bersumpah dengan nama-Ku (nama Allah) lalu dia langgar (sumpah tersebut), (2) orang yang menjual manusia merdeka kemudian makan hasil jualannya (kerana manusia merdeka tak boleh dijual), (3) orang yang mengupah seseorang untuk melakukan sesuatu kerja, lalu yang diupahnya menyempurnakan kerjanya tapi si pengupah tetap tidak membayar upahnya.” - Sahih Bukhari