Dari seni bina yang gah sehingga kepada makanan dan minuman. Setiap satu daripadanya mempunyai sentuhan tersendiri yang melambangkan budaya dan kearifan masyarakat Uthmaniyah.

Satu daripada makanan Turki yang terkenal pada hari ini ialah ais krim Turki. Ia unik kerana penjual ais krim mempunyai gaya tertentu ketika menjual ais krim. Rasa ais krim Turki dibuat menggunakan ramuan tradisional dan cita rasa masyarakat tempatan. Satu daripada ramuan wajib dalam ramuan tradisional manisan Turki ialah salep.

Salep ialah bahan yang dihasilkan daripada sejenis pokok dikenali secara umumnya sebagai orkid liar. Orkid liar yang paling banyak digunakan dalam pembuatan salep ialah orkid daripada spesis Orchis Mascula. Spesis ini mempunyai bunga kecil yang sangat cantik dan berwarna ungu. Bahagian pokok yang digunakan dalam pembuatan salep ialah ubi pada bahagian hujung akarnya.

Bentuk akar pokok ini agak unik kerana ia selalunya terbelah dua dan dikenali sebagai akar Adam dan Hawa dalam kalangan masyarakat setempat di Turki. Spesis orkid liar ini sering dijumpai di kawasan yang sejuk seperti di Eropah, Turki, Iran, India Utara dan Afrika Utara.

KEUNIKAN SALEP

Proses membuat salep dimulakan dengan memotong ubi daripada batangnya sebelum dikeringkan. Setelah kering sepenuhnya, ubi akan dikisar menjadi serbuk. Serbuk yang berwarna coklat ini digunakan dalam manisan Turki seperti ais krim dan minuman.

Secara amnya Salep tidak mempunyai rasa tetapi penggunaannya dalam pembuatan ais krim menjadikan ais krim lebih anjal, manakala penambahan salep ke dalam minuman panas seperti kopi menjadikannya pekat disebabkan oleh sifatnya yang berkanji.

Penggunaan salep dipercayai mempunyai banyak manfaat dari sudut kesihatan kerana kandungan beberapa mineral yang terdapat di dalamnya.

Antara faedah kesihatan penggunaan herba ini ialah untuk membantu menangani masalah pernafasan, demam dan penjagaan kesihatan secara am. Para pelayar zaman Dinasti Uthmaniyah memastikan salep sebagai satu daripada bahan yang wajib ada di atas kapal ketika berlayar bagi tujuan kesihatan.

Minuman panas yang menggunakan salep seperti kopi telah tersebar sehingga ke Barat. Di London, minuman kopi ini dipanggil Saloop pada abad ke-17. Namun pada abad ke-18, masyarakat Barat mula menggantikan salep Turki dengan akar orkid tempatan di sana kerana disebabkan kesukaran mendapatkan bekalan salep yang asli, tetapi proses penghasilannya masih sama. Minuman kopi Turki yang mengandungi campuran salep telah menjadi satu minuman eksklusif di Barat pada waktu itu.

Akibat daripada permintaan pasaran yang tinggi terutama pada hari ini, ahli botani telah mengeluarkan amaran kepupusan beberapa spesis orkid liar yang sedang dihadapi Turki. Ini terjadi disebabkan oleh keghairahan para pengumpul akar orkid liar dan permintaan pasaran yang semakin tinggi.

Selain Turki, beberapa negara lain yang mengeksport akar tumbuhan orkid ini ke Turki ialah India, Iran dan beberapa negara Barat seperti Greece. Terdapat juga sesetengah pengusaha yang menggunakan bahan tiruan dalam penghasilannya sebagai alternatif.