Adapun yang tegar dalam kemaksiatan, sendiri terpencil melayan segan. Pintu neraka yang tertutup rapat usah cuba dijenguk, pintu syurga luas terbuka menanti penghuninya untuk masuk.

Saban tahun kita meraikan kegembiraan. Ada yang gembira kerana peluang ibadah. Ada yang gembira dengan pahala. Ada yang sudah gembira sekadar berpeluang menemuinya. Ada yang gembira dek laba berganda. Ada yang gembira dengan meriahnya.

Pendek kata, gembira itu bermacam rupa dan cerita. Namun, rezeki Ramadan yang bakal diterima apakah memugar sedar pada sukma? Atau hanya sekadar kelaziman yang berlalu, namun kosong daripada pengajaran?

Kesempatan ini kita mahu bicara soal ingatan. Ramadan bulan beringat dan kembali ingat. Namun apakah sebenarnya yang mahu diingatkan kepada kita oleh Ramadan?

RAMADAN MEMUGAR INGATAN

Ramadan membuatkan manusia kembali ingat, ini kerana tatkala lapar dan dahaga menyengat, tatkala itu insan akan mula sedar akan ertinya lapar. Dia teringat kepada kelaparan saat dia sendiri ‘merasa’ lapar. Walhal sepanjang tahun kekenyangan itu, tidak terlintas padanya dia juga akan nanti merasa lapar.

Ketika itu, terjentik dalam jiwanya merasa kasihan kepada mereka yang sentiasa lapar. Lantas memberi galakan kepadanya untuk turut berkongsi dan memberi makan kepada golongan itu.

Tokoh Islam, Imam al-Izz bin Abd al-Salam mengungkapkan dalam nukilan beliau Maqasid al-Sawm bahawa, antara kelebihan ibadah puasa adalah dengan memperbanyakkan sedekah.

Telah sampai khabar bahawa Nabi Allah Sulaiman a.s. atau Yusuf a.s tidak akan pernah makan sehinggalah semua orang yang bergantung kepada mereka telah makan. Hal tersebut ditanyakan kepada Baginda lantas dijawab: “Aku takut untuk kenyang, lalu aku melupakan perihal orang yang lapar.”

Justeru, tidak hairanlah betapa besarnya ganjaran pahala khasnya bagi mereka yang memberi makan kepada orang berpuasa tatkala berbuka. Berkongsi rasa, maka Allah berikan juga mereka berkongsi pahala yang ironinya jika berkongsi, masing-masing mendapat bahagian separuh, tetapi perkongsian pahala ini sifatnya penuh.

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” - Riwayat Ahmad

Justeru, tidak hairanlah para salafussoleh menjadikan aktiviti ini sebagai satu kepuasan dalam diri mereka tatkala menjalani ibadah puasa.

* Abdullah Umar r.a; berpuasa dan tidak akan berbuka kecuali jika ada bersamanya fakir miskin.

* Hasan al-Basri; saat dia berpuasa sunat, memberi jamuan makan kepada saudaranya dan melayan mereka makan.

* Hammad r.a; memberi makan setiap hari untuk berbuka puasa kepada hampir 500 orang semuanya.

Perihal lapar ini juga sebenarnya mengingatkan kita tentang keadaan dalam neraka. Ahli neraka berada dalam keadaan sangat lapar dan dahaga. Meskipun terhidang makan dan minum, namun semuanya berupa seksaan serta tidak memberi manfaat.

Sayugia, ingatan kepada ‘memori futuristik’ ini mampu menambah kualiti amalan dan ketaatan agar kita terselamat daripada menjadi ahli neraka yang lapar serta dahaga.

Selain itu, proses ini juga mengingatkan manusia agar memahami erti bersyukur dengan nikmat. Ya, nikmat tidak dirasa kecuali setelah kehilangannya.

Perkara paling istimewa dengan ibadah lapar dan dahaga ini adalah menghalang ingatan manusia daripada memikirkan maksiat dan jalan mengingkari perintah Tuhan.

Nafsu akan kenyang dan bertenaga jika perut yang menjadi sumber penggalaknya juga penuh dengan segala isi. Ingatan kepada kelaparan menjadikan dirinya lupakan kemaksiatan.

Oleh itu, sebahagian para ulama pernah berkata, setelah ditanyakan mengapakah puasa diutamakan daripada ibadah lain, lantas mereka menjawab: “Jika Allah melihat nafsuku dan mendapatinya sedang menggalakkan aku kepada makanan dan minuman (dalam keadaan aku lapar), maka itu lebih aku sukai berbanding Allah melihat nafsuku tertumpu kepada menyeruku melakukan maksiat kepada-Nya dalam keadaan aku kekenyangan.”

Malang sekali, saban Ramadan kita menjadi saksi. Manusia yang lupa akan diri. Hakikatnya tidak ramai menjadikan Ramadan untuknya agar kekal ingat.

APA KITA INGAT?

Bahkan yang lebih malang, ramai pula yang seakan-akan berpenyakit ‘memori jangka pendek’ dengan terus melupakan akan semua yang perlu dingatkan sepanjang proses puasanya itu. Tempohnya terlalu sementara. Gagalnya mereka ketika hampir berbuka.

Lihatlah, berapa ramai yang berhabis duit tatkala membeli juadah sebelum berbuka, namun semuanya hanya demi serakah yang akhirnya terbuang menjadi sampah. Hidangan yang sewajarnya dikongsi, semuanya ibarat nafsi-nafsi.

Benarlah kata-kata Imam al-Syafi’e bermadah pujangga menasihat diri:

“Kita sama sekali tidak pernah mengharapkan kebaikan daripada diri yang keji. Sesungguhnya sama sekali tidak ada dalam neraka itu air buat mereka yang dahaga!.”

Pedih dan mendalam sekali kata-kata ini. Namun, apakah sebenarnya yang mampu memberi ingat kepada manusia? Dihadiahkan Ramadan, namun tetap dipersia. Ketaatan yang melekat hanya sementara. Seolah-olah terlalu liat mahu berpisah dengan maksiat.

Ramadan kali ini biarlah bererti. Jangan jadikan ia hujah ke atas kedegilan diri. Ingatlah duhai diri kembalilah menjernihkan peribadi. Khuatir ingatmu nanti terlalu lewat. Mahu berubah sudah terlambat. Kerana kematian sudah pun mendekat!