Perbuatan membakar harta benda dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai perlu dihindarkan, sebaliknya individu yang terlibat dengan sebarang perhimpunan aman perlu berusaha mengawal perasaan dengan tidak menimbulkan kekacauan.

Tindakan ganas segelintir aktivis dan penyokong kumpulan nasionalis Ukraine membakar barangan di tempat awam merupakan amalan yang sama sekali tidak boleh ditiru atau diguna pakai oleh umat Islam dalam membuat tuntutan secara aman menerusi perhimpunan aman. – REUTERS

Tindakan Daesh sebabkan imej Islam tercalar

KEMUSNAHAN terus berlaku angkara perbuatan kumpulan militan Daesh yang masih tidak putus-putus melancarkan serangan bagi menakutkan orang ramai seperti yang berlaku di Nigeria baru-baru ini.

Perbuatan tidak bermoral dan merosakkan harta benda milik kerajaan bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada sesebuah negara, malah dalam masa sama menyebabkan imej Islam itu sendiri rosak dalam kalangan masyarakat dunia.

Ekoran perbuatan seumpama itu, Islam terus dilabelkan sebagai pengganas dan kejam, sedangkan Islam sama sekali tidak seperti itu.

Islam mengajak kepada kedamaian dan keharmonian hidup, malah menghormati ajaran agama lain serta tidak membenarkan umatnya mengeji amalan agama lain. 
– REUTERS

Tiada kompromi dengan hak umat Islam

DEMI mempertahan hak dan tuntutan Islam dalam menjaga aurat, umat Islam di Maldives bangkit bersatu menuntut kerajaan melindungi kepentingan utama tersebut yang telah ditetapkan dalam agama.

Enggan tunduk kepada desakan agar membuka hijab, sekumpulan umat Islam Maldives berhimpun mengadakan bantahan secara terbuka kepada kerajaan agar tidak mencabuli hak sebagai umat Islam yang beramal soleh.

Protes itumenyeru kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang Islam yang lebih ketat, selain tidak memandang sebelah mata terhadap pegangan utama yang diamalkan sebelum ini.

Maldives adalah sebuah negara di kepulauan Laut India yang mempunyai kira-kira 300,000 orang Islam dan bertindak melarang penduduknya mengamalkan ajaran agama lain. – AP

Jaga etika, elak bertindak liar

TINDAKAN memukul dan mencederakan pihak berkuasa bukan amalan yang dibenarkan dalam Islam kerana kumpulan petugas kerajaan tersebut bertindak melaksanakan tugas berdasarkan ketetapan dalam bidang kuasa yang ditetapkan.

Kegagalan mengawal emosi menyebabkan segelintir masyarakat sanggup melakukan kekerasan terhadap penguat kuasa undang-undang, malah bertindak menumbuk pegawai bertugas yang menjalankan tugas.

Sikap melampau sekumpulan ahli nasionalis Ukraine itu dirakam semasa mengadakan perhimpunan di luar Pejabat Pendakwa Negara di Kiev, Ukraine bagi mendesak agar beberapa tertuduh yang disabitkan dengan keanggotaan dalam kumpulan bersenjata haram pihak militan Daesh dibebaskan. – REUTERS