Itu yang terlintas dalam fikiran penulis setelah beberapa kali membelek pantas bermula daripada mukadimah sehingga senarai isi kandungan buku karangan Syaikh Ahmad Mahmud Syawabkah ini.

Jika dilihat daripada tajuk, kitab berjudul as-Sahih al-Ma’tsur fi ‘Alam al-Barzakh wal-Qubur ini secara zahirnya memberikan gambaran kepada pembaca bahawa perhatian utama dalam perbincangannya pastilah berkait langsung tentang alam barzakh dan kubur.

KITAB as-Sahih al-Matsur fi Alam al-Barzakh wal-Qubur.
KITAB as-Sahih al-Matsur fi Alam al-Barzakh wal-Qubur. 

Namun, ternyata sangkaan penulis meleset. Sebaliknya, lebih separuh topik yang disentuh pada peringkat awal perbincangan kitab ini menyentuh tentang hal ehwal hakikat dunia, kesakitan, saat nazak, husnul khatimah sehingga kepada pengurusan jenazah beserta hukum-hakam berkaitan dengannya.

Hanya apabila tiba ke bab yang ke 13 barulah topik-topik berkait kubur, barzakh, kebangkitan dan seumpamanya dibincangkan. Malah, topik-topik ini lebih sedikit jumlah halamannya berbanding yang sebelumnya. Pelik bin ajaib.

KENAPA BEGITU?

Pertanyaan ini mungkin timbul di fikiran sebahagian pembaca, malah termasuk penulis sendiri tertanyakan soalan sama. Harapan pembaca pastinya mahukan lebih banyak informasi mengenai hal ehwal barzakh, roh dan hal-hal ghaib berkaitan dengannya.

Jika diperhatikan kembali artikel yang terdahulu bertajuk ‘Alam ghaib dan rahsia Allah’, penulis berkongsi bagaimana Allah mengingatkan kita dengan bertalu-talu hakikat kosongnya pengetahuan kita terhadap hal-hal ghaib.

Allah berfirman maksudnya: “Kunci pengetahuan mengenal hal-hal ghaib itu semua pada-Nya, tiada yang mengetahuinya kecuali Dia.” (al-An’am:59)

Ini kerana kunci mutlak sebarang informasi dan fakta berkait urusan ghaib hanya dimiliki oleh Allah, tidak selain-Nya melainkan perkara-perkara yang Allah khabarkan sendiri dalam al-Quran dan wahyukan kepada utusan-Nya.

Sebagaimana Allah tekankan sendiri dalam ayat yang lain ertinya: “(Dialah) Yang mengetahui (urusan) ghaib. Dia tidak mendedahkannya kecuali kepada utusan yang Dia redai.” (al-Jin:26-27)

Para malaikat yang tidak putus berinteraksi secara langsung dengan Allah sendiri tidak mengetahui perkara-perkara yang tidak diberitahu kepada mereka. Sebagaimana Allah gambarkan setelah bertanya kepada mereka untuk memberitahu nama-nama segala perkara yang diajarkan kepada Nabi Adam a.s.

Lalu mereka hanya mampu mengatakan; “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan). Kami tidak memiliki sebarang ilmu kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah:32)

Ulama tafsir, Imam ar-Razi (wafat 606 hijrah) ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan: Ulama Islam berhujah dengan ayat ini bahawa tiada satu pun jalan untuk mengetahui hal ghaib kecuali dengan pemberitahuan daripada Allah. Malah, tidak mungkin bagi seseorang untuk berinteraksi dengannya dengan ilmu nujum, sihir apatah lagi dengan tilikan. - Tafsir al-Kabir

APA YANG KAMU SIAPKAN?

Nabi SAW menyebutkan: “Orang yang cerdik itu ialah orang yang sentiasa menundukkan jiwanya (dalam ketaatan) dan beramal untuk apa (yang akan berlaku) selepas kematian” – Riwayat Tirmizi

Jelas, pesan ringkas baginda ini bahawa urusan selepas kematian menjadi titik peringatan kepada kita untuk fokus melaksanakan tugas dan menunaikan tanggungjawab dalam fasa keduniaan ini iaitu dengan meneruskan usaha meningkatkan kualiti amal dengan ikhlas.

Dalam riwayat daripada Anas r.a., beliau menyebutkan kisah seorang Badwi yang datang menemui Nabi SAW lalu bertanyakan bila kiamat akan berlaku. Nabi dengan ringkas menjawab: “Apa yang engkau persiapkan untuk menghadapinya?” – Riwayat Bukhari

Jelas dan padat. Alam ghaib dan segala perkhabarannya mempunyai tujuan yang jelas iaitu untuk kita bersiap menghadapinya. Ia tidak sepatutnya menjadi punca seseorang menjadi sibuk mencari butiran tentang pelbagai persoalan berkaitannya.

Imam al-Qurtubi (wafat 671 Hijrah) menyebutkan, “Antara hikmah kenapa didahulukan pemberitahuan tanda-tanda kiamat dan menunjukkannya kepada semua, adalah untuk mengejutkan mereka dari tempat tidur mereka. Ini akan mendorong mereka untuk sentiasa memperhatikan diri agar bertaubat dan kembali kepada Allah supaya kelak tidak terkesima dengan beban kejutan berhadapan dengan tanda-tanda tersebut.” (at-Tazkirah)

PELAJARI KEUTAMAAN

Allah mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Persiapkanlah bekalanmu, sesungguhnya, sebaik-baik bekalan ialah ketakwaan..” (al-Baqarah:197)

Ini bukti hebat dan telusnya agama ini. Ia mendidik umatnya untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada realiti sambil mengekalkan kadar keyakinan melalui pemberitahuan tentang perkara yang tidak dapat dibuktikan dengan zahir pemikiran, apatah lagi deria yang terhad kemampuannya.

Adapun untuk bertanya lebih lanjut dan mengenal butiran mengenai hal-hal ghaib ini di luar daripada kerangka wahyu, mungkin sebaiknya kita renungkan pesanan Allah yang cukup menggetarkan jiwa ini.

“Wahai orang beriman! Janganlah kalian bertanya tentang perkara-perkara yang jika didedahkan kepada kalian, ia hanya akan menyusahkan kalian.” (al-Maidah:101)

Bertanya bukanlah satu kesalahan. Tetapi, apa saja yang bersifat berlebihan dan luar daripada keutamaan sebagai umat Islam sehingga menjadikan kita sibuk terhadap urusan yang tidak sepatutnya kita sibukkan. Ini satu kerugian.

Justeru, banyakkanlah berinteraksi dengan ketepatan maklumat daripada kalam-Nya dan pesan utusan-Nya sambil dibimbing para ilmuan dari zaman keemasan salaf sehingga kini. Nescaya kita akan terus terpandu dengan hidayah serta taufiq daripada-Nya.