Peruntukan tersebut seolah-olah menjadikan MAIN sebagai pemutus dalam sebarang usaha pembangunan komersial harta umat Islam itu, sedangkan kepakaran mereka dalam bidang berkenaan boleh dipertikai.

Apa tidaknya, kepakaran dalam bidang pembangunan komersial aset itu memerlukan pengiktirafan dalam bentuk keilmuan dan pengalaman.

Namun Setiausaha Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Fakhruddin Abdul Rahman menegaskan, aspek pemegang amanah tunggal itu bukan bererti MAIN boleh berbuat sesuka hati.

Ini kerana, tambahnya, aspek tersebut bagi memastikan aspek tadbir urus harta wakaf sama ada dalam bentuk fizikal mahupun tunai tidak berlaku sebarang penyelewengan oleh pihak tertentu.

Dalam pada itu, katanya, aspek tersebut diwujudkan berteraskan peruntukan perundangan Islam yang risiko untuk alami perubahan adalah agak sukar pada masa depan.

“Jika wujud banyak pihak sebagai pemegang amanah, sudah pasti tadbir urusnya pelbagai dan mungkin dari segi penyelarasan hukum tidak sama. Satu pihak tafsir macam ini tetapi satu lagi mungkin sebaliknya.

“Jadi, jika MAIN sebagai pemegang amanah tunggal, maka tadbir urusnya tidak berubah walaupun wujud perubahan dari segi kepimpinan dan tenaga kerja di MAIN itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi forum sempena Seminar Wakaf Institusi Pendidikan 2018 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri; dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan), Universiti Putra Malaysia (UPM) di universiti berkenaan, baru-baru ini.

Forum itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif UPM Holding Sdn. Bhd., Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar dan Pengarah Wazan UPM, Dr. Razali Othman.

BERMULANYA SEJARAH

Mungkin agak kaget jika dikatakan sistem pemegang amanah tunggal itu tercetus semasa British menjajah negara ini. Apa tidaknya, sejarah jelas menyatakan polisi British masa itu, tidak campur tangan dalam hal ehwal agama Islam dan adat Melayu.

Tetapi campur tangan itu berlaku apabila dikatakan ketika itu sudah wujud banyak kes pertelagahan dan konflik berpanjangan antara pemegang amanah individu dengan waris, sama ada yang dirujuk dalam atau luar mahkamah.

“Saya pasti pada waktu itu sudah ada pemahaman tentang wakaf adalah hak ummah, tetapi ketiadaan peruntukan undang-undang seperti hari ini menyebabkan timbul dakwaan monopoli oleh pihak yang diamanahkan.

“Mungkin generasi pertama percaya kepada pemegang amanah yang dilantik mereka, tetapi bila masuk generasi kedua, ketiga dan seterusnya, kepercayaan itu sudah luntur, dan untuk itu, ia dirujuk ke mahkamah,” kata Fakhruddin.

Jadi tidak hairanlah apabila beliau memberitahu, British mewujudkan satu sistem Trustee (pemegang amanah) untuk menguruskan harta wakaf di negeri-negeri Selat melalui penubuhan Muslim and Hindu Endowment Board pada 1901.

Kewujudan badan tersebut menunjukkan British mungkin sedar tentang risiko tercetus konflik yang boleh mengganggu gugat kestabilan jajahan takluk mereka akibat perebutan harta wakaf tersebut.

“Sama ada tujuan itu ada agenda tertentu atau tidak, saya kurang pasti. Cuma bagi saya, ini merupakan satu perkara yang ada hikmahnya, bila kita lihat untuk jangka masa panjang.

“Saya kata hikmah kerana ia adalah satu pendekatan terbaik untuk memastikan kelestarian harta wakaf berkekalan pada masa-masa akan datang,” katanya.

BUKAN SATU PERANGKAP

Pada masa sama, Fakhruddin tidak menolak kemungkinan terdapat dalam kalangan umat Islam menyifatkan sistem Trustee itu sebagai suatu perangkap kepada perkembangan amalan berwakaf di negara ini.

Ini kerana, tambahnya, sistem itu akan menimbulkan rasa gusar atau takut dalam pemikiran masyarakat Islam yang ingin mewakafkan aset wakaf mereka sama ada berbentuk fizikal atau tunai.

“Tercatatnya nama MAIN sahaja pada dokumen pemilikan aset berkenaan menyebabkan masyarakat takut dan inilah menjadi perangkap kepada kesuburan amalan berwakaf di Malaysia,” katanya.

Tetapi Fakhruddin menegaskan, isu pemegang amanah tunggal itu tidak bermakna usaha membangunkan aset yang diwakafkan tersebut akan terbantut.

Katanya, harta wakaf didaftarkan di bawah MAIN sebagai pemegang amanah sampai bila-bila tetapi dalam waktu sama, pihak MAIN boleh menyerahkan kuasa pentadbiran dan pengurusan harta kepada mana-mana pihak yang berminat memajukannya.

Tambahnya, MAIN tidak akan campur tangan dalam aspek tersebut tetapi selaku pemegang amanah tunggal, MAIN akan pastikan ia diurus sebagaimana digariskan oleh syarak.

“Usaha MAIN itu bukan setakat itu sahaja, tetapi juga untuk memastikan pahala berterusan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada pewakaf terlaksana tanpa sebarang keraguan,” katanya.