Al-Sarraj mengatakan bahawa hal penyaksian merupakan maqam (kedudukan) yang tinggi dan ia merupakan fenomena atau suasana mengukuhkan lagi hakikat keyakinan seseorang hamba terhadap Allah bagi yang mencapai tahap ini.

Beliau turut memetik firman Allah berkaitan hal penyaksian maksudnya: “Sesungguhnya (keterangan dan peristiwa) itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang yang mempunyai hati atau menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya (shahid).” (Qaf: 37)

Berdasarkan ayat ini menjelaskan bahawa hal penyaksian adalah berkait rapat dengan hati. Oleh itu, sebahagian golongan sufi menjelaskan pengalaman mereka dengan mengatakan bahawa ia merujuk kepada menyaksi al-Haq, iaitu menerusi penyaksian mata hati (al-basirah).

Manakala menurut golongan sufi, penglihatan dengan mata hati tersebut merupakan penyaksian menerusi cahaya keyakinan (nur al-yaqin) terhadap sesuatu hakikat tersembunyi di alam ghaib.

DEFINISI PENYAKSIAN

Pada bahasa adalah berasal daripada bahasa Arab: shahada- yushahidu- mushahadatan yang bermakna saling menyaksikan atau menyaksikan secara langsung dengan amat jelas.

Manakala daripada penggunaan istilah khusus, ia dijelaskan oleh pelbagai golongan sufi berdasarkan pengalaman penghayatan masing-masing seperti berikut:

  • Abu Sa’id al-Kharraz

Sesiapa menyaksi Allah dengan hatinya, akan lenyaplah daripada dirinya segala perkara selain daripada-Nya. Segala yang wujud menjadi binasa dan hilang apabila bertembung dengan kewujudan Allah yang Maha Besar; dengan itu tiada sesuatu yang tinggal dalam hati penyaksi tersebut kecuali Allah.

  • Iba ‘Arabi

Menurut catatannya dalam kitab al-Futuhat al-Makiyyah, penyaksian adalah sesuatu perkara yang berasaskan daripada pelbagai dalil tauhid yang terdapat daripada perkara tersebut dan hakikat yang diperoleh daripada al-mushahadah itu ialah suatu keyakinan yang tidak berbaur sebarang syak.

  • Ahmad al-Kamshakhanawi

Merujuk kepada penyaksian hati terhadap pelbagai perkara ghaib yang dikhabarkan oleh Allah. Pelbagai perkara ghaib tersebut boleh difahami menerusi pelbagai cahaya rahsia yang diperoleh ketika hati benar-benar bersih daripada segala kekotoran dan keburukan

PEMBAHAGIAN PENYAKSIAN

Menurut Ahmad al-Kamshakhanawi hal penyaksian terbahagi kepada tiga iaitu:

1. Penyaksian Umum

  • Juga diistilahkan sebagai mushahadah bi al-Haq
  • Mushahadah peringkat ini merujuk kepada penyaksian pelbagai perkara berasaskan pelbagai dalil atau bukti.

2. Penyaksian khas

  • Juga diistilahkan sebagai mushahadah li al-Haq
  • Mushahadah peringkat ini merujuk kepada penyaksian al-Haq dalam pelbagai perkara wujud.

3. Penyaksian lebih khusus

  • Juga diistilahkan sebagai mushahadah al-Haq.
  • Mushahadah peringkat ini merujuk kepada penyaksian terhadap al-Haq semata-mata iaitu dalam keadaan tanpa ada lagi perkara wujud selain daripada Allah.

Menurut tokoh besar sufi, al-Junayd al-Baghdadi dalam kitab Rehlah ila al-Haq hal penyaksian juga terbahagi kepada tiga iaitu:

1. Mushahadah al-Haq bi al-Haq

Merujuk kepada penyaksian terhadap Wahdaniyyah Zat Allah menerusi pelbagai sudut dalil.

2. Mushahadah li al-Haq

Merujuk kepada penyaksian al-Haq dalam pelaksanaan pelbagai bentuk penciptaan dan penyempurnaan pelbagai bentuk kewujudan serta penjagaan semua perkara tersebut daripada kebinasaan.

3. Mushahadah al-Haq

  • Merujuk kepada penyaksian al-Haq sebelum penyaksian terhadap pelbagai perkara wujud.
  • Ini bermakna seseorang sufi yang sampai ke tahap ini akan dapat menyaksikan terlebih dahulu kewujudan al-Haq dalam setiap perkara wujud yang disaksikan.
  • Perihal ini menyamai apa yang diungkapkan oleh Khalifah Islam, Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq bahawa: “Aku tidak menyaksikan sesuatu perkara wujud, kecuali sebelumnya aku telah menyaksikan Allah”.

KESIMPULAN

Ternyata bahawa hal al-mushahadah merupakan pengalaman dan penghayatan yang boleh dicapai menerusi penggunaan hati atau mata hati apabila hati tersebut telah sedia dibersihkan daripada pelbagai jenis kekotoran nafsu serakah manusia.

Perolehan berbentuk pengalaman yang dicapai dalam hal penyaksian ini adalah benar-benar berbentuk yakin dan ia juga jelas dialami dan dihayati dalam beberapa bahagian serta tahap tersendiri dengan tertakluk kepada tinggi atau rendahnya pencapaian seseorang sufi tersebut.