Apa yang menyedihkan sekarang adalah individu yang dilahirkan sebagai Muslim sendiri langsung tidak mengamalkan syariat Islam, apatah lagi membimbing pasangannya yang baru mengenali Islam.

Hakikatnya, Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada hamba yang dapat menarik hati seseorang bukan Islam beriman kepada-Nya.

Apatah lagi saudara baharu itu menjadi pasangan kita untuk bersama-sama melayari bahtera rumah tangga sehingga menuju ke ‘negeri kekal abadi’.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya; “Sesiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).” - Riwayat Muslim

Hadis tersebut jelas menunjukkan tentang hebatnya ganjaran diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperoleh selagi orang itu melakukan serta mengamalkannya.

Namun, situasi itu hanya untuk pasangan yang benar-benar mengikut ajaran Islam. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mengamalkannya walaupun berkahwin mengikut syariat Islam?

Mengulas lanjut pendakwah muda, Muhammad Adam Muhibullah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dai Adam berkata, menjadi kewajipan kepada suami atau isteri untuk membimbing pasangan masing-masing yang baru memeluk Islam mengenali agama Allah itu.

Hal demikian bagi menjadikan perkahwinan itu diberkati Allah dan rumah tangga yang dibina memperoleh sakinah (ketengangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah apabila mengerjakan semua yang diperintah-Nya.

“Untuk beramal perlukan ilmu. Maka, sebab itu pentingnya untuk mengajarkan ilmu agama kepada pasangan yang baru memeluk Islam agar mereka dapat melakukan amal ibadat dengan sempurna.

“Jangan ingat tanggungjawab pada suami sahaja, tetapi juga pada isteri terutama dalam soal membimbing pasangan mualaf masing-masing.

“Hal ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud: “Setiap orang adalah pemimpin dan akan pertanggungjawabkan atas kepemimpinannnya...” Maka suami dan isteri akan dipersoalkan di akhirat kelak tentang tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada Mega Mimbar, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

USAHA BERTERUSAN

Menurut Dai Adam yang juga mualaf, tanggungjawab membimbing pasangan baru memeluk Islam adalah sangat besar dan memerlukan usaha berterusan.

Kegagalan mempamerkan akhlak yang baik serta tidak beramal dengan syariat Islam akan menyebabkan pasangan mualaf tersebut mempunyai tanggapan buruk tentang Islam sekali gus membuatkan mereka menjauhkan diri daripada agama Allah.

Berdasarkan situasi itu tambahnya, jika berlaku masalah dalam hubungan yang kemudiannya membawa kepada penceraian, tidak mustahil pasangan itu akan kembali kepada agama asalnya kerana tidak melihat keindahan Islam sebenar.

“Antara tanggungjawab seorang Muslim terhadap pasangannya yang baru memeluk Islam adalah mengetahui secara umum tentang nafkah zahir dan batin serta pentingnya menjaga keharmonian rumah tangga.

“Mereka juga perlu mengajarkan ilmu agama kepada pasangan tersebut, menunjukkan akhlak yang baik seperti dituntut dalam Islam serta menerapkan cara hidup Islam dalam berumah tangga dan kehidupan seharian,” ujarnya yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Sumber Insan, Kolej Universiti Islam Selangor.

Selain itu, juara program realiti dakwah, Dai Pendakwah Nusantara musim keenam itu turut menyarankan supaya suami atau isteri untuk menghantar pasangan masing-masing menghadiri kelas fardu ain khusus untuk golongan mualaf oleh pihak berwajib.

Mereka juga boleh meminta nasihat daripada insan-insan yang banyak menyantuni golongan mualaf atau mendapatkan pandangan daripada golongan mualaf sendiri.

“Kita perlulah sentiasa menyeru manusia tidak kira warna kulit, bangsa dan agama kepada hidayah atau kebaikan. Ini kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah kepada sesiapa yang membawa saudaranya ke jalan hidayah adalah amat besar.

“Semoga Allah memberi kita kekuatan dan hikmah dalam menyeru manusia ke jalan hidayah yang akan membawa manusia ke syurga,” katanya.

Walaupun golongan mualaf diibaratkan seperti kain putih kerana dosa-dosanya sebelum memeluk Islam diampunkan Allah, namun mereka memerlukan bimbingan secara berterusan.

Tugas membimbing tidak sepatutnya dianggap sebagai beban, sebaliknya si suami atau isteri perlu berasa bertuah kerana diberikan peluang untuk memperoleh ganjaran hebat dengan membawa pasangannya mendekati dan mengenali Islam.

Malah, pahala tersebut akan terus mengalir selagi mana pasangan yang baru memeluk Islam itu terus mengamalkan segala diajarkan.

Lebih penting, rumah tangga yang dibina mendapat rahmat Allah sekali gus mencipta peluang untuk mendapatkan tempat bersama di syurga Allah.