Biarpun baru berusia setahun jagung, persekitarannya terasa cukup kondusif apabila bangunan madrasah itu direka bentuk persis seni bina sebuah sekolah di Casablanca, Magribi.

Dengan kos pembangunan sebanyak RM5 juta, Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas yang dibina oleh Yayasan Nur Ikhlas didirikan atas tapak seluas kira-kira dua hektar.

Bermula dengan kumpulan pertama seramai 20 pelajar yang menyertai maahad tahfiz itu pada tahun lalu, jumlahnya bertambah seramai 12 pelajar pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 32 pelajar.

Pengerusi Yayasan Nur Ikhlas, Datuk Mohd. Azmi Othman berkata, pihaknya membiayai sepenuhnya keperluan seharian pelajar termasuk makanan, minuman dan pakaian tanpa mereka perlu mengeluarkan sebarang kos. 

“Namun, kemasukan ke maahad ini ditapis kerana kita hanya membiayai anak yatim termasuk golongan asnaf dengan pendapatan isi rumah kurang RM2,500 sebulan.

“Ketika ini selain surau, dewan makan dan kelas, terdapat juga dua buah bilik asrama yang dapat memuatkan sehingga 100 pelajar. Kita merancang mendirikan rumah guru di sini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Pengelola Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof berkata, bagi dua tahun pertama di sini, pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diambil akan memfokuskan kepada pengajian tahfiz sepenuh masa.

Beliau berkata, selepas itu pelajar akan dipilih untuk mengikuti pembelajaran intensif selama tiga tahun bagi menduduki sama ada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Cambridge International Gene­ral Certificate of Secondary Education (IGCSE). 

“Kita memilih IGCSE bagi memberikan nilai tambah kepada pelajar maahad tahfiz ini kerana ia merupakan peperiksaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas baru-baru ini menganjurkan majlis Anugerah Hafazan al-Quran bagi meraikan empat pelajar yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk dalam masa setahun sebulan, lebih awal dari tempoh dua tahun ditetapkan.

INTEGRASI DUNIAWI, UKHRAWI

Usaha penubuhan Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas dalam melahirkan generasi ulul albab yang terbilang tidak mampu direncana tanpa idea bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selaku penaungnya.

Zambry ketika ditemui berkata, beliau bukan sahaja menginginkan pelajar di madrasah itu menghafaz, tetapi memahami al-Quran selain didedahkan dengan kepelbagaian ilmu serta bahasa.

Beliau berkata, pendekatan ditekankan adalah proses pendidikan yang membawa kepada pembentukan akal, minda, jasmani dan akhlak.

“Kita tidak mengambil pelajar-pelajar terbaik dalam pelajaran, tetapi kami tubuhkan maahad ini sebagai sebahagian daripada pembasmian kemiskinan serta pembelaan masyarakat. Ia khususnya melibatkan keluarga susah atau bermasalah, anak yatim piatu dan miskin tegar.

“Kita mengubah sistem yang ada. Pelajar yang dilihat sebagai tidak ada potensi mahupun masa depan, kita berikan mereka harapan bagi mengubah masyarakat untuk membina kehidupan selari dengan slogan tiada tertinggal, tiada terpinggir,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sumbangan wakaf mahupun bantuan kepada anak yatim oleh mana-mana pihak yang ingin membantu memajukan maahad tahfiz persendirian tersebut.

Dalam pada itu Pengetua Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Naufal Ata Abdul Muneim berkata, sepanjang tempoh dua tahun pengkhususan hafazan al-Quran, pelajar turut mengikuti aktiviti tadabbur al-Quran selain bertalaqqi Kitab Riyadus Solihin yang menghimpunkan ayat al-Quran serta hadis.

Selain itu katanya, pelajar turut didedahkan dengan kelas multimedia yang diadakan selama tiga jam dalam tempoh sebulan sekali.


SETARAF ARUS PERDANA

Bagi seorang bapa, Ghazali Jamaluddin, 45, dia mengakui berpuas hati dengan perkhidmatan pendidikan ditawarkan dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk diadukan.

Bapa kepada 17 anak itu berkata, dia mendapati tiada diskriminasi diamalkan dalam maahad tahfiz tersebut, sebaliknya pelajar yang lemah turut sama diketengahkan potensinya selain persekitarannya sarat dengan unsur kekeluargaan.

“Saya akui agak cerewet. Banyak sekolah saya telah hantar anak belajar termasuk di Kelantan, Pahang dan tahfiz di Selangor tetapi di sini tiada benda yang hendak rungutkan.

“Malah di sini ditubuhkan kumpulan WhatsApp untuk ibu bapa, jadi pada setiap bulan kita boleh melihat pencapaian pelajar dan anak sendiri,” katanya.

Sementara itu Jamiatul Adawiyah Jidin, 33, tidak menyangka anaknya menunjukkan perubahan besar sehingga berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Sewaktu menghantar anak saya ke maahad tahfiz ini pada awal tahun lalu, saya sememangnya tidak yakin atau meletakkan harapan tinggi kerana tahu anak saya tidak boleh berenggang dengan telefon.

“Namun Alhamdulillah, apabila mula masuk ke sini, banyak perubahan terutama daripada segi sikap. Saya sendiri tidak sangka dia akan berubah begini,” katanya.

“Tiada petua lain untuk bergelar hafiz muda melainkan membaca al-Quran setiap hari. Saya seronok belajar di sini kerana terdapat ramai kawan. Di sini, kami juga didedahkan dengan bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Mandarin.”