Pengajian berteraskan hadis Nabi SAW boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Ada subjek yang boleh difahami dengan agak baik walaupun tanpa pengetahuan bahasa Arab yang mendalam seperti subjek Sirah Nabawiyyah kerana subjek ini sifatnya berbentuk fakta dan informasi yang mudah dikuasai jika memiliki memori hafalan yang baik. Selain itu, terdapat banyak bahan rujukan asas berkenaan sirah yang ditulis dalam bahasa Melayu atau diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Namun kebanyakan rujukan tersebut hanya bersifat sekunder.

Justeru jika ingin menguasai bidang sirah dengan lebih mendalam, maka tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Arab adalah suatu keperluan kerana sumber rujukan primer iaitu sumber asal informasi tersebut kesemuanya masih terpelihara dalam bahasa Arab. Hanya penguasaan bahasa Arab yang baik dapat membantu pelajar melakukan analisis atau kajian berkualiti.

Bagi subjek lain yang melibatkan pelbagai disiplin ilmu hadis lain, seperti ‘Ilm al-Rijal (sains perawi), Manahij al-Muhaddithin (metod karya hadis), al-Jarh Wa al-Ta’dil (status perawi), Takhrij (analisis hadis), ‘Ilal (kecacatan dan kritikan), dan seumpamanya, menguasai bahasa Arab adalah perkara yang wajib bagi pelajar kerana ia adalah bahasa pengantara ilmu ini dan pelbagai istilah khas ilmu ini tidak ‘cocok’ dengan bahasa selain Arab.

REALITI SEMASA

Pengalaman saya sebagai pengajar di universiti merasakan betapa sukarnya untuk mengajar subjek-subjek sebegini kepada pelajar yang rata-ratanya masih tidak menguasai asas bahasa Arab dengan baik. Ini realiti!

Ramai pelajar pengajian agama di negara ini walaupun mempunyai latar belakang pengajian bahasa Arab pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Agama Malaysia, namun tidak mampu mengejar subjek-subjek kritikal tersebut pada peringkat universiti. Akhirnya pengajar terpaksa merendahkan level pengajian kerana majoriti pelajar akan ketinggalan jika subjek tersebut diajar mengikut tahap sebenarnya.

Yang lebih membuatkan para pengajar berada dalam dilema ialah bahasa indah ini sukar digunakan sepenuhnya dalam kelas, kerana pelajar akan mengeluh tidak faham langsung sehingga sering kali kelas tutorial dijadikan sesi ulangan kuliah!

Pengajar terpaksa memilih antara tuntutan institusi pengajian yang mewajibkan penggunaan bahasa Arab dalam pengajaran, namun majoriti pelajar termangu-mangu dan gagal, atau melanggar tuntutan institusi pengajian demi kefahaman pelajar, namun pelajar akan berterusan demikian lemah penguasaan bahasa Arab mereka!

Apabila tugasan diberi, pelajar sukar menyiapkannya dengan baik kerana tidak mampu memahami rujukan yang diberi. Hasilnya pengajar sendiri tidak memahami apa yang ditulis oleh pelajarnya, bahkan yang lebih merisaukan, pelajar sendiri tidak tahu atau tidak faham dengan apa yang ditulisnya!

Ada yang ‘cedok’ tanpa faham, ada yang salah cedok maklumat yang langsung tiada kaitan dengan tuntutan tugasan. Perkara ini bukan hanya berlaku pada pelajar tahun pertama, bahkan sinonim juga dengan pelajar tahun akhir sebelum dinobatkan menggenggam segulung ijazah yang menjadi kebanggaan para pelajar.

PERLU PERHATIAN

Saya sangat risaukan keadaan ini kerana jika tidak diatasi, pasti akan memberi impak kurang baik terhadap kualiti pengajian jurusan agama negara. Bahasa Arab seharusnya ditekankan seawal usia pelajar sejak sekolah rendah lagi seperti bahasa Inggeris, kerana menguasai suatu bahasa asing itu pasti memerlukan masa yang agak lama, apatah lagi penekanan terhadap bahasa Arab tidak sekuat bahasa Inggeris yang sentiasa dijadikan ‘anak emas’ oleh sekolah dan kerajaan.

Bahkan baru-baru ini seruan menguasai bahasa Mandarin juga mula dilaungkan kerana ia adalah bahasa ekonomi serantau.

Bagaimana pula dengan bahasa al-Quran dan kehidupan umat Islam serantau? Alangkah malang bagi umat Islam jika pada setiap kali solat kita membaca atau mendengar kitabullah, namun langsung tidak mampu memahaminya, dan tidak berupaya menghayatinya, sedangkan ia adalah tuntutan Ilahi!

Justeru kita mendapati pelajar-pelajar sains umpamanya sejurus diterima masuk ke universiti, umumnya penguasaan bahasa Inggeris mereka boleh dikatakan sangat baik, apatah lagi dengan kriteria pemilihan pelajar atau kemasukan yang ketat. Segala proses, pendedahan dan latihan yang diterima sejak prasekolah telah membantu mereka menguasai bahasa dunia itu sebagai persediaan melangkah masuk ke pusat gerbang ilmu baik secara komunikasi mahupun penulisan. Mereka boleh terus meneroka bidang takhasus masing-masing tanpa begitu merisaukan aspek bahasa, melainkan istilah-istilah khas bidang.

Kita juga mahukan pelajar yang memilih jurusan ilmu agama di negara ini mampu menguasai bahasa Arab dengan baik supaya proses pengajian berjalan lebih lancar. Tidaklah mereka dituntut pada peringkat awal untuk menguasai disiplin ilmu bahasa Arab bak ‘Sibawayh’ pakar bahasa yang unggul, tetapi cukup sekadar dapat bertutur dan memahami dengan baik pun sudah dianggap rahmat.