Ada yang dapat berjumpa semula dengan kenalan lama setelah berpuluh-puluh tahun tidak bertemu. Ada pula yang berkenalan dengan rakan baharu dan mengenali pelbagai budaya, perniagaan serta memperoleh pelbagai maklumat.

Pastinya hampir semua masyarakat terutama generasi Y dan Z masa kini mempunyai akaun media sosial peribadi seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Whatsapp. Bahkan media sosial dianggap ‘nyawa’ yang tidak boleh berpisah hampir setiap waktu bagi sesetengah pengguna.

Statistik menunjukkan, sehingga Jun 2017, sebanyak 19 juta daripada rakyat Malaysia mempunyai akaun Facebook. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia antara pengguna yang aktif dalam penggunaan media sosial.

Namun dalam keghairahan kita menggunakan laman sosial itu, terdapat adab dan peraturan yang perlu dipatuhi sebagai seorang Muslim yang beriman, pada masa sama memperoleh pahala daripada Allah SWT. Antaranya:

1. Menyampaikan perkara baik

Laman sosial perlu dijadikan medan untuk berkongsi menyampaikan maklumat dan perkara yang baik kerana perkara yang memberi manfaat kepada orang lain akan mendapat ganjaran pahala oleh Allah.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW maksudnya:

Sesiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak mana pahala diperoleh oleh orang yang mengikutnya.” - Riwayat Muslim

Oleh itu, pengguna media sosial hendaklah menjauhi dan menghentikan perkara yang tidak baik seperti fitnah, mengadu domba, membuka akaun palsu untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain, menghantar ayat-ayat berbaur lucah, sehingga membawa kepada perselisihan dan persengketaan sesama manusia.

2. Pastikan sahih, sebelum disebarkan

* Sebagai pengguna media sosial hendaklah memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Memastikan kesahihan ini merupakan kewajipan dan tanggungjawab bagi setiap individu.

Walaupun penulisan itu bukan daripada kita, tetapi kita turut berdosa kerana bertindak menyebarkannya. Peringatan ini dijelaskan oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam Surah Qaf ayat 18 bermaksud:

“Tidak ada sebarang perkataan dilafazkannya (atau perbuatan dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Bahkan Rasulullah turut mengingatkan melalui sabdanya:

“Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu perkataan tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jaraknya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat.” - Muttafaqun Alaih

3. Menjaga batas pergaulan

* Dalam asyik dengan pertemuan kawan lama, berkenalan dengan rakan baharu, batas perlu diambil perhatian. Ikhtilat (pergaulan) atau perbualan serta komunikasi dengan bukan muhrim secara melampau adalah satu perkara yang perlu kita lihat secara serius bagi mengelakkan mudarat.

Semasa berkomunikasi dalam laman sosial, elakkan daripada berkomunikasi dengan terlalu mesra dan manja sehingga menimbulkan fitnah serta boleh menjejaskan hubungan dalam rumah tangga. Pastikan apa yang ingin disampaikan jelas dan nyata serta terus kepada maksud.

Akibat daripada batas perbualan yang tidak dikawal dengan sebaiknya dalam penggunaan media sosial, dibimbangkan akan terjadi permasalahan hati yang menjerumuskan kepada keruntuhan akhlak.

4. Menjaga keaiban

* Terdapat segelintir pengguna terikut-ikut dengan trend masa kini yang secara tidak langsung membuka aib orang lain apabila menulis atau berkongsi sesuatu artikel. Lebih parah lagi apabila aib pasangan kita juga dijaja atau dibuka kepada umum dengan cara yang tidak disedari.

Oleh itu, sebagai umat Islam diperintahkan untuk menjaga dan tidak mendedahkan keaiban orang lain sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesiapa yang menutupi (aib) seseorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” - Riwayat Bukhari

Di samping adab-adab yang telah dinyatakan, sebagai pengguna media sosial hendaklah bijak menggunakan masa sesuai untuk berkomunikasi. Hindari menggunakannya ketika khatib membaca khutbah Jumaat, ketika makan, memandu, bergaul bersama-sama ahli keluarga, sejurus selesai solat hinggakan tiada masa untuk berdoa dan berzikir.

Adab-adab penggunaan media sosial bukanlah untuk menyekat kebebasan, namun bertujuan memastikan agar kita berjaya menjadi Muslim bertakwa kepada Allah, sekali gus menunjukkan imej sebagai seorang Muslim berakhlak mulia.

Sebagai seorang Muslim, kita juga merupakan ejen penyebar kebaikan kepada semua golongan masyarakat. Contohilah Rasulullah yang bermuamalat (berurusan) dengan kaumnya walaupun jelas menentang Baginda.

Contohilah Baginda yang bersahabat dengan sahabatnya dan berkomunikasi dengan bukan Muslim. Contohilah Rasulullah yang berurusan dengan kaum wanita dengan penuh tertib dan tatasusila kerana sesungguhnya pada diri Baginda wujud serba serbi contoh ikutan umat manusia.