Sehinggakan, tokoh ulama terkemuka, Ibn ’Asyur pernah berkata: “antara maqasid syariah terpenting ialah menjaga sistem kehidupan manusia dan memperbaikinya ke arah kebaikan yang meliputi aspek pemikiran, pekerjaan serta hubungan sesama manusia bagi mewujudkan kehidupan sempurna.”

Manusia dijadikan oleh Allah seumpama satu badan, jika sakit satu bahagian anggota, maka anggota lain turut merasakannya. Bahkan sifat kasih sayang dan prihatin sesama Muslim menjadi penanda aras keimanan seseorang.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya” - Riwayat Bukhari

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah mengingatkan umat Islam agar sentiasa cakna dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling khususnya dalam melaksanakan tuntutan ‘amr bil maaruf’ (menyuruh melakukan kebaikan) dan ‘nahi anil munkar’ bagi mewujudkan umat terbaik.

Dalam era globalisasi hari ini, umat Islam harus memperkukuh prinsip kehidupan bermasyarakat yang prihatin supaya setiap elemen negatif tidak dapat mempengaruhi jiwa dan corak pemikiran khususnya generasi muda.

Tuntutan menyuruh kepada ‘makruf’ dan mencegah kemungkaran perlu dijadikan agenda utama umat Islam dalam pembentukan keperibadian dan kekuatan ummah masa kini.

Corak kehidupan individualistik yang mengetepikan kehidupan bermasyarakat perlu dikikis dalam minda umat Islam supaya setiap Muslim cakna dengan tanggungjawab antara satu sama lain.

Kekuatan umat Islam dan kesejahteraan negara adalah berasaskan kepada kesatuan serta permuafakatan dalam hal ehwal kehidupan sama ada berkaitan ekonomi, politik mahupun sosial.

Apabila berlaku kepincangan, maka struktur kehidupan umat Islam tidak akan stabil dan bakal menghadapi kegagalan. Sabda Rasulullah maksudnya: “Orang Mukmin dengan orang Mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan. Mereka saling memperkuat antara satu sama lain.” - Riwayat Bukhari

Bagi memperkukuh kekuatan ummah, maka setiap Muslim bertanggungjawab memelihara kesejahteraan dalam semua aspek kehidupan. Sikap prihatin, tegur menegur dan bertindak terhadap perkara yang mungkar perlu dilakukan dengan penuh hikmah kebijaksanaan dan secara kolektif.

DIDIK REMAJA

Kekuatan agama adalah bergantung kepada keperibadian dan corak pemikiran remaja hari ini. Mereka adalah pemangkin kepada umat Islam untuk meneruskan perjuangan menegakkan syariah Islam pada masa akan datang.

Pergeseran dan perselisihan yang sengit sesama umat Islam masa kini menyebabkan ramai kurang prihatin terhadap pembinaan spiritual atau kerohanian remaja. Sedangkan kekuatan kerohanian dan jati diri adalah faktor utama dalam pembentukan personaliti serta corak pemikiran remaja.

Dalam era globalisasi pengaruh kehidupan hedonisme, unsur-unsur lucah dan corak kehidupan yang bertentangan dengan fitrah manusia seperti gay dan lesbian tersebar begitu pantas dalam media massa elektronik.

Jika remaja tidak diasuh dengan pendidikan kerohanian dan kefahaman Islam secara serius, maka corak pemikiran dan keperibadian remaja lebih cenderung kepada perkara-perkara yang boleh menghakis akidah serta corak kehidupan umat Islam.

Oleh itu, setiap umat Islam perlu menunjukkan sikap cakna kepada individu Islam lain terutama kanak-kanak dan remaja kerana mereka adalah individu yang bakal mewarisi syariah serta syiar Islam pada masa hadapan.

Islam telah menggariskan panduan utama dalam menjana masyarakat yang cakna iaitu kita hendaklah kita berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar, mengamalkan sikap toleransi dan kesamaan serta menjauhi segala sifat mazmumah (keji).