Nilai ilmu itulah yang menjadi asas seseorang pelajar Muslim itu mempertahan dan memperteguh akidahnya apabila memasuki alam pekerjaan serta perkahwinan.

Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri yang merupakan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memberitahu, ilmu tersebut bukan untuk mencapai matlamat seseorang pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan atau kerjaya.

“Ia bukan untuk melengkapkan keperluan ijazah, sarjana, PhD atau keperluan kajian tetapi percayalah, ilmu itu akan digunakan oleh anak muridnya itu sampai dia pencen atau berusia tua.

“Tanyalah kepada diri sendiri. Dengan siapa yang anak-anak kita mula mengenali dan belajar mengaji al-Quran, cara solat, puasa, akhlak dan lain-lain dalam Rukun Islam atau Rukun Iman,” katanya.

Beliau menegaskan, keadaan itu disebabkan suasana gaya hidup masa kini yang peranan mengajar fardu ain bukan lagi dipikul oleh ibu bapa atau komuniti setempat.

Semuanya diserahkan kepada guru kerana alasan utama ibu bapa adalah mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing dan tidak ada masa khusus untuk mengajar fardu ain.

“Saya percaya kalau ada tinjauan dalam kalangan pelajar untuk mengetahui sama ada ibu bapa mereka buat sesi khas mengaji al-Quran atau ajar solat, jawapannya pasti amat mengecewakan,” katanya.

Guru pendidikan Islam jadi perhatian masyarakat

Dalam pada itu, Ab. Halim menyifatkan guru pendidikan Islam sebenarnya lebih mudah menjadi tumpuan anak murid dan ibu bapa berbanding guru subjek lain.

Ini kerana, tambahnya, walaupun mata pelajaran agama yang diajar dalam kelas bukan subjek teras, tetapi mereka akan dijadikan contoh teladan oleh anak murid dan ibu bapa, termasuk di luar waktu persekolahan.

“Cuba bayangkan kalau guru pendidikan Islam itu pergi ke pasar tani atau pusat membeli belah dengan memakai pakaian sendat dan bajunya ada gambar artis popular Barat, pasti jadi tular negatif selepas itu,” katanya.

Namun bagi Ab. Halim, tumpuan sedemikian tidak seharusnya menjadi tekanan kepada guru pendidikan Islam kerana ia menjadi antara tuntutan agama dalam membina generasi hebat di masa depan.

“Memang suatu tekanan kerana jadi perhatian tetapi sebagai guru, mesti ada terdetik dalam jiwa kita untuk lihat mereka berjaya pada masa depan,” katanya.

Berikutan dari tumpuan sedemikian juga, beliau menyeru guru pendidikan Islam agar lebih bersikap mesra dengan teknologi media sosial pada hari ini.

“Ilmu pengajian Islam yang mereka pelajari di universiti bersifat universal, dan saya yakin, platform untuk sebarkan ilmu itu tidak seharusnya di kelas sahaja, tetapi sesuai dalam media sosial. Tidak salah kita ‘tetap’ menjadi guru mereka walaupun anak murid itu telah pun tamat alam persekolahan atau memiliki keluarga masing-masing,” katanya.

Guru tidak kira tempat

Samalah dengan pandangan, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran yang menyifatkan ajaran guru pendidikan Islam itu tidak hanya dalam kelas sahaja.

Beliau berkata, antaranya adalah usaha mengimbangi tugas ‘guru-guru tidak rasmi’ dalam media sosial yang merupakan alat teknologi mudah dicapai oleh anak murid mereka.

“Perkara yang selalu dibincangkan dalam media sosial lebih menyentuh aspek akhlak dan akidah, dan sudah pasti, mana-mana bertentangan dengan nilai-nilai Islam, perlu dibendung.

“Jadi, saya yakin tidak ada guru-guru pendidikan Islam yang tidak akan ambil peduli perkara negatif itu atau setidak-tidaknya menjadikannya sebagai bahan contoh dalam sesi pembelajaran dan pengajaran di kelas,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd. Farid menambah, tugas luar kelas itu juga membabitkan usaha menangkis nilai sekular barat yang menganggap ilmu sebagai satu alat untuk mencapai sesuatu matlamat diingini dalam hidup ini.

Dengan penularan nilai tersebut, beliau percaya peranan para guru sekolah, termasuk pendidikan Islam bakal dianggap sebagai fasilitator atau pemudah cara sahaja.

Sedangkan dalam tradisi Islam, tambahnya, guru sebagai ejen untuk seseorang pelajar bukan hanya memahami sesuatu perkara tetapi membawa mereka lebih dekat dengan Allah SWT.

“Atas sebab itulah, saya merasakan guru pendidikan Islam tidak seharusnya gusar dengan status kedudukan mereka dalam sistem pendidikan rasmi.

“Ini kerana, impak didikan mereka tidak hanya berguna untuk peperiksaan tetapi juga ketika berada di luar bilik darjah dan tamat alam persekolahan,” katanya.