Penyampai khutbah hari itu bukan calang-calang orangnya. Beliau adalah Profesor Fiqh di Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, University Qatar, Syeikh Dr. Ali al-Qarah Daghi yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Beliau boleh dikatakan sebagai orang kanan kepada ulama tersohor dunia kini, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Berikut adalah antara isi khutbahnya:

Umat Islam adalah umat terbaik yang diiktiraf Allah sebagaimana ayat yang lazim didengari (Ali ‘Imran 3:110), namun mengapa mereka masih mundur ke belakang dan menghadapi pelbagai masalah perpecahan?

Sebelum menuding jari kepada orang lain, umat Islam perlu terlebih dahulu mencari punca masalah ‘di dalam diri mereka sendiri’ sebagaimana teguran Allah kepada umat Islam yang tertanya-tanya mengapa mereka mengalami kekalahan dalam perang Uhud. Firman Allah SWT:

“(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam perang Uhud), yang kamu telah memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: “Dari mana datangnya (kekalahan) ini? “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kemalangan dan kekalahan itu berpunca daripada kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu,” (Ali ‘Imran 3:165).

Setelah tahu punca masalah, umat Islam perlu melaksanakan dua pelan pemulihan yang sangat berkesan iaitu kembali kepada panduan Allah dan menggunakan fungsi akal kurniaan Allah. Panduan ini dipetik daripada firman Allah:

“Dan (patutkah) mereka (orang munafik itu berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai bencana) pada setiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu mengambil pelajaran (beringat dan insaf)?,” (al-Tawbah 9:126).

Walaupun ayat ini pada asalnya menegur orang munafik Madinah yang berulang kali ditimpa musibah kerana berterusan menentang Islam, isinya turut terpakai kepada umat Islam hari ini yang sedang ditimpa masalah. Tambahan pula masalah menimpa umat Islam bukan sekali atau dua, tetapi mencecah ratus atau ribuan kali.

Antara arahan ayat:

1. Taubat atau kembali kepada arahan Allah iaitu al-Quran dan Islam.

2. Mengambil pelajaran yang merujuk kepada penggunaan akal kurniaan Allah dalam mencari penyelesaian saintifik kepada sebarang masalah yang timbul.

JALAN KELUAR

Sesiapa sahaja yang benar-benar melakukan dua perkara ini bakal menemukan jalan keluar daripada sebarang masalah yang dihadapi.

Golongan bukan Islam yang tiada panduan wahyu tetapi memaksimumkan manfaat akal kurniaan Allah mampu maju dalam aspek duniawi walaupun mereka kosong iman kepada hari akhirat. Itu adalah sunatullah.

Seterusnya, Syeikh Ali mengulas kepentingan memahami nas (al-Quran dan sunah) dengan cara yang betul.

Kedua-dua sumber Islam ini sudah tetap dan tidak berubah. Masalah utama umat Islam adalah kegagalan memahami kedua-dua sumber ini dengan neraca yang betul. Kepentingan meletak neraca timbangan yang betul dalam memahami ajaran Islam disentuh Allah dalam firman-Nya:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus para rasul Kami dengan membawa bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami turunkan bersama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan,” (al-Hadid 57:25).

Neraca timbangan atau ‘al-Mizan’ yang disebut ayat ini perlu difahami secara luas dan mendalam. Ia tidak seharusnya disempitkan hanya kepada satu sudut sahaja. Neraca timbangan perlu dipasang pada situasi dan keadaan yang betul.

Contohnya neraca nilaian harga gandum ada aturannya tersendiri. Ia pasti tidak sama dengan neraca nilaian emas dan perak. Begitu juga neraca nilaian bagi kanak-kanak pastinya berbeza dengan neraca nilaian orang dewasa. Mana mungkin anak kecil dibebankan tugasan orang dewasa?

Begitu juga neraca nilaian dunia pastinya berbeza dengan neraca nilaian akhirat dan begitulah seterusnya.

Masalah timbul apabila manusia jahil cuba menyamakan semua neraca nilaian tanpa mengambil kira jenis dan situasi. Contoh mudah yang dapat dilihat dalam al-Quran adalah cara interaksi umat Islam dengan dua jenis orang kafir. Firman Allah SWT:

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang (kafir) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim,” (al-Mumtahanah 60:8-9).

Ketika bicara tentang kafir harbi (musuh sentiasa memerangi Islam), arahan Allah dituturkan secara keras seperti yang dapat disaksikan dalam banyak ayat berkaitan jihad. Ketika berinteraksi dengan kafir zimmi (bukan Islam tidak memusuhi Islam), Allah menyuruh pula umat Islam berlaku adil dan sopan dengan mereka.

Ini bukti mudah menunjukkan neraca nilaian keras tidak sepatutnya dipasang kepada bukan Islam yang tidak berstatus musuh. Para ekstremis seperti Daesh yang memerangi semua bukan Islam tanpa membezakan antara kafir harbi dan kafir zimmi berpunca daripada kegagalan memahami neraca nilaian keras lembut yang digariskan Allah.

Kesimpulan mudah daripada lantunan khutbah beliau pada hari itu adalah kepentingan menguasai ilmu pengetahuan terutama sekali ilmu agama.

Nas agama sudah sedia ada, masalah timbul apabila manusia gagal memahami Islam menurut neraca timbangan yang betul.

Ia seumpama mengadili permainan badminton dengan undang-undang sukan sepak takraw. Saya percaya juara dunia sehebat Datuk Lee Chong Wei pun boleh jatuh tersungkur dengan neraca sedemikian.

Oleh itu, dalamilah Islam yang sebenar dan sebarkan keindahannya dengan neraca timbang yang betul. Insya-Allah ini akan menjadi titik tolak utama kegemilangan Islam seperti generasi awal Islam.