Firman Allah dalam Surah al-Talaq, ayat 2 dan 3 yang bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”

Siapa sangka, sebuah jeti uzur yang menanti masa untuk roboh jauh di kawasan pedalaman akhirnya berwajah baharu untuk kemudahan penduduk setempat. Jika sebelum ini, mereka cukup bimbangkan keselamatan ketika menggunakan jeti itu untuk ke laut. Kini penantian lebih 50 nelayan di kampung itu berakhir apabila laluan utama itu siap dibaik pulih.

Bahaya

Sebelum ini, jeti yang diperbuat daripada kayu itu hanya menanti masa untuk roboh. Kayunya yang sudah lama dan reput akibat terkena hujan serta panas kerana tidak berbumbung mengundang bahaya terutama kepada nelayan yang menaikkan tangkapan hasil laut mereka.

Terdapat juga beberapa bahagian laluan jeti ini berlubang kerana papannya yang tertanggal dan memaksa nelayan untuk lebih berhati-hati ketika melaluinya.

Pernah nelayan tergelincir dan terpaksa meranduk lumpur untuk menaikkan hasil tangkapan. Ada juga yang mengeluh kerana hasil tangkapan mereka berkurangan apabila ikan-ikan yang dinaikkan terjatuh kembali ke dalam lumpur. Keadaan makin teruk apabila air pasang kerana paras air akan naik melebihi ketinggian jeti disebabkan kedudukannya yang agak rendah. Namun mereka tiada pilihan, terpaksa juga menggunakannya kerana hanya itu sahaja jeti yang mereka ada.

Berkat usaha dan kesabaran komuniti nelayan itu, permasalahan dan rungutan mereka mendapat perhatian. Tampil pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama rakan korporatnya iaitu Etiqa menjalinkan kerjasama strategik mengadakan program kemanusiaan melalui projek baik pulih jeti itu, baru-baru ini.

Istimewa

Projek komuniti bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Etiqa itu bertujuan membantu meringankan kesusahan penduduk setempat khususnya nelayan. Projek istimewa ini mendapat pembiayaan daripada Etiqa dan dilaksanakan dengan kerjasama IAM.

Pemulihan jeti dibuat dengan menggantikan kayu yang reput kepada bahan yang lebih baik. Turut dibina adalah pondok tempat berehat untuk nelayan serta pancang-pancang baharu untuk kegunaan bot nelayan. Ia dilakukan secara gotong-royong melibatkan penduduk kampung bersama-sama sukarelawan Etiqa dan IAM sejak Julai lalu.

Majlis penyerahan projek jeti itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Selatan, Etiqa Insurans dan Takaful, Mohamad Yunos Mohd. So’od. Yang turut hadir, Presiden IAM, Zawahir Abdullah dan Ketua Pengkalan Jeti Kampung Sungai Chengkih, Ismail Johar serta penduduk setempat.

Sempena majlis itu, turut diadakan aktiviti komuniti bersama penduduk setempat bagi mengeratkan ukhuwah antara kakitangan Etiqa dan penduduk setempat. Aktiviti unik itu ialah pertandingan menyiang ikan yang mengundang keceriaan dan pelbagai reaksi daripada peserta.