Walaupun jauh dalam sudut hati wujud rasa kasih, namun hanya perpisahan jalan terbaik kerana setiap kali bertentang mata pasti akan timbul rasa benci menatap wajahnya.

Setiap hari hidup diselubungi pergaduhan antara suami isteri, malah nikmat perkahwinan tidak lagi dirasai apatah lagi untuk melakukan hubungan kelamin.

 

Semua ini terjadi gara-gara perasaan cemburu pihak ketiga terhadap kebahagiaan yang dikecapi oleh dirinya dan pasangan.

Itulah contoh kes yang masih berlaku pada masa kini. Walaupun melangkah ke dunia moden yang serba canggih, namun tidak dinafikan perbuatan sihir dan khurafat masih berlaku dalam kalangan segelintir individu yang menyimpan dendam terutama membabitkan hal rumahtangga.

Menurut pendakwah bebas, Muhammad Khairul Azhar Ghazali atau lebih dikenali Imam Muda Azhar, sihir itu hanya akan terlerai apabila pasangan tersebut berpisah meskipun saling menyayangi.

“Sihir pemisah dan pembenci ini akan membuatkan pasangan suami isteri tidak lagi dapat bersama dan tiada jalan penyelesaian melainkan perpisahan.

“Kadangkala perasaan hasad terhadap kebahagiaan orang lain mendorong perbuatan ini dilakukan demi mencapai kepuasan hati untuk melihat orang lain menderita,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar memberitahu bahawa amalan sihir ini adalah haram kerana menggunakan unsur syirik iaitu amalan atau ritual menerusi perantara seperti jin atau syaitan dan selain daripada Allah.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” - Riwayat Bukhari (2766)

“Malah, bagi mereka yang melakukan sihir, dikatakan sudah terkeluar daripada agama Islam iaitu riddah (murtad) kerana amalan itu adalah bertentangan dengan syariat Islam.

“Manakala, bagi mereka yang mendapat khidmat sihir pula dikira kufur dan tidak diterima amalan oleh Allah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam.” - Riwayat Muslim (5957),” jelasnya.

Azhar berkata, amalan sihir yang digunakan oleh pihak ketiga itu terhadap rumahtangga adalah seperti sihir pemisah, sihir pembenci, dan sihir pemati untuk membuatkan pasangan berpisah.

“Bagi mengetahui sama ada pasangan ini terkena sihir atau tidak adalah dengan cara berjumpa ustaz atau pakar perubatan Islam yang dipercayai untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

ELAK TONJOL KEBAHAGIAAN

 

Tidak salah berkongsi kebahagiaan terutama hal rumahtangga di media sosial, namun umat Islam perlu berpada-pada bagi mengelakkan timbul perasaan hasad dan iri hati orang lain.

Lebih membimbangkan, gambar yang dikongsi boleh dijadikan bahan untuk diberikan kepada tukang sihir bagi membinasakan mangsa.

Justeru, menurut Azhar, antara kaedah mengelakkan diri menjadi mangsa sihir adalah dengan mengelakkan daripada terlalu menonjolkan kebahagiaan.

“Jangan cari bahaya kerana mereka boleh menggunakan gambar kita untuk amalan ritual pemujaan sehingga menyebabkan kita sakit, bahkan membawa mati dengan hanya sekeping gambar.

“Jika kita mahu juga memuat naik gambar ke laman sosial, kita boleh ‘mencacatkan’ sedikit gambar agar tidak terlalu sama menggunakan sedikit teknik suntingan,” katanya.

Di samping itu tambahnya, amalan seperti solat pada waktunya, bersedekah dan mengamalkan ayat al-Quran seperti Surah Tiga Qul boleh diamalkan sebagai pendinding daripada amalan sihir.

“Jika amalan-amalan ini diamalkan, Insya-Allah dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada amalan sihir ini.

“Namun, sekiranya kita masih kena sihir meskipun telah melakukan amalan yang disyorkan bermakna Allah sayang kita dan ingin menguji sejauh mana keimanan diri kita,” katanya.


AYAT PENGASIH AL-QURAN

Azhar berkata, didakwa terdapat pasangan yang sanggup menggunakan sihir bagi ‘menundukkan’ pasangan masing-masing agar patuh kepada mereka.

Antaranya, seperti menggunakan nasi kangkang dan minyak dagu untuk mengekalkan rasa kasih dan sayang.

Walau bagaimanapun tambahnya, kaedah itu jauh menyimpang daripada ajaran Islam dan mereka sepatutnya berpegang teguh dengan Allah dengan mengamalkan doa atau ayat al-Quran untuk mengekalkan perasaan sayang antara suami dan isteri.

“Kita perlu meminta kepada Allah dan yakin segalanya dikurniakan oleh-Nya termasuk rasa kasih dan sayang, yakni bukannya menggunakan perantaraan jin dan syaitan.

“Bagi setiap individu yang ingin memupuk rasa kasih dan sayang terutama sesama suami isteri boleh mengamalkan Surah Yusuf ayat empat dalam amalan seharian.

“Malah, pasangan juga digalakkan untuk mendalami ilmu tauhid berkenaan sifat wajib bagi Allah (sifat 20) yang sememangnya mempunyai banyak kebaikan dan mampu mencegah diri daripada melakukan amalan sihir,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar memberitahu, dalam hubungan suami isteri, rahsia untuk pasangan sentiasa bahagia adalah elakkan daripada bersangka buruk terhadap pasangan di samping menjaga keperluan suami.

“Isteri boleh pikat suami dengan masakan, kerana ‘air tangan’ isteri itu sudah mampu memupuk rasa kasih terhadap mereka yakni tidak perlu lagi menggunakan amalan tahayul untuk disayangi pasangan.

“Selain itu, setiap pasangan suami isteri juga boleh sama-sama mendekatkan diri dengan Allah iaitu hadir ke majlis-majlis ilmu dan solat berjemaah di masjid. Insya-Allah sekiranya perkara itu dilakukan mereka mampu mengecapi bahagia yang diredai Allah,” katanya.