Apakah yang bezanya antara musibah dengan bencana? Musibah ialah kesusahan atau masalah yang berlaku kepada seseorang atau sesebuah keluarga yang memberikan kesan negatif kepada diri dan keluarganya sahaja. Bencana pula melibatkan satu malapetaka yang besar dan luas yang berlaku ke atas alam, yang memberikan kesan negatif kepada seluruh kehidupan alam yang hidup di tempat yangditimpa bencana itu. Seperti yang berlaku baru-baru ini, dunia menyaksikan kejadian pilu yang berlaku ke atas Palu, akibat stunami dan gempa bumi.

Bayangkan penduduk yang sedang duduk senang dan tenang bersama-sama keluarga di rumah mereka, pada waktu malam yang mula menjelang, tiba-tiba digemparkan dengan bencana alam yang cukup dahsyat dan menyayat hati itu. Apakah iktibar daripada bencana itu kepada kita yang masih hidup ini, yang diberikan peluang untuk menyaksikan bahawa kehidupan kita ini dalam ketentuan-Nya?

Cuba bayangkan jika bencana itu berlaku ke atas kita? Sanggupkah kita mempermudah perintah Allah SWT lagi setelah kita melihat kejadian itu? Tidakkah kita belajar sesuatu daripada peristiwa hitam yang berlaku ke atas saudara di negara jiran kita itu? Semoga bencana itu memugar suburkan kembali hati kita kepada Allah SWT, Tuhan Yang Satu? Iaitu dengan menentukan lima perkara mesti bertapak di hati. Pertama, takut akan Allah semata-mata. Kedua, mengharapkan kepada Allah semata-mata. Ketiga, kasih akan Allah semata-mata. Kelima, berjinak dengan Allah semata-mata.

Dengan iman kita yakin perencanaan dan ketentuan Allah itu baik untuk kita. Kalau kita pandang datangnya musibah tanpa iman, maka akan rebahlah semangat dan iman kita. Tetapi, kalau kita pandang musibah sebagai anugerah Allah SWT untuk menguji keimanan, maka terpeliharalah keyakinan kita kepada Tuhan Yang Esa, serta dapatlah kita merasai kenikmatan kemanisan iman.

Orang yang beriman apabila berlaku sesuatu kepada dirinya, dia bermuhasabah diri. Pertama, apakah yang boleh diambil iktibar dan belajar daripada musibah atau bencana itu? Kedua, melihat kembali apakah dosa-dosa dengan sesama manusia dan dosa dengan Allah SWT yang telah dilakukannya, hingga Allah jatuhkan musibah dan bencana ke atasnya. Ketiga, dia mengharap musibah itu tidak membuatkan dia patah semangat dan berburuk sangka dengan Allah, tetapi semakin mendekatkan dirinya dengan Allah.

Orang yang beriman, akan berlapang dada dan reda dengan ketentuan-Nya. Konsep berlapang dada, dengan mengubah cara kita memandang sesuatu. Iaitu kita ubah bahasa yang kita gunakan, daripada bahasa kecewa dan sedih kepada sabar dan reda. Dengan cara ini kita sebenarnya telah mendidik mata hati untuk mengubah cara kita melihat (“reset minda”) atas musibah atau bencana.

Hal ini sangat penting, dengan melihat dan mencari sesuatu yang positif terhadap sesuatu peristiwa negatif, akan mengubah cara kita memberi tindak balas. Tindak balas kita juga akan menjadi baik dan positif apabila kita mengakui semua yang berlaku ketentuan Yang Maha Kuasa. Kita mesti yakin apa-apa yang Allah beri semuanya baik, biarpun peristiwa itu buruk dan menjadi sejarah hitam hidup kita. Oleh itu bagi mangsa-mangsa musibah sekalian yang masih selamat, bersyukur kerana Allah suka dengan orang-orang yang sabar dan reda. Kita mungkin kehilangan harta benda, tetapi Allah masih kekalkan anak-anak kita dan keluarga kita. Pandanglah apa yang kita ada, jangan pandang apa yang kita tiada, barulah kita akan bersyukur.

Kita ini sentiasa berada dalam dua situasi. Pertama, sama ada dipengaruhi atau mempengaruhi. Kedua, sama ada memberi perhatian atau mencari perhatian. Orang yang jernih mata akal dan mata hatinya akan berpegang pada konsep “Dia melakukan kehidupan”. Iaitu setiap yang berlaku ke atasnya dia bertanggungjawab dan dia tidak dikuasai dan dipengaruhi oleh sesiapa. Orang begini kuat semangat dan tinggi keyakinan dirinya. Tetapi, bagi orang yang keladak mata akal dan mata hatinya iaitu, orang yang lemah akan mengatakan, “Kehidupan berlaku dan dia terpaksa menghadapinya”. Maknanya, mereka tidak akan ada konsep berlapang dada dalam hidupnya dan sentiasa menyalahkan faktor luaran, nasib malang yang tidak menyebelahinya, dan lebih buruk lagi hingga sanggup menyalahkan Allah dan mempertikaikan keadilan-Nya.

Bersangka baiklah kepada Allah dan tidak berputus asa dalam hidup ini. Kuatkan semangat untuk bangun semula setelah ditimpa musibah atau bencana. Kita berdoa sebagai hamba, dan Allah sebagai Tuhan kita, yang menentukan bila doa kita dimakbulkan. Semoga Allah lembutkan hati kita dan tidak menghukum kita dengan mengeraskan mata hati kita, “Allah mempunyai hukuman-hukuman untuk hati dan badan, iaitu; kesempitan hidup dan kemalasan ibadah. Tidak ada hukuman yang menimpa seorang hamba yang lebih besar daripada keras hati”. (Malik Bin Dinar – sumber: Hilyah al-Auliya’, Abu Na’im al-Ashbahani). “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

* Penulis ialah Pengarah Pusat Mata Prof. Muhaya.