Dalam keadaan bahang cuaca mencecah 48 darjah Celsius, dikhabarkan ada penduduk kampung di benua Afrika itu terpaksa berjalan kaki sejauh lebih 10 kilometer bagi mendapat sumber air bersih untuk kegunaan harian seperti memasak dan untuk haiwan ternakan.

Prihatin terhadap nasib yang menimpa saudara seagama, ahli-ahli kariah Masjid Taqwa, Surau Raudatul Muttaqin dan Yayasan Amal Malaysia (YAM) berganding bahu menjayakan misi menyampaikan bantuan pakaian dan membekalkan air bersih menerusi Program Water4life di negara Cameroon dan Chad

Menurut Timbalan Nazir Masjid Taqwa Banting, Selangor Zainal Ali, program tersebut melibatkan pembinaan mesin gerudi dan pemampat udara bernilai hampir RM220,000 yang dibiayai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara itu, Cansuyu Cameroon.

“Misi sama saya pernah lakukan di Sudan beberapa tahun lalu dan misi kali ini adalah yang kedua. Kita membuat penghantaran mesin-mesin ini dalam kontena seberat 15 tan pada 2 Mac lalu.

“Selain mesin-mesin ini kita akan menghantar sumbangan pakaian dan peralatan kesihatan dalam satu kontena menuju Cameroon dalam waktu terdekat,” katanya kepada Mega Mimbar, Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.

Zainal berkata, mesin-mesin tersebut dibina sendiri bagi memastikan kualitinya mampu menggerudi muka bumi Cameroon dan Chad yang agak keras akibat cuaca panas kering.

Tambahnya, beliau akan pergi secara bersendirian ke Cameroon hujung Mac ini bagi menghantar kesemua barangan dan mesin serta menjadi tenaga pengajar kepada pihak NGO Cansuyu melakukan kerja-kerja membuat telaga tiub.

Katanya lagi, beliau bakal berada di benua itu selama sebulan dengan kos ditanggung oleh NGO Cansuyu bagi memastikan aktiviti membina telaga tiub tersebut berjalan lancar.

“Kerja amal yang kita lakukan bersama YAM dan NGO Cansuyu Cameroon adalah demi kebajikan rakyat negara tersebut,” katanya.

Zainal tidak menafikan jarak yang jauh antara pelabuhan dan kawasan yang dituju menjadi cabaran utama.

Justeru, pengalaman yang dilalui sebelum ini di Sudan untuk program kebajikan akan digunakan sepenuhnya dalam misi tersebut.

“Jarak sejauh 2,000 kilometer memang agak jauh dan mungkin memakan masa beberapa hari. Diharap bantuan logistik mampu memastikan program ini berjalan lancar,” katanya.