Cuma apa yang menjadi isu besar apabila mereka berhadapan dengan aspek pendidikan, kesihatan, bilangan ahli keluarga ramai atau perkara sosial lain yang melibatkan peruntukan kewangan agak besar.

Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid sambil menolak tanggapan bahawa golongan itu sebagai pemalas.

Beliau menarik perhatian dengan menyatakan bahawa terdapat dalam kalangan mereka yang pernah menikmati gaji tinggi atau sumber rezeki melimpah ruah tetapi disebabkan tekanan ekonomi semasa, kesenangan itu hilang serta merta.

Malah, tambah beliau, ada juga yang sanggup melakukan lebih dua atau tiga jenis pekerjaan tetapi pendapatan yang diperoleh tidak mampu menyaingi peningkatan kos hidup semasa.

“Majoriti mereka ini bukan jenis malas bekerja tetapi yang menjadi isu apabila anak nak masuk sekolah, ada ahli keluarga masuk hospital, sewa bulanan, rumah dilanda banjir dan lain-lain.

“Mereka sebenarnya ingin membaiki taraf hidup masing-masing kerana ia adalah antara sebab utama kenapa golongan berkenaan berhijrah ke bandar,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pembasmian Kemiskinan Bandar: Pengalaman LZS pada Persidangan Gaji Kehidupan Wajar dan Realiti Miskin Bandar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persidangan sehari anjuran IKIM itu menampilkan sembilan kertas kerja dan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

Tambah Abdul Basith, apa yang menjadi fokus LZS ialah membantu golongan miskin bandar tersebut bukan sekadar menghulurkan bantuan kewangan semata-mata.

Katanya, golongan itu mahukan sokongan moral agar semangat mereka untuk membaiki taraf hidup diri dan keluarga tidak akan terpadam begitu sahaja.

“Kita (LZS) memberi penekanan kepada program pembangunan kerohanian dengan menumpukan kepada aspek motivasi sebelum beralih kepada program kemahiran diri, pengurusan kewangan dan diakhiri dengan bantuan kewangan untuk berniaga.

“Dalam masa sama, kami turut memastikan isu-isu yang melingkari anak-anak mereka, sama ada berkaitan persekolahan atau kesihatan diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

JANGAN SALAHKAN TAKDIR

Usaha menumpukan kepada pembangunan kerohanian itu sejajar dengan pandangan Pensyarah Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Taqiuddin Mohamad.

Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Islam dan Pembasmian Kemiskinan Bandar pada persidangan sama, beliau berkata, usaha itu penting supaya umat Islam dalam golongan miskin bandar tidak menyalahkan kesulitan tersebut sebagai takdir Allah SWT.

Sebaliknya, tambah beliau, al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak kali memperkata tentang kewajipan umat Islam berusaha untuk memperoleh rezeki Allah SWT.

“Apa yang ditegaskan dalam nas-nas itu adalah memerintahkan umat Islam agar berusaha mengelakkan daripada terjerumus ke dalam kemiskinan.

“Ini kerana, kemiskinan itu akan mendedahkan diri seseorang tersebut kepada perkara negatif seperti mencuri, rasuah, pembunuhan dan lebih teruk lagi membawa pada kekufuran,” katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Taqiuddin menegaskan bahawa usaha pihak berkuasa zakat termasuk LZS tidak akan berjaya tanpa sokongan dan bantuan masyarakat umum Islam.

Masyarakat seharusnya mengetahui dan memahami bahawa dalam setiap harta miliknya itu terdapat hak golongan asnaf yang perlu disalurkan sama ada melalui zakat, sedekah atau wakaf.

“Kemiskinan mengikut perspektif Islam mengandungi dua pengertian iaitu miskin kebendaan dan kejiwaan. Kedua-duanya, mendedahkan seseorang itu kepada kekufuran.

“Yang miskin kebendaan, perlu dibantu agar mampu hidup selesa, manakala miskin kerohanian pula diingatkan bahawa dalam harta miliknya itu ada hak golongan asnaf,” katanya.