Terbaharu, dunia dikejutkan dengan kejadian penghinaan secara terbuka terhadap Nabi Muhammad SAW di dalam akhbar Perancis, Charlie Hebdo sehingga mengakibatkan kejadian pembunuhan serta mendapat tentangan hebat masyarakat Islam seluruh dunia.

Mengambil inisiatif dalam usaha memperbaiki tanggapan buruk terhadap Rasul ikutan seluruh umat Islam itu, TV AlHijrah baru-baru ini melancarkan program dokumentari Ayat Riwayat: Muhammad Utusan Terakhir, musim ke-5.

Rancangan yang akan disiarkan pada sepanjang bulan Ramadan akan datang itu menceritakan kisah perjalanan hidup Rasulullah SAW dengan berpandukan rujukan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sebagai pembimbing dakwah baginda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, menggunakan pendekatan yang bijaksana dan berhemah, rancangan itu diharap dapat memperbetulkan segala pandangan negatif yang dilemparkan terhadap umat Islam dan Rasulullah SAW oleh pelbagai pihak.

Ia tambahnya, menerusi gambaran sebenar sifat Nabi Muhammad SAW serta bukti yang dijelaskan oleh gabungan tokoh ilmuwan dari dalam dan luar negara bagi membantu penyelidikan dan memperkukuh isi kandungan rancangan.

“Rasulullah SAW sering dituduh pengganas, memecahbelahkan ummah dan sebagainya sehingga diperlakukan dengan pelbagai perkara buruk walaupun pada hayat baginda, tetapi Rasulullah SAW tetap bersabar dengan segala cabaran yang dihadapi tersebut.

“Ini secara jelas membuktikan sebahagian daripada sifat Rasulullah SAW dan ia ternyata bertentangan dengan tanggapan negatif yang difitnahkan terhadap baginda.

“Menerusi kandungan rancangan ini yang dilihat merupakan satu kaedah yang berhemah, diharap dapat melembutkan hati mereka yang sering menghina Rasulullah SAW serta menjawab segala tohmahan yang bersifat memburuk-burukkan Islam,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran program Ayat Riwayat musim ke-5 di ibu negara, baru-baru ini.

Diwakafkan

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif MFDM Holdings, Datuk Seri Mahamad Fathil Mahmood dan Pengarah Urusan Karyawan Bestari Sdn. Bhd., Abdullah Abdul Hamid.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada MFDM Holdings dan Bank Rakyat sebagai penaja utama.

Penggambaran dokumentasi yang dijangka mengambil masa selama dua bulan itu melibatkan pelbagai lokasi bersejarah termasuk di Mekah, Madinah, Yaman, Algeria, Jordan dan Arab Saudi.

Dalam pada itu Jamil Khir berkata, dokumentari itu turut bakal ditayangkan di beberapa negara luar termasuk Indonesia, Brunei, Tunisia dan Nigeria serta diwakafkan kepada mana-mana stesen televisyen yang berminat menyiarkannya.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, berbeza dengan siri dokumentari yang pernah dihasilkan, Ayat Riwayat memberi fokus kepada penceritaan kisah-kisah yang disebut di dalam al-Quran dan bukan sekadar berkonsep travelog semata-mata.

Program itu tambahnya, membawa penonton untuk berfikir dan mengambil iktibar terhadap keadaan masyarakat Jahiliah sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW sehinggalah ketika kelahiran, zaman kanak-kanak dan rumahtangga baginda.

“Rancangan ini akan melengkapkan ilmu sedia ada penonton kerana ia turut memperkatakan kisah-kisah penting yang disebut di dalam al-Quran mengenai Rasulullah SAW seperti peristiwa Israk Mikraj, saat penerima wahyu pertama, pelantikan sebagai Rasul, dakwah dan perjuangan baginda dan peperangan pada zaman Rasulullah SAW.

“Ayat Riwayat musim ini juga akan menonjolkan ketokohan dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan terakhir berdasarkan ciri-ciri keperibadian baginda yang terpuji, ketokohan sebagai pemimpin, serta penurunan kitab suci al-Quran,” jelasnya.