Ia sebagaimana dilaksanakan oleh Rasulullah SAW pada zaman pemerintahan Baginda yang menjadikan masjid sebagai pusat komuniti masyarakat dalam usaha mengeratkan hubungan umat Islam selain merungkai permasalahan berlaku daripada pelbagai kabilah.

Walaupun dibina dengan struktur serba kekurangan, namun ketakwaan umat Islam pada masa itu menginfaq dan mewakafkan harta pada jalan Allah menjadikan masjid yang asalnya dibina hanya berlantaikan pasir dan beratapkan pelepah tamar berkembang maju seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

Mengambil semangat model perlaksanaan Rasulullah itu, Majlis Dakwah Negara (MDN) kini sedang giat membangunkan institusi pengajian agama yang juga pusat komuniti umat Islam iaitu Pondok Perdana.

Pengerusinya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, bukan sahaja memfokuskan pengajian khusus kepada pelajarnya, malah Pondok Perdana Darul Naim, Kampus Bukit Bunga, Kelantan turut menganjurkan pelbagai pengajian umum terbuka kepada masyarakat.

“Inilah yang kita sasarkan dan sedang giat dilaksanakan iaitu untuk menjadikan Pondok Perdana sebagai pusat komuniti atau markas umat Islam berkumpul serta menjalankan kegiatan sama ada keagamaan atau kemasyarakatan.

“Bukan sahaja ingin menjadikannya sebagai pusat pengajian dan ibadah sahaja, tetapi memanfaatkan kemudahan yang ada bagi kegunaan orang ramai tanpa mengambil kira ideologi dan fahaman.

“Ia terbukti menerusi pelaksanaan Rasulullah yang berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang puak pada masa itu menerusi satu pusat komuniti iaitu masjid,” katanya.

Mula dibentuk pada 2017, MDN dengan kerjasama Lembaga Penasihat Agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan Pertubuhan Pondok Perdana. Sehingga kini terdapat tiga cawangan Pondok Perdana sedang dibangunkan iaitu di Kelantan, Pahang dan Selangor.

INTEGRASI PENDIDIKAN

Beliau berkata, menggabungkan pendidikan kitab tradisional dan moden dalam silibus pengajiannya, Pondok Perdana turut menerapkan kemahiran profesional kepada pelajar.

“Walaupun dinamakan pondok, namun Pondok Perdana tidak mengamalkan sistem pengajian bercorak tradisional secara total, sebaliknya pendekatan pembelajarannya adalah lebih tertumpu kepada melahirkan lulusan pondok yang mampu berdikari dan menjalankan kehidupan dengan bekerjaya sendiri.

“Pada peringkat pertama, pelajar akan didedahkan dengan Kursus Pengajian Bahasa iaitu Arab dan Inggeris dalam usaha memperkukuh mereka menguasai dua bahasa utama tersebut.

"Seterusnya pelajar boleh menyambung pengajian mengikut kemahiran dan pilihan masing-masing.

“Antara latihan kemahiran ditawarkan di Pondok Perdana ialah Pengajian Asas Pertanian, Kemahiran Teknikal dan Pengurusan Kewangan Islam selama empat tahun,” katanya.

Beliau berkata, sistem pengajian di institusi itu adalah berasaskan ‘talaqqi’ iaitu secara berguru menggunakan buku dan kitab mata pelajaran tertentu.

Sebagai permulaan, Mahmood berkata, Pondok Perdana bakal beroperasi pada Julai 2019 dengan pengambilan pelajar sulung seramai 60 pelajar di kampus sementara di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

“Pengambilan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengikut kelayakan yang bakal kita uar-uarkan nanti.

"Sementara itu, satu kerjasama dan perjanjian persefahaman (MoU) antara Pondok Perdana dan UM bakal diadakan bagi memulakan sesi pengajian pengambilan pelajar sulung ini,” jelasnya.

Berkonsep daripada masyarakat kepada masyarakat, Pondok Perdana ditubuhkan sepenuhnya berasaskan wakaf dan dibiayai menerusi sumbangan dana orang ramai serta badan korporat.

Mahmood berkata, pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya 80 hektar tanah secara berasingan di seluruh negara bagi menyempurnakan pelan pembangunan kampus Pondok Perdana pada masa depan.

Daripada jumlah itu katanya, 12 hektar digunakan bagi tujuan pembangunan bandar ilmu dan kompleks pengajian; 16 hektar untuk pertanian serta penternakan; empat hektar untuk bengkel kemahiran dan teknikal; enam hektar untuk tujuan sukan dan rekreasi; dan dua hektar untuk kawasan perkuburan.

“Selebihnya akan digunakan untuk sebarang aktiviti komersial Pondok Perdana pada masa depan. Oleh itu, kita memohon orang ramai dan korporat yang prihatin untuk menyalurkan sumbangan tunai menerusi jualan tanah mengikut keluasan kaki persegi dengan nilai RM20 bagi setiap kaki persegi.

“Ini selari dengan matlamat penubuhan Pondok Perdana untuk menjadi pemudah cara kepada badan korporat dan individu yang ingin melabur serta berwakaf demi pembangunan pendidikan Islam berkonsep pengajian pondok moden.

“Kita bercadang menubuhkan kampus induk Pondok Perdana di Wilayah Persekutuan dan sekurang-kurangnya satu cawangan kampus negeri di setiap negeri seluruh negara. Buat permulaan, kita menyasarkan di Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.