Dalam konteks pendidikan Bahasa Arab, mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang ini telah mengadakan mesyuarat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam Bangi, Selangor.

Mesyuarat yang dihadiri oleh profesor dan pensyarah institut pengajian tinggi serta IPG; pegawai Bahagian Pendidikan Islam; Bahagian Kurikulum; Lembaga Peperiksaan; Bahagian Buku Teks; guru dan penutur jati Bahasa Arab itu dipengerusikan oleh antara ahli Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara, Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri.

Mereka membincangkan strategi membantu kementerian untuk memperkasakan pendidikan Bahasa Arab di semua peringkat pengajian.

Menariknya, jawatankuasa ini ditubuhkan bukan kerana arahan pihak atasan, sebaliknya semangat cinta kepada bahasa al-Quran, bahasa hadis, bahasa para nabi dan bahasa antarabangsa ini.

Mereka mengharapkan agar bahasa rasmi Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu ini turut dipelajari dan dinikmati oleh warga Malaysia tanpa mengira umur, jantina, bangsa dan agama.

Terdapat lima bidang penting yang akan diutarakan kepada pihak kementerian untuk tindakan selanjutnya iaitu:

1- Pengurusan strategik Bahasa Arab

2- Kurikulum Bahasa Arab

3- Pentaksiran Bahasa Arab

4- Latihan perguruan

5- Sumber Bahasa Arab

Semoga bahasa Arab terus berkembang di negara ini dan sesiapa sahaja mampu kuasai Bahasa Arab.