Menyedari kekurangan segelintir masyarakat yang keciciran dalam pendidikan, kemudahan asas serta kemajuan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama beberapa agensi mengambil langkah proaktif dalam membantu masyarakat Orang Asli untuk bersama merasai kemajuan negara membangun.

Program bersama syarikat perbankan CIMB Islamic, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Kementerian Pendidikan itu bertujuan membantu masyarakat Orang Asli dalam isu pendidikan di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan.

Hasil gandingan dan kerjasama erat antara gabungan sinergi agensi kerajaan dan bukan kerajaan, Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic berjaya dilancarkan.

Menerusi usahasama tersebut, seramai 14 murid berjaya memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, Gua Musang manakala dua orang murid lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra I, Gua Musang setelah berjaya menyambung pendidikan di peringkat rendah sebelum ini.

Baru-baru ini, kesemua pelajar tersebut dibawa oleh sukarelawan UKM dan Selangor Rescue Adventure Team menaiki sembilan buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) dari Kampung Gob ke daerah Gua Musang yang mengambil masa hampir lapan jam.

Projek yang mendapat sokongan penuh CIMB Islamic itu memfokuskan permasalahan keciciran pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli.

Melalui pemerhatian dan kajian yang dijalankan mendapati hampir 90 peratus kanak-kanak di Pos Gob tidak bersekolah dan perkara tersebut menjadi satu isu yang serius.

Melalui temubual yang dijalankan, antara alasan yang disuarakan adalah melibatkan jarak tempat tinggal ke sekolah adalah sangat jauh.

Selain itu, ketiadaan sistem pengangkutan yang sesuai untuk berulang-alik menggunakan jalan balak yang sering rosak menjadi permasalahan utama kepada masyarakat Orang Asli di Pos Gob.

TIDAK BERSEDIA

Tinjauan awal UKM ke Pos Gob pada Jun 2016 mendapati rata-rata ibu bapa masih tidak bersedia untuk melepaskan anak-anak seawal usia tujuh tahun untuk tinggal di asrama.

Kejadian di SK Pos Tohoi membabitkan tujuh murid Orang Asli yang dilaporkan lari dari asrama dipercayai takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai tanpa kebenaran pada 2015, menambah kebimbangan ibu bapa masyarakat Orang Asli untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Membasmi masalah dan tragedi hitam seumpama itu, projek holistik antara UKM dan CIMB Islamic semakin diperkukuhkan sekali gus menyasarkan misi ‘membawa sekolah’ kepada anak-anak Orang Asli di Pos Gob.

Objektif utama yang ditetapkan adalah mengembalikan kemahuan dan semangat anak-anak untuk bersekolah selain penubuhan Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic Pos Gob turut memfokuskan aspek kesihatan serta sosio-ekonomi bagi memberi manfaat kepada komuniti Orang Asli secara menyeluruh.

Usaha UKM dalam memban­tu meningkatkan tahap pendidikan di Pos Gob disambut baik oleh komuniti setempat apabila mereka turut sama menjayakan projek membina sebuah bangunan menggunakan bahan-bahan dari hutan.

Antara kunci kejayaan kepada usaha itu adalah keyakinan UKM melantik lapan belia di Pos Gob sebagai tenaga pengajar manakala satu jawatankuasa pemegang amanah turut ditubuhkan bagi mengawal selia perjalanan pusat pendidikan komuniti tersebut.

Usaha berterusan dan kerjasama baik yang telah dicetuskan dalam menjayakan projek tersebut adalah hasil usaha dan idea Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM, Prof. Datuk Dr. Rokiah Omar.

Selain menyifatkan kerjasama menyediakan kemudahan pendidikan itu sebagai satu pencapaian membanggakan, beliau turut menterjemahkan usaha itu sebagai ‘from zero to hero’.

“Saya berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan seterusnya mampu mengubah perspektif dan taraf hidup komuniti Orang Asli di Pos Gob ke tahap yang jauh lebih baik,” katanya.