Serambi berfungsi sebagai tempat berehat, persinggahan dan juga untuk pelbagai majlis. Serambi Mekah sangat sinonim dengan negeri-negeri di Pantai Timur terutama Kelantan.

Gelaran Serambi Mekah ini turut diberikan kepada sebuah masjid yang sangat dikenali di Kelantan iaitu Masjid Muhammadi yang terletak di Jalan Masjid, Kota Bahru, Kelantan. Masjid ini mempunyai peranan besar dalam penyebaran ilmu Islam dalam kalangan masyarakat Islam tempatan mahupun yang datang dari luar Kelantan.

Beberapa tokoh ilmuwan Islam tempatan seperti Tok Kenali turut menggunakan masjid ini sebagai medium penyampaian ilmu kepada pelajar dan masyarakat sekeliling amnya.

Daripada rekod gambar lama, sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Besar dirakamkan pada tahun 1905. Dalam gambar yang berusia lebih 100 tahun itu kelihatan sebuah bangunan yang diperbuat daripada kayu keras beratap genting senggora dan mempunyai serambi di hadapannya. Bangunan Masjid Besar ini turut mempunyai pagar dan pintu pagar yang juga diperbuat daripada kayu.

Masjid Muhammadi digantikan dengan seni bina konkrit pada 1933, sekali gus dinamakan Masjid Muhammadi bersempena dengan nama Sultan Muhammad IV.

Masjid ini menggunakan gaya seni bina yang hampir sama dengan beberapa gaya seni bina kolonial di Semenanjung seperti Masjid Sultan Abu Bakar, Istana Negara Lama dan Bangunan Syarikat Keretapi Tanah Melayu terutama di bahagian menara.

Masjid setingkat ini mementingkan keindahan dan kesederhanaan baik dari segi gaya binaan mahupun hiasan.

Deretan tiang-tiang batu gaya corinthian di kiri dan kanan dewan sembahyang dengan sentuhan corak hiasan yang minimum kelihatan sangat menenangkan. Sentuhan hiasan bahagian luar dan dalam masjid ini baik dari segi hiasan bangunan mahupun hiasan dalaman yang minimal menjadikannya semakin dekat dengan rakyat di tengah-tengah pusat kegiatan ekonomi dan pentadbiran negeri serta masyarakat tempatan yang majoriti beragama Islam.

Menara utama yang terletak di bahagian hadapan disertakan dengan jam di empat bahagian kepala menara secara simboliknya menekankan tentang pengurusan masa kepada masyarakat selari dengan peringatan Allah SWT tentang masa kepada manusia dalam Surah al-Asr ayat 1 -3 yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.”