Berbanding tahun sebelum ini, program yang merupakan projek tahunan Persatuan Pelajar Malaysia Turki (Masat) itu diadakan di tiga bandar yang memiliki bilangan pelarian teramai di Turki iaitu di sempadan Turki-Syria iaitu Hatay, Kilis dan Gaziantep.

Selimut Untuk Syria 2.0 dilaksanakan bertujuan memupuk semangat kesukarelawan dalam diri pelajar, mengasah kemahiran kerja berpasukan, membina rangkaian bersama pertubuhan kemanusiaan tempatan di samping mendorong pelajar untuk menjadi sebahagian daripada solusi kepada krisis kemanusiaan yang berlaku di sekeliling mereka.

Masat turut bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia dan Turki termasuk IHH Humanitarian Foundation, Hayrat Aid Organisation, Malaysia Stand with Syria (MSWS) dan SHIELD Training Academy.

Gabungan kerjasama ini adalah pendedahan awal kepada sukarelawan mengenali dengan lebih dekat perasaan dan misi dijalankan pertubuhan dalam bidang kemanusiaan.

Projek turut mendapat sokongan selebriti terkemuka tanah air seperti kumpulan nasyid UNIC, peserta program dakwah realiti, Dai, dan pendakwah bebas, Isfadiah Mohd. Dasuki bagi membantu menghebahkan kempen kutipan dana kepada rakyat Malaysia.

Hanya dalam masa sebulan sejak kempen kutipan dana dilancarkan, projek Selimut Untuk Syria 2.0 berjaya mengumpul dana berjumlah RM30,000 melebihi sasaran awal iaitu RM20, 000.

Pencapaian ini membuka mata kami bahawa ramai rakyat Malaysia yang dermawan dan berhati mulia untuk menyumbang walau dengan jumlah sekecil RM10 bagi membantu mangsa di Syria.

PROJEK MEGA

Pada hari pertama misi Selimut Untuk Syria 2.0, kami melawat pusat kanak-kanak ‘Children’s Living Center’ yang merupakan projek mega IHH kepada anak yatim Syria. Projek ini dibiayai oleh beberapa negara antaranya termasuk Qatar, Pakistan dan Malaysia.

Pusat berkonsep kompleks tersebut menempatkan:

  • Dua sekolah yang menempatkan seramai 900 pelajar
  • Masjid
  • Pusat rehabilitasi psikologi
  • Penempatan buat 270 anak-anak yatim Syria.

 

Setelah itu, kami dibawa ke Pusat Vokasional Kemahiran Menjahit yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 20 orang wanita Syria kematian suami dalam peperangan.

Pakaian yang dijahit akan dihantar ke Syria untuk diagihkan secara percuma. Ini adalah inisiatif IHH dengan kerjasama beberapa NGO lain bagi membantu golongan wanita yang merupakan antara golongan paling terkesan akibat krisis di negara itu.

Setibanya kami di Pusat Koordinasi IHH Hatay, kami dibawa melawat kilang roti yang menghantar sebanyak 100,000 keping roti ke Syria setiap hari.

Di sini juga terdapat gudang yang menempatkan sumbangan terkumpul dari pelbagai negara sebelum dihantar dan diagihkan kepada penerima golongan sasar. Antara sumbangan yang ada di gudang tersebut termasuk khemah, peralatan rumah dan pek makanan.

MISI BANTUAN

Hatay merupakan bandar yang cantik, tanahnya subur dengan tanaman pohon zaitun. Namun, ada kisah keperitan hidup yang tersembunyi di sebalik itu.

Kami melihat sendiri keadaan keluarga pelarian yang memilukan ketika membuat agihan bantuan. Sebanyak 46 pek makanan dan 72 beg arang diagihkan kepada lebih 40 keluarga sekitar Hatay.

Kami juga berkesempatan menjamu dan menyantuni anak-anak yatim dan ibu-ibu mereka di Darulhasene dengan makanan mewah tajaan rakyat Malaysia. Tawa dan senyuman mereka malam itu menghilangkan sedikit kepenatan kami.

Keesokan harinya, setelah melawat Pusat Koordinasi IHH di Kilis, misi diteruskan dengan agihan 100 helai selimut, stoking tebal dan pek makanan kepada 40 keluarga pelarian.

Kemudian kami menziarahi mangsa peperangan Syria yang cedera di Rumah Rawat dan Rehat Esselame. Antara mangsa terselamat adalah Muhammad apabila rumahnya di Hama dibom oleh pesawat Russia.

Namun kedua-dua kakinya terpaksa dipotong. Keadaan warga Esselame mengingatkan penulis bahawa peperangan mengakibatkan banyak kerosakan dan mencabul hak-hak asasi manusia seperti dilalui Muhammad.

Kami meneruskan perjalanan menziarahi rumah kecil Abu Ahmad. Kami melihat sendiri anak sulungnya, Ahmad yang hilang kedua-dua penglihatan dan kaki akibat terjatuh dalam perangkap berhampiran rumahnya di Syria. Sedikit sumbangan dapat diserahkan kepada Abu Ahmad bagi meringankan bebanan keluarga mereka.

Pada hari terakhir, kami melawat Rumah Anak Yatim Hayrat di Gaziantep. Di sini anak-anak yatim diberi pendidikan tambahan. Mereka diasuh un­tuk menghafaz al-Quran, mempelajari hadis dan Risalah Annur.

Anak-anak ini diberi peluang merasai keseronokan seperti anak-anak lain dengan bersukan dan bermain.

Kami turut menyampaikan sumbangan kepada Pengurus Rumah Anak Yatim Hayrat Gaziantep, Abdullah Yazgan untuk kelangsungan rumah perlindungan tersebut.

‘Suburkan jiwa memberi, bina harapan untuk dunia’ adalah slogan misi Selimut Untuk Syria 2.0. Dengan mengangkat tema memberi, diharapkan usaha kecil ini berterusan dan dapat memberi sinar buat kehidupan lebih ramai penerima manfaat.