Baik dari sudut perlakuan, percakapan, budi pekerti, hubungan interpersonal hinggalah kepada pentadbiran sebagai ketua negara. Maka tidak hairanlah mengapa Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW itu sebagai contoh kepada umat manusia.

Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

TELADANI

Ibnu Kathir menyatakan bahawa ayat ini adalah dalil utama yang menyuruh kita untuk meniru dan meneladani akhlak Nabi sama ada percakapan mahupun perbuatan. Apa yang perlu dicontohi? Iaitu sistem pendidikan yang dimodulkan Allah kepada Nabi terbukti telah mendidik manusia dengan akhlak, memimpin negara dengan sejahtera dan memberi rahmat kepada seluruh alam.

Rasulullah SAW amat mementingkan ilmu dan Baginda sentiasa menegaskan bahawa tahap keilmuan yang perlu dimiliki umat Islam tidak hanya terbatas kepada keperluan asas semata-mata, tetapi turut termasuk:

  • Ilmu-ilmu yang boleh membawa manusia kepada perubahan
  • Mampu membendung gejala buruk yang boleh merosakkan masyarakat
  • Ilmu yang mampu menyelesaikan tuntutan semasa dan mempunyai ciri-ciri mampu berkembang serta meningkat secara berterusan.

Ketegasan Rasulullah SAW terhadap kepentingan ilmu dapat dilihat daripada penghayatan, amalan dan pelaksanaan ilmu-ilmu tersebut sepanjang sejarah kehidupan Baginda. Penghayatan ilmu tersebut menjadikan Baginda seorang yang komited dalam memperjuang Islam dan ia turut dirasai seluruh umat Islam ketika itu.

Pembinaan ketahanan dalaman amat dititikberatkan oleh Rasulullah terhadap dirinya sendiri dan umatnya. Latihan dan pengisian amalan kerohanian seperti sembahyang fardu dan sunat, puasa, membaca al-Quran, berzikir dan bertafakur, bersedekah sentiasa diutamakan serta dipertingkatkan.

Amalan ibadah ini berjaya membentuk umat Islam pada ketika itu hidup dalam disiplin dan berperaturan kerana mereka yang beribadat sentiasa menjaga masa, peraturan dan bersifat jujur serta ikhlas.

Kesan inilah yang memperkuat perjuangan umat Islam kerana kebesaran Allah SWT bukan hanya dirasai secara ilmiah semata-mata, tetapi juga secara ruhiyyah.

KEKUATAN MODAL INSAN

Rasulullah SAW juga membina kekuatan modal insan melalui kekuatan organisasi. Anggota organisasi pada zaman Baginda diikat dengan kesatuan akidah, kesatuan matlamat dan kesatuan tindakan. Kejayaan pendekatan Rasulullah ini dapat dilihat dengan tertegaknya masyarakat Islam Madinah hasil daripada kekuatan ilmu, kerohanian dan kekuatan ekonomi serta politik.

Dalam membina kekuatan ummah, Rasulullah tidak pernah mengabaikan aspek ekonomi dan politik masyarakat Islam. Kekuatan ekonomi dan politik telah wujud sejak mula perjuangan Baginda menegakkan Islam dan sentiasa dipertingkatkan. Kesan daripada penekanan ini, perjuangan umat Islam pada ketika itu tidak terjejas walaupun sentiasa diancam oleh musuh.

Kualiti modal insan yang dilahirkan bergantung kepada kekuatan ilmu dan peradaban yang dimiliki. Nilai keinsanan memainkan faktor penting dalam proses membangunkan modal insan.

Memandangkan insan adalah sebahagian daripada alam ciptaan Ilahi, maka pembangunan alam mestilah seiring dengan pembangunan insan. Jika ia berlaku sebaliknya, maka kerosakan akan tercetus. Kemajuan negara yang dicapai dengan segala kecanggihan tidak akan memberi makna jika insan yang menghuninya rosak akidah dan akhlak, tiada sifat kemanusiaan serta tidak bertamadun.

Bagi merealisasikan matlamat negara ke arah menjadi negara maju menjelang 2020, umat Islam tidak harus ketinggalan dalam memacu pembangunan negara. Umat membangun adalah umat bertamadun yang tinggi daya pemikiran, tinggi budi bahasa, berjiwa maju dan hidup secara sistematik serta terarah.

Umat yang bertamadun juga adalah umat yang mampu mengimbangi keperluan dunia dan akhirat serta sentiasa berusaha melaksanakan tanggungjawabnya membangunkan bumi yang diamanahkan oleh Allah.

Sudah tiba masanya, mengambil semangat bulan Rabiulawal, bulan kelahiran Nabi, kita berazam dan berusaha untuk berubah menjadi umat terbaik serta membangunkan negara menjadi negara Islam terbilang kerana Allah SWT mengingatkan dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.,”