Bangunan empat tingkat itu bukan sahaja dilengkapi dengan kemudahan terbaik, malah sekolah Islamik moden berkonsepkan Premium & Fun itu turut menyediakan suasana pembelajaran kondusif kepada murid-murid.

Menggabungkan konsep pembelajaran ceria iaitu belajar sambil bermain yang diambil dari Jepun dan Finland, RIS dilihat destinasi terbaik untuk anak-anak menimba ilmu pengetahuan secara santai, tetapi masih mengutamakan tahap disiplin tinggi.

Pengetuanya, Nurazura Mhd. Iskandar berkata, meskipun mengamalkan konsep pembelajaran play-based dan one-stop fun centre kepada anak-anak, RIS tetap mengutamakan pembinaan rohani dan sahsiah murid menerusi pendidikan agama yang diterapkan di sekolah tersebut.

Katanya, sebagai sebuah sekolah Premium Tahfiz, setiap murid diwajibkan menghadiri kelas tahfiz selama sejam pada setiap pagi dan menyertai program usrah setiap Jumaat, selain mengikuti kelas pengajian Islam lain seperti tauhid, tajwid, akidah, sirah serta bahasa Arab.

Selain itu menurutnya, RIS turut dilengkapi dengan pembelajaran interaktif seperti Rizq Explorer yang menekankan pembentukan kerjaya dan mendedahkan murid kepada asas kemahiran hidup, sementara Rizq Virtual School membolehkan mereka mendalami program e-learning, audio visual, program televisyen dan perisian (software).

“Kita tidak mahu lagi stigma masyarakat yang memandang sekolah tahfiz atau sekolah Islamik sebagai ‘kelas kedua’ dan mundur, sebaliknya pusat pengajian seumpama ini diangkat sebagai sekolah pilihan kerana menyediakan pelbagai program dan aktiviti bermanfaat kepada murid.

“RIS mahu menjadi sebuah pusat pengajian yang berjaya mengangkat taraf pendidikan Islam dan institusi tahfiz di negara ini, sekali gus menjadi sekolah contoh yang banyak melakukan perubahan kepada murid Islam untuk menguasai pelbagai bidang pendidikan dan kerjaya pada masa hadapan,” katanya yang ditemui Mega Mimbar, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kreatif RIS, Khalil Saleh yang mengetuai unit Talent Development dan Rizq Virtual School.

BELAJAR SAMBIL BERMAIN

Mengulas lanjut, Nurazura berkata, menyerapkan budaya pembelajaran dari Jepun dan Finland iaitu belajar sambil bermain di RIS, keistimewaan konsep play-based tersebut dilihat sangat efektif terutama menghindarkan murid daripada rasa bosan.

Sebagai contoh katanya, menerusi konsep Kyushoku dari Jepun, murid dilatih untuk menghidangkan makanan untuk rakan-rakan, mengetahui kalori makanan yang diambil, membersih tempat makan dan menjaga adab di meja makan.

Jelasnya, berdasarkan penilaian yang dibuat, terbukti konsep pembelajaran seumpama itu sangat baik kerana sifat semula jadi anak-anak adalah bermain dan perkara itu tidak boleh dinafikan.

“Sambil bermain dan melaksanakan aktiviti harian di sekolah, mereka akan diajar tentang apa yang boleh dijadikan amalan seharian dan perkara yang tidak boleh dilakukan dalam kehidupan.

“Meskipun mengamalkan konsep belajar sambil bermain, RIS tetap mengutamakan murid untuk mempunyai tahap disiplin tinggi dan berusaha membina sahsiah serta jati diri Muslim sejati dalam diri mereka,” katanya.

KEISTIMEWAAN SISTEM PEMBELAJARAN

Nurazura berkata, RIS turut mengamalkan konsep pembelajaran secara floating class iaitu bertukar-tukar kelas untuk setiap mata pelajaran.

Menurutnya, berdasarkan konsep itu, murid-murid tidak akan berasa bosan dan mengantuk untuk berada dalam satu kelas sahaja pada setiap hari, selain terdapat juga sesi pembelajaran yang dilaksanakan di luar kelas.

Tambahnya, murid-murid juga dilengkapkan dengan teknologi terkini menerusi kelas teknologi maklumat, sekali gus menjadikan mereka IT Savvy dan tidak ketinggalan.

Jelasnya, menjadi satu perkara penting untuk murid Muslim menguasai bidang teknologi maklumat dan digital, malah berupaya mengendali dan menggunakan teknologi canggih itu dengan cara yang betul.

“Di tingkat atas bangunan Wisma Rizq, kami mempunyai studio sendiri. Di sini, murid akan diberi peluang mengembangkan bakat dalam bidang penerbitan, menjadi pengacara, bermain alat muzik yang digemari, meningkatkan kemahiran dalam bidang IT dan software.

“Apa yang menarik, guru-guru juga menggunakan kemudahan dan kelebihan studio ini untuk membuat video pembelajaran, seterusnya dikongsi dengan murid secara dalam talian dalam laman web RIS,” katanya.

KERJASAMA LUAR

Sementara itu, kata Nurazura, RIS turut menjalinkan hubungan dan kerjasama baik dengan beberapa buah sekolah di luar negara seperti di Jepun, Indonesia, Filipina serta Singapura, dan kerjasama terbaharu yang bakal dilaksanakan adalah dengan sebuah sekolah di Brunei.

Menurutnya, kerjasama peringkat antarabangsa itu digunakan dalam membangunkan kandungan pembelajaran dalam talian.

Katanya, kandungan pembelajaran sekolah luar negara yang mengadakan kerjasama itu akan ditambah baik dan diubah mengikut keperluan dan kemahiran yang mahu diberikan kepada murid di RIS.