Bakal berlangsung selama enam hari iaitu bermula 15 hingga 20 April ini, sebanyak 70 negara akan menghantar wakil masing-masing sekaligus menyaksikan 106 peserta bakal bersaing dalam dua kategori dipertandingkan iaitu tilawah al-Quran dan menghafaz al-Quran.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah dijadual disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 20 April.

Acara tilawah dipertandingkan pada 15 hingga 19 April bermula pukul 8.45 malam sehingga 11 malam, manakala acara hafazan pada 16 hingga 18 April bermula 9 pagi sehingga 12 tengah hari.

Sebanyak 90 buah negara telah menerima jemputan, namun 20 negara terpaksa menarik diri atas sebab-sebab tertentu.

Namun apa yang menarik, pada kali ini pihak penganjur menerima penyertaan dari tujuh negara yang pertama kali menyertai MTHQA, enam daripadanya merupakan negara bukan majoriti penduduk Islam.

Negara-negara yang pertama kali menghantar wakil itu adalah Azerbaijan, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya serta Ivory Coast.

Daripada jumlah penyertaan, sebanyak 23 negara diundang menyertai acara tilawah dan berpeluang menghantar seorang qari serta qariah.

Bagi kategori hafazan, 26 negara telah dijemput dan kebanyakan peserta terdiri dari negara Asia Barat dan Afrika.

Sementara itu, sebanyak 41 negara dijemput secara pilihan terbuka iaitu negara-negara tersebut boleh membuat pilihan sama ada menyertai kategori tilawah atau hafazan.

Bagi kategori tilawah, hanya 38 peserta berjaya melepasi tahap saringan dan bakal bertanding ke peringkat akhir.

Begitu juga dengan acara hafazan, hanya 36 peserta melepasi tahap saringan akan bertanding di peringkat akhir.

Kumpulan peserta luar negara yang menyertai kedua-dua kategori tersebut dijangka bakal menjalani sesi saringan awal pada 12 hingga 14 April di hotel penginapan masing-masing.

MTHQA akan dihakimi oleh 14 juri jemaah hakim daripada pelbagai negara termasuk Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia, Singapura, Brunei serta beberapa negara lain.

Bagi kategori tilawah, penghakiman akan dinilai dari aspek tajwid, fasohah, taranum serta suara, manakala kategori menghafaz al-Quran akan ditambah daripada aspek penilaian hafazan dan kelancaran bacaan.

Tajaan hadiah bagi pemenang juga meningkat apabila Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menawarkan hadiah kepingan emas (gold bar) bernilai RM70,000 kepada johan qari dan qariah kategori tilawah serta johan hafiz dan hafizah bagi kategori hafazan.

Selain itu, johan kategori tilawah bakal membawa pulang piala iringan dan wang tunai berjumlah RM40,000 masing-masing sumbangan kerajaan, manakala johan kategori hafazan akan menerima piala iringan dan wang tunai berjumlah RM25,000.

Bagi peserta yang tidak berjaya akan menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai berjumlah RM3,000, cenderamata serta sijil setiap peserta.

Penganjuran MTHQA kali ini turut mendapat tajaan daripada Primavalet Fashion Hub; Abdul Samad Al Qurashi (ASQ); Rakan Masjid Asy-Syakirin, KLCC; Sekretariat Dakwah Korporat (SDK); Duopharma dan Yayasan Restu.