Jarang sekali sekolah tahfiz mahu pun pondok pengajian ilmu keagamaan mengambil pelajar lanjut usia untuk mengikuti program hafazan al-Quran di pusat pengajian masing-masing.

Namun pendekatan berbeza dilaksanakan oleh Pondok Darul Quran Nurul Hasanah yang terletak di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, Selangor. Pondok pengajian ilmu keagamaan warga emas ini membuka peluang kepada penuntutnya yang berusia antara 56 hingga 70 tahun untuk menjadi kumpulan hufaz meskipun telah lanjut usia.

Usia bukan penghalang, sebaliknya kesungguhan dan iltizam tinggi menyaksikan 10 orang warga emas Pondok Darul Quran Nurul Hasanah berjaya menghafaz juzuk 30 dalam tempoh tidak sampai setahun.

Kena dengan usia, keupayaan menghafaz keseluruhan juzuk tersebut dengan baik sebelum perlu diperdengarkan (tasmik) secara ‘tebuk’ oleh tenaga pengajar pada hari ‘konvokesyen’ di hadapan ahli keluarga merupakan satu pencapaian yang cukup mengagumkan.

Mudir Pondok Darul Quran Nurul Hasanah, Yusri Abdul Karim berkata, pihaknya berasa terharu dengan pencapaian kumpulan ‘pelajar tua’ tersebut yang gigih menghafaz ayat-ayat suci al-Quran biarpun terikat dengan tugasan harian seperti memasak, membasuh pakaian, mencuci tempat tinggal serta menghadiri kelas-kelas pengajian agama setiap hari.

Katanya, atas komitmen tinggi dan kesungguhan ditunjukkan, kumpulan pelajar warga emas itu berjaya menghafaz ayat suci al-Quran bagi juzuk 30 dengan baik meskipun terpaksa mengambil sedikit masa.

“Kami di pihak pengurusan Pondok Darul Quran Nurul Hasanah mahu meraikan kejayaan 10 pelajar berusia ini dengan mengadakan satu majlis konvokesyen bagi menzahirkan jutaan tahniah kepada mereka atas segala pengorbanan dan kesungguhan menghafaz ayat-ayat suci al-Quran.

“Selain mereka diraikan bersama ahli keluarga tercinta pada hari yang bersejarah ini, kita juga mahu menunjukkan kepada mereka bahawa golongan hufaz akan lebih diraikan oleh Allah pada hari pembalasan kelak dan ia adalah kejayaan yang lebih besar,” katanya yang ditemui Mega Mimbar baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, penganjuran majlis keramaian itu diharap menjadi penyuntik semangat dan memotivasikan ahli keluarga serta orang ramai untuk menghafaz al-Quran atau setidak-tidak membentuk rasa cinta yang mendalam terhadap kitab suci tersebut.

Menurutnya, meskipun telah lanjut usia, perkara tersebut bukan satu alasan dan penghalang buat umat Islam untuk tidak mahu menghafaz al-Quran sedangkan 10 pelajar warga emas tersebut mampu melakukannya dengan baik.

Sehubungan itu katanya, penganjuran majlis meraikan 10 orang pelajar tersebut mampu menjadi penyuntik semangat buat seluruh umat Islam, selain bertekad untuk sentiasa mendampingi al-Quran.

Sementara itu, membicarakan tentang Pondok Darul Quran Nurul Hasanah, Yusri berkata, pondok pengajian warga emas dan pusat penjagaan Islamik itu telah beroperasi sejak enam tahun lalu di atas tanah wakaf seluas 1.2 hektar dengan menempatkan 110 buah unit kediaman beserta beberapa kemudahan lain seperti perkhidmatan inap desa, surau serta kelas menunggang kuda.

Menurutnya, atas permintaan menggalakkan daripada orang ramai, pihak pengurusan akan membuka sebuah lagi pondok pengajian warga emas di daerah sama dengan keluasan 0.8 hektar dan bakal menempatkan 60 unit kediaman.

“Pondok pengajian warga emas kedua ini telah siap 98 peratus dan dijangka beroperasi pada Mac ini. Alhamdulillah, ini merupakan satu kejayaan buat kami untuk meningkatkan lagi kecintaan orang ramai kepada Islam dan al-Quran,” katanya yang turut mempunyai sebuah pusat tahfiz untuk anak-anak muda.