Bencana alam seperti banjir, letusan gunung berapi, tsunami, gempa bumi dan ribut taufan membawa musibah tanpa mengira waktu dan tempat.

Namun begitu, kemajuan sains dan teknologi tetap ada manfaatnya. Bukan hanya berita tentang bencana alam boleh dikongsi dengan cepat, begitu juga dengan kerja menyelamat dan membantu mangsanya.

Antara yang peroleh manfaat adalah Humanitarian Care Malaysia (MyCare). Dengan kecanggihan alatan komunikasi, gerak kerja bagi membantu mangsa bencana alam di Sulawesi dilancarkan sebaik sahaja berita tentangnya diketahui.

“MyCare telah mengaktifkan gerak kerja misi kemanusiaan dan antaranya, melancarkan kempen mengumpulkan dana bantuan bermula awal bulan ini.

“Setakat ini, kami telah peroleh lebih RM60,000 dan jumlah itu boleh dikatakan meningkat setiap ketika,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar ketika ditemui Mega Mimbar di pejabat MyCare, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Beliau yakin dengan kecanggihan teknologi komunikasi semasa, termasuk kemudahan menderma melalui dalam talian, jumlah kutipan mampu menghampiri angka RM500,000.

Ini kerana, tambahnya, para dermawan MyCare bukan hanya berada dalam negara ini tetapi turut membabitkan individu atau organisasi prihatin luar negara.

“Kalau bencana alam di Lombok, Indonesia, tabung dana kami boleh capai RM300,000, maka bencana alam di Sulawesi yang dianggap ngeri dan menakutkan, kutipannya dijangka melebihi angka tersebut.

“Bukan hanya jumlah kematian yang tinggi, bahkan banyak bangunan, rumah dan infrastruktur awam musnah sama sekali dalam kejadian tersebut,” katanya.

Setakat ini, hampir 2,000 orang dilaporkan terkorban sementara lebih 5,000 orang masih hilang dalam gempa bumi bermagnitud 7.2 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 6.02 petang waktu Malaysia di Sulawesi, Indonesia pada 28 September lalu.

Bandar Palu menerima ke­san paling buruk bukan hanya dipenuhi sisa runtuhan bangunan, timbunan kayu dan besi buruk, tetapi juga ancaman penyakit seperti masalah kulit dan kolera, serta penduduk tidak mendapat bekalan air bersih yang secukupnya.

BUKAN SEKADAR HULUR MAKANAN

Sudah menjadi suatu kemestian bagi NGO kemanusiaan untuk menghantar satu pasukan kecil untuk melakukan tinjauan secara teliti di kawasan atau tempat yang dilanda bencana alam.

Serentak itu, MyCare telah menghantar pasukan pertamanya yang dianggotai tiga orang wakil ke kawasan kejadian pada Ahad lalu bagi membuat tinjauan dan mengagihkan bantuan kecemasan.

Menurut Kamarul Zaman, misi pertama MyCare tersebut bukan hanya dibekalkan dengan wang tunai sebanyak RM50,000 tetapi bantuan perubatan sumbangan syarikat farmaseutikal tempatan.

Katanya, pasukan yang dibantu oleh sebuah NGO tempatan, PKPU Human Initiative mengunjungi beberapa tempat kejadian dan antaranya adalah bandar Palu, Mamboro di Donggala Utara dan beberapa buah kampung sekitarnya.

“Wang tunai tersebut digunakan untuk membeli barangan yang diperlukan mangsa seperti makanan, pek kebersihan untuk wanita dan kanak-kanak, khemah sementara serta keperluan-keperluan lain yang sesuai.

“Kami tidak bawa barangan keperluan itu dari sini bagi mengelakkan sebarang pembaziran kerana tidak tahu situasi sebenar di tempat kejadian,” katanya.

Bukan hanya berpeluang menyaksikan kerja-kerja menyelamat, mereka turut sempat melihat sebuah kapal nelayan yang dikatakan dibawa sejauh satu kilometer ke darat, di samping bau hanyir mayat yang masih kuat.

Pasukan itu turut dimaklumkan angka sebenar korban akan meningkat lebih 40,000 kerana ada tempat atau kawasan tertentu yang ditelan bumi sedalam 20 meter ke bawah tanah.

Kebanyakan penduduknya tidur di luar rumah dan di khemah yang disediakan kerana masih trauma dan khuatir akan berlaku lagi gegaran. Buktinya, selama dua hari berada di sana, mereka dapat merasai lebih lima kali gegaran dan paling tinggi dicatatkan adalah 5.2 skala Richter.

Peranan pasukan peninjau

DALAM masa sama, kata Kamarul Zaman, kumpulan pertama tersebut turut melakukan tinjauan bagi mengenal pasti apakah bentuk bantuan diperlukan selepas kerajaan Indonesia mengumumkan keadaan kembali pulih.

Pihak MyCare, tambahnya, menganggap usaha itu penting kerana misi kemanusiaan bukan sekadar aktif membantu ketika sesuatu bencana alam masih berlaku.

Ini kerana, katanya, tempoh masa selepas bencana alam sebenarnya cukup kritikal bagi kalangan mangsa kerana pemulihan mental dan fizikal akan mengambil masa agak panjang.

“Dalam hal ini, saya yakin kerajaan Indonesia ada langkah-langkah proaktif untuk tanganinya tetapi saya percaya mereka tetap memerlukan bantuan dan sokongan NGO kemanusiaan.

“Usaha pemulihan itu perlu dilakukan secepat mungkin kerana mangsa bukan hanya trauma tetapi kehilangan sumber pendapatan untuk kesinambungan hidup,” katanya.

Antara bantuan yang diperlukan dalam tempoh itu adalah sumber air bersih, binaan khemah sementara, alatan memasak, pakaian dan bekalan makanan yang berterusan.

Selain itu, Kamarul Zaman berkata, usaha sedemikian perlu bagi mengelakkan wujudnya sebarang pertindihan bantuan sama ada antara sesama NGO atau agensi kerajaan, sekali gus mengelak pembaziran.

Bantuan boleh dihulurkan ke akaun

Maybank Islamic

5515-7500-4299

Bank Islam

1209-20100-34904

Humanitarian Care Malaysia Berhad