Suatu petang, padang hadapan surau kami dilawati sekumpulan lelaki beragama asing. Padang tersebut menarik perhatian mereka kerana ada sebatang pokok besar bersama sebuah busut.

Menghidu niat tersebut, pihak pengurusan surau bertindak tegas membanteras bencana akidah yang bakal menjelma itu dengan meratakan busut tersebut. Segera kami padamkan tunas api syirik dengan memasang papan tanda menegaskan bahawa padang itu berada dalam jagaan surau.

Ini antara bentuk tipu daya syaitan kepada manusia. Ada yang disesatkan syaitan hanya dengan sebatang pokok, sedangkan pokok adalah makhluk Allah yang patuh kepada-Nya. Si pokok memberi teduhan panas mentari, tadahan limpahan air hujan, pembekal oksigen dan sebagainya.

Perihal patuh atau sujudnya pokok kepada sistem aturan Allah di alam disebut al-Quran ertinya: “Tidakkah engkau tahu bahawa segala yang ada di langit dan bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok kayu, binatang, serta sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak pula (antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufuran dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah, maka dia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya.” (al-Hajj 22:18).

Kisah rosak akidah kerana pokok pernah berlaku pada zaman Rasulullah. Di sini saya kongsikan dua kisahnya:

1- Tempat menggantung senjata Arab Jahiliah.


- Ertinya: “Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW keluar ke Hunayn, Baginda melewati sebatang pokok yang dipuja Musyrikin. Pokok itu digelar – Dhat Anwat – tempat menggantung, iaitu tempat Musyrikin menggantung senjata mereka. (Mereka juga kunjungi pokok ini setiap tahun untuk menjalankan perbagai upacara karut seperti menyembelih haiwan). Lalu mereka (beberapa Arab Badwi yang ada bersama rombongan Rasulullah) berkata: “Wahai Rasulullah! Buatlah untuk kami pokok tempat menggantung seperti yang mereka miliki.” Baginda lalu menjawab: “Maha Suci Allah (daripada sebarang bentuk syirik), (permintaan kamu) ini saling tidak ubah seperti permintaan kaum Nabi Musa yang berkata; ‘buatlah untuk kami Tuhan (dalam bentuk berhala) sebagaimana mereka (para penyembah berhala) juga miliki Tuhan. Demi yang jiwaku berada dalam tangan (kuasa)–Nya, kamu pasti akan mengikut jejak langkah (sesat) orang sebelum kamu (jika tidak dibendung),” - Sunan at-Tirmizi dan Musnad Ahmad

Apa yang disebut Rasulullah itu berkait rapat dengan perangai lupa diri Bani Israel yang meminta agar Allah turut dijadikan berhala:
Ertinya: “Dan Kami bawakan Bani Israel ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala mereka. (Melihatkan demikian) mereka (Bani Israel) berkata; “Wahai Musa a.s. buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. “Sesungguhnya mereka (penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada dalamnya (perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa mereka kerjakan itu” (al-A’raf 7:138-139).

2- Rasulullah dan sahabat berjanji taat dalam peristiwa Hudaibiah.


- Ringkasnya, peristiwa itu berlaku pada bulan Zulkaedah tahun ke 6 Hijrah. Rasulullah keluar bersama kira-kira 1,500 sahabat menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah. Kedatangan Rasulullah bersama rombongan Madinah menimbulkan keresahan Musyrikin Mekah. Bagi mengelakkan pertumpahan darah, Baginda menghantar sahabat Uthman bin ‘Affan r.a. ke Mekah untuk berunding dan menyatakan hasrat sebenar umat Islam.

Selepas itu tersebar khabar angin mengatakan Uthman r.a. dibunuh oleh Musyrikin Mekah. Berikutan itu, Rasulullah dan para sahabat ‘berjanji taat setia bawah sebatang pokok di Hudabiah’ untuk menuntut bela atas kematian Uthman dan tidak akan lari daripada medan juang walaupun menggadai nyawa.

Selepas khabar janji taat setia umat Islam itu diketahui Musyrikin Mekah, mereka berasa gentar dan melepaskan Ithman. Kemudiannya termeterailah perjanjian Hudaibiah antara Rasulullah dan Musyrikin Mekah. 


POKOK JUGA MAKHLUK

Kisah Baiah al-Ridhwan itu direkodkan al-Quran ertinya: “Demi sesungguhnya, Allah reda dengan orang beriman, ketika mereka memberikan janji taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pokok (yang termaklum di Hudaibiah); maka (dengan itu) ternyata apa sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia turunkan ketenangan kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.” (al-Fath 48:18).

Pernah orang bertanya, di manakah lokasi pokok tersebut? Adakah pokok bersejarah itu punyai keberkatan tersendiri? Rupanya lokasi pokok ini ada ceritanya tersendiri dalam sebuah riwayat:

Ertinya: “Tariq bin Abdul Rahman menceritakan; (pada suatu hari) Aku bertolak ke Mekah untuk menunaikan haji. Aku kemudiannya melewati sekumpulan manusia yang sedang solat di sebuah tempat. Aku bertanya apa (signifikan) tempat mereka solat itu. Mereka menjawab bahawa itu adalah pokok Rasulullah melakukan Baiah al-Ridhwan (dalam peristiwa perjanjian Hudaibiah). Selepas itu aku berjumpa Said bin al-Musayyab (seorang murid sahabat nabi) dan menceritakan kepadanya perihal pokok tersebut. Said lantas menjawab: Ayahku (seorang sahabat nabi) yang terlibat secara langsung dalam peristiwa Baiah itu pernah memberitahuku, ‘apabila kami keluar untuk menunaikan umrah ganti pada tahun berikutnya (tahun ke-7 Hijrah sebagaimana disepakati dalam perjanjian Hudaibiah), kami lupa lokasi pokok itu dan tak mampu mencarinya.’ Said lantas berkata lagi; para sahabat Muhammad tidak pasti di mana lokasinya (pokok itu), tapi kalian pula yang tahu lokasinya. Mustahil kamu lebih tahu (daripada para sahabat yang terlibat sendiri dalam peristiwa itu)?” - Sahih Bukhari

Ketika menghuraikan riwayat yang sama, Imam al-Nawawi menulis:
Ertinya: “Para ulama berkata; sebab tersembunyinya lokasi pokok itu adalah supaya manusia tidak terfitnah (terpesong akidah) dengan pokok itu, kerana (akan ada kepercayaan jika) berjalan bawah pokok itu adalah suatu kebaikan (berpahala) dan akan beroleh keredaan (Allah) serta ketenangan dan banyak lagi. Jika pokok itu kekal wujud dan diketahui (secara tepat) lokasinya, dibimbangi orang Arab Badwi dan orang jahil akan mengagungkan serta beribadat kepadanya. Oleh itu, penyembunyian lokasi pokok itu menjadi rahmat daripada Allah.” - Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi

Aduhai! Cukuplah sindiran Said ibn al-Mussayab dan ulasan Imam al-Nawawi ini menjadi teguran kepada kita semua agar tidak lebih memandai daripada sahabat Rasulullah dalam urusan agama.

Jelas sekali Islam bukan agama rapuh serapuh ranting kering pada sebatang pokok. Islam mengangkat darjat akal manusia dengan pengabdian kepada Tuhan sebenar yang mencipta pokok dan seluruh alam semesta.