Lidah adalah sejenis anggota tidak bertulang, pergerakannya bebas tanpa batas. Apa yang diucapkannya tidak semestinya seiring dengan isi jiwa raga. Nabi SAW sangat risau kelahiran banyak orang munafik yang alim lidahnya.

Sabda Rasulullah ertinya: “Sesungguhnya apa yang sangat aku risaukan (muncul) dalam umatku adalah orang munafik yang lidahnya sangat berpengetahuan (bercakap baik dan menyuruh orang melakukan kebaikan tetapi sebenarnya berjiwa kotor),” - Musnad Ahmad

Munafik jenis ini turut didedahkan sifatnya oleh Allah SWT dalam al-Quran ertinya: “Dan dalam kalangan manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu),” (al-Baqarah 2:204)

Sindrom ‘cakap tak serupa bikin’ sudah lama wujud sebelum Rasulullah dibangkitkan. Buktinya Allah memahat dalam al-Quran teguran keras kepada sesetengah Ahli Kitab yang dijangkiti sindrom ini.

Sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (al-Baqarah 2:44).

Ayat ini pada asalnya diturunkan Allah untuk menegur para ilmuwan Ahli Kitab yang galak ‘berforum perdana’ menegur orang agar melakukan kebaikan tetapi hakikatnya mereka lupa diri sendiri.

Disuruhnya orang bersedekah tetapi hartanya dikunci ketat dalam peti besi. Disarannya orang beribadat sunat tapi akaun pahala sunatnya sudah bertahun tiada peningkatan.

AZAB PEDIH

Walaupun ayat ini menegur mereka, isinya tetap relevan untuk semua umat Nabi Muhammad. Buktinya, pada malam Nabi diterbangkan ke langit (Israk & Mikraj), Baginda menyaksikan suatu pemandangan yang menggentarkan jiwa:

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Pada malam aku dibawa berjalan malam (ke langit) aku melewati satu kaum yang digigit (kepit) bibir mereka dengan pemotong api. Aku tanya kepada Jibril; Siapa (dan apa punca azab) mereka ini?” Jibril menjawab: “Mereka adalah pendakwah dan ilmuwan (dalam kalangan) umatmu di dunia yang dahulunya menyuruh orang melakukan kebaikan tetapi melupakan diri mereka sendiri, sedangkan mereka sentiasa membaca al-Quran. Mengapakah mereka tidak berfikir?” - Musnad Ahmad

Bukan setakat itu, Allah turut menegur umat Islam pada zaman Nabi yang bersungguh-sungguh mahu berjihad ketika diganyang Musyrikin Quraisy di Mekah, tetapi gentar serta berat hati mendaftar diri untuk berjihad bersama Rasulullah SAW setelah diwartakan di Madinah. (Tafsir Ibn Kathir)

Firman Allah ertinya: “Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu katakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya,” (al-Saff 61:2).

Manusia yang lidahnya mudah memberi peringatan kepada orang dalam bentuk larangan atau suruhan harus berwaspada dalam tutur lidah kerana akan diaudit Allah.

Bergetar hati penulis ketika membaca peringatan Nabi yang menggambarkan azab kepada golongan ini. Sabda Rasulullah SAW ertinya: “Pada hari kiamat kelak, seorang lelaki akan dicampak ke dalam neraka, lalu usus perutnya terkeluar membelit badan. Dia berputar seperti keldai berputar mengelilingi mesin kisar (dalam keadaan mata tertutup). Ahli neraka (yang kehairanan) segera berkumpul menghampirinya dan bertanya “Wahai si fulan, kenapa kamu diperlakukan sebegini? Bukankah kamu dahulu (orang baik) yang selalu menyuruh kami berbuat kebaikan dan melarang kami daripada kejahatan?” Dia menjawab: “(Memang) dahulu aku menyuruh kalian melakukan kebaikan, tapi aku sendiri tidak melakukannya. Aku juga melarang kalian daripada kemungkaran, tapi aku sendiri melakukannya” - Sahih Bukhari dan Muslim

CONTOHI NABI SYUAIB

Usah sesekali melarang orang tetapi kita yang menjuarai carta melakukan dosa tersebut. Contohilah Nabi Syuaib a.s. yang berusaha meletakkan tindakan baginda selari dengan tutur kata.

Firman Allah ertinya: “Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku (berada dalam kebenaran) berdasarkan bukti yang nyata daripada Tuhanku, dan Dia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripada-Nya, (patutkah aku berdiam diri daripada melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku bertujuan memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali.” (Hud 11:88)

Pernah seorang sahabat Rasulullah, Abdullah bin Mas’ud r.a. disindir seorang wanita tentang hukum menyambung rambut palsu. Kisah ini disebut Imam Ibn Kathir dalam kitab ertinya:

Masruq menceritakan seorang wanita datang bertemu Ibn Mas’ud lalu bertanya: “Adakah benar kamu melarang menyambung rambut?” Ibn Mas’ud menjawab: “Ya!” Wanita itu berkata: “(Kamu melarang orang, tetapi) boleh jadi ada mana-mana isterimu sendiri yang melakukan larangan ini.” Ibn Mas’ud menjawab tegas: “(Jika aku berbuat begitu, melarang orang sesuatu yang aku sendiri lakukan) tidaklah (layak) aku hafaz nasihat seorang hamba Soleh (Nabi Syuaib a.s. yang disebut al-Quran): “Aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya”? (Tafsir Ibn Kathir).

Oleh itu, selarikan tarian lidah dengan tingkah laku kita yang sebenar. Setiap kali menutur nasihat atau menegur yang jahat, letak cermin iman di hadapan diri agar semua perkataan yang keluar segera terpantul pada diri.

Tingkatkan nisbah tegur diri sendiri berbanding orang lain, mudah-mudahan ia mampu menjadikan kita penasihat sebenar.