Masih segar dalam ingatan seorang pembayar wanita berusia hampir 70 tahun, namun melaram bak anak dara gayanya. Ratusan ribu wang pelaburannya itu seolah-olah belum cukup untuk memenuhi ‘dunianya’.

“Memang zakat ni kena setiap tahun ke? Habis la semua simpanan macam ni!” Sekali lagi perkataan ‘habis’ diulang-ulangnya.

Saya menarik nafas sedalam mungkin. Mahu memberikan jawapan kepada sebuah ketidakfahaman dan minda yang terpenjara selalunya agak mencabar dan menipiskan kesabaran.

“Ya puan. Zakat diwajibkan selagi kita memiliki nisab dan berlalu haul setiap tahun. Ini kewajipan yang Allah minta puan. Harta semua milik-Nya. Kita hanya menguruskan mengikut kehendak-Nya,” saya cuba menerangkan.

“Macam tu ke? Boleh habis duit macam ni…” Lagi-lagi itulah yang dirisaukan.

Setelah menghimpunkan segala kekuatan saya kembali menerangkan. Sehelai kertas putih menjadi medium penerangan. Garis masa dan jumlah harta dilukis. Jarak masa itu berjumlah 40 tahun. Kerana zakat itu nilainya 1/40 daripada keseluruhan harta. Gambaran ‘tarikh’ sebenar harta itu akan benar-benar ‘habis’ jika hanya dikeluarkan zakat tanpa penambahan pelaburan.

Syukur, akhirnya dengan coretan itu mengilhamkan sebuah kesedaran. Garis masa yang bermula dari umur 70 tahun dan akan berakhir pada umur 110 tahun, merupakan tarikh sebenar hartanya itu akan benar-benar habis, telah ‘menghabiskan’ hujahnya dan memberi kefahaman yang usianya lebih dahulu akan ‘habis’ sebelum masa sebenar hartanya pula akan habis.

MUNAFIK HARTA

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 2-4:

“Sesungguhnya orang yang beriman ialah ketika disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal. Mereka itu adalah orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.”

Tatkala Allah SWT menyebut tentang ciri-ciri orang beriman, sentiasa sahaja unsur menafkahkan harta yang direzekikan itu akan menjadi fokus utama.

Sebenarnya maksud beriman adalah dengan pembuktian. Bukti iman dengan harta adalah dengan ibadah yang dilakukan menerusinya.

Jika ini maksud iman, maka lawannya adalah kekufuran dan kemunafikan. Jika zakat, infak dan sedekah itu bukti iman, sebaliknya kedekut dan bakhil pula adalah sebenarnya bentuk kemunafikan. Munafik harta! Itu yang selayaknya digelar buat mereka yang masih belum sedar daripada lena. Sesungguhnya iman dan sifat bakhil itu tidak mungkin bersatu di dalam sebuah jasad.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Tidak akan berhimpun di antara debu-debu pada jalan Allah dan asap dari neraka jahanam dalam dua lubang hidung seorang Muslim itu selamanya-lamanya. Tidak sama sekali akan berhimpun antara iman dan sifat kedekut itu di dalam hati seorang Muslim itu selama-lamanya,” - Riwayat Nasa’ie, Ibn Majah dan Ahmad.

Begitu juga perihal kemunafikan ini dapat dilihat terutama bagi mereka yang suka menabur janji manis sebelum memiliki harta, iaitu pasti akan diperuntuk bahagian untuk sedekah dan infak. Namun hakikatnya tatkala harta telah dimiliki saat itu kebakhilan datang menyelimuti diri, alasan menderu tanpa henti dan dolak-dalik menjadi perisai diri.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 75-77:

“Ada antara mereka yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: “Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami daripada limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi daripada orang yang soleh. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.”

Lebih parah lagi kemunafikan itu mendalangi dan meracuni pemikiran masyarakat agar mereka pula tidak berusaha dalam membangun agama menerusi kewajipan sosial. Ada sahaja komentar dan serangan negatif diberikan khasnya apabila melibatkan institusi zakat. Mereka seolah-olah ‘berperang’ menghancurkan sesama saudara Muslim lain di tengah medan ekonomi umat. Mereka merasakan yang semua harta itu adalah milik mereka untuk diperlakukan semahunya. Sedangkan hakikatnya, manusia ini tiada satupun yang dimilikinya kecuali meminjam segala-galanya daripada Yang Maha Esa.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Munafiqun ayat 7:

“Mereka mengatakan (kepada orang Ansar): “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka lari (meninggalkan Rasulullah)”. Padahal kepunyaan Allah segala perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang munafik itu langsung tidak memahami.”

MASIH BELUM IKHLAS

Secara jujur tanyakan pada diri kita. Berapakah mahar yang sanggup dibayar bagi memiliki satu tempat dalam syurga Allah? Apakah telah cukup sumbangan kita hingga layak dipanggil masuk dari pintu syurga bernama sedekah? Apakah dalam mencari manfaat akhirat, kita masih lagi bertopang dan beralaskan dunia?

Maimun bin Mihran pernah berkata: “Aku bersedekah lalu aku mendapati rezeki dan hartaku semakin bertambah. Lantas sahabatnya bersuara: Aku juga sedemikian, tetapi malangnya rezeki dan hartaku dirasakan semakin berkurangan!. Maimun menjawab persoalan sahabatnya dengan berkata:

“Aku bersedekah kerana yakin akan kesan ikhlas bermuamalah dengan Allah, sedangkan engkau bersedekah dengan niat hanya untuk mencuba!”

Semoga kita digolongkan dalam kalangan mereka yang mampu mentalakkan pesona dunia lantas berakad erat dengan akhirat. Selamatkanlah diri kita dari setiap sisi kemunafikan sama ada harta mahupun iman!