Walau bagaimanapun, antara yang mungkin menjadi antara masalah utama bakal jemaah umrah atau haji adalah aspek kesihatan diri. Ini kerana, suasana di Mekah atau Madinah cukup berbeza dengan apa yang dilaluinya ketika di Malaysia.

Keadaan sedemikian menyebabkan ada kalangan jemaah sering kali rasa tertekan, bimbang atau risau secara berlebihan hingga sukar melaksanakan ibadat wajib dan sunat di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.

Ini selari dengan apa yang ditekankan oleh Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika merasmikan Seminar Kesihatan Ke Arah Kesempurnaan Manasik Haji dan Umrah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

“Ada jenis penyakit yang mungkin tidak akan kita alami ketika berada di Malaysia tetapi semasa di Tanah Suci, ia mudah dijangkiti. Ini kerana, cuaca, budaya dan gaya hidup hariannya amat berbeza sama sekali.

“Lebih-lebih lagi, lebih 30 peratus jemaah haji adalah berusia lingkungan 70-an manakala 50 peratus lagi berumur 50 tahun ke atas,” katanya.

Seminar dianjurkan oleh Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa FSK UKM.

Para hadirin tidak hanya berpeluang mendengar ceramah kesihatan diri tetapi turut berkesempatan menjalani pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh para doktor FSK UKM.

Kepentingan isu kesihatan diri turut diakui oleh Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan dengan menekankan aspek persediaan rapi daripada segi pengetahuan dan kaedah penjagaannya.

Justeru katanya, penting bagi semua bakal jemaah haji mahupun umrah untuk membuat persiapan diri, mendapatkan penerangan yang tepat daripada pakar kesihatan secara menyeluruh, seterusnya melakukan pemeriksaan kesihatan awal.

“Antara perkara penting perlu dititikberatkan bakal jemaah adalah aspek kesihatan psikologi, kecergasan fizikal, penerangan tentang jangkitan kuman dan vaksinasi khusus untuk bakal jemaah, penglihatan dan pendengaran sihat, diet sihat, kesihatan kaki serta psikologi klinikal.

“Begitu juga dengan perkhidmatan saringan kesihatan yang perlu dibuat lebih awal bagi mengetahui status kesihatan diri agar mempunyai masa cukup untuk merawatnya,” katanya.

PERSEDIAAN MENTAL

Sebagai langkah pertama, bakal jemaah haji atau umrah boleh memberi tumpuan kepada aspek psikologi mental. Ia bertujuan memudahkan mereka berasa tenang setiap kali berdepan dengan apa jua keadaan.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Kesihatan di FSK UKM, Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, antara teknik yang boleh digunakan adalah pernafasan melalui perut.

Ini kerana tambahnya, ia adalah antara teknik senaman untuk merangsangkan bahagian otak supaya lebih bertenaga dan mempunyai perasaan atau pemikiran yang lebih positif.

“Bila seseorang itu ada rasa bertenaga dan positif, ia berpotensi besar untuk mengurangkan rasa sakit, kebimbangan, risau dan tertekan,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Relaksasi dan Ibadah Umrah dan Haji: Perspektif Psikologi Kesihatan.

Beliau turut berkongsi teknik pernafasan melalui perut bagi proses pemulihan fizikal pesakit strok atau angin ahmar.

“Sebaik-baiknya, senaman tersebut perlu dilakukan bukan di tempat bising atau sesak dan pada saya, waktu terbaik adalah selepas solat fardu lima kali sehari itu,” katanya.