Ayat itu adalah suara cetusan syaitan dalam diri manusia ketika berhadapan dengan gelojak jiwa untuk memaafkan kesilapan orang.

Memaafkan kesilapan orang bunyinya mudah, tetapi sangat berat pada ego. Ego mendesak agar amarah dan dendam dilayan. Tambah parah apabila syaitan mengambil tempat membakar jiwa bersama nafsu.

Apabila merasai sendiri perang dalam jiwa antara pasukan dendam dan maaf, barulah kita tahu bahawa perkataan ‘maaf’ bukan mudah pada perbuatan walaupun lafaznya sangat pendek serta ringan pada makhraj.

Apakah perlu maaf atau biarkan dendam membara dalam jiwa? Dendam mampu merosakkan jiwa manusia dan menyukarkan laluan mereka ke syurga kerana syurga bukan tempat pendendam.

Firman Allah ertinya: “Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka daripada perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadapan atas pelamin masing-masing.” (al-Hijr 15:47).

Pemaaf adalah sifat manusia hebat. Simpanan atau stok dendam tidak akan bawa manusia ke mana, tetapi sifat pemaaf menjulang tinggi nama manusia.

Menurut sejarah, terdapat banyak contoh manusia yang namanya harum mewangi sepanjang zaman kerana memiliki sifat ini antaranya:

 

Kisah Nabi Yusuf a.s

Firman Allah ertinya: “Yusuf berkata (kepada saudaranya yang pernah menzaliminya dahulu): ‘Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” (Yusuf 12:92).

Subhanallah! Lafaz ayat di atas Baginda ucapkan ketika berada di puncak kuasa. Nabi Yusuf mampu melakukan apa sahaja. Walaupun begitu, kezaliman semua saudaranya yang menyebabkan hidupnya derita dibuang negeri dan terpisah dengan ayah tercinta mampu dimaafkan sekelip mata. Tindakan ini menjulang tinggi nama Nabi Yusuf sehingga akhir zaman selagi surah ini dibaca. 


Kisah Nabi Muhammad SAW

Ketika berkuasa penuh menghukum orang Mekah yang bertahun menzalimi Baginda, Rasulullah turut mengambil sikap sama. Pada hari pembukaan kota Mekah, orang Mekah tunduk malu lagi hina berdiri di depan Baginda. Nasib dan takdir mereka seperti lembu yang terikat kemas menunggu torehan pisau tajam si penyembelih.

Adakah Baginda menghayun pisau menyembelih mereka? Tidak! Sebaliknya Baginda mengucapkan: “Aku ucapkan (kepada kalian wahai penduduk Mekah) sebagaimana kata-kata yang pernah diucapkan saudaraku Yusuf (ketika memaafkan semua saudaranya); “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu).” - Tafsir al-Qurtubi, riwayat ini dinilai lemah oleh ramai ulama hadis.


Kisah Saidina Abu Bakar al-Siddiq

Khalifah Islam pertama itu sedia tunduk patuh pada teguran Allah yang mahu beliau memaafkan dan lupa kesilapan sepupunya, Mistah bin Uthathah r.a. yang tersilap memanjangkan fitnah orang munafik mengenai isteri Rasulullah, Aishah r.a. (Tafsir Ibn Kathir).

Sifat pemaaf beliau direkodkan Allah ertinya: “Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat, orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,” (al-Nur 24:22).

Ayuh, kita berjihad melawan nafsu yang mahu agar dendam dipupuk subur. Percayalah dendam kesumat yang dibaja dalam hati hanya akan menjadi sakit kronik berbahaya kepada jiwa dan jasad.

Kalahkan nafsu dendam dengan sifat pemaaf. Insya-Allah memaafkan kesilapan orang bakal menjadi ubat jiwa yang mujarab walaupun pahit pada awalnya. Sabarlah! Pahit itu ubat!