Hal ini membuatkan ibu kepada anak istimewa Muhammad Habill Jansari, 11, itu sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk memberi pendidikan terbaik buat anaknya terutama agama.

Walaupun mengakui mulanya sukar menerima kenyataan anaknya disahkan mengalami autism pada usia empat tahun, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Shamsudin Nain, Rantau, Negeri Sembilan itu perlahan-perlahan mula menyedari hakikat bahawa anak tersebut adalah aset buatnya, bukan sekadar liabiliti.

Bangkit daripada kesedihan, beliau nekad membentuk Habill menjadi insan istimewa berjaya bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat.

Selain menghantar ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dia turut menghantar anaknya ke kelas pengajian al-Quran dan fardu ain di Rumah Ngaji Sheikh, Rasah, Negeri Sembilan.

“Sejak usia empat tahun lagi saya mula sedar sesuatu yang berbeza pada Habill. Apabila saya mula mencari dan membuat pemerhatian sendiri di Internet tentang tanda-tanda autism, saya dapati 70 peratus sifat itu ada padanya.

“Ketika mendapat pengesahan pakar, hampir seminggu juga saya menangis kerana sedih dan berat menerima hakikat ini. Namun, saya sedar ini adalah ujian Allah berikan yang perlu kami lalui sebaiknya.

“Sebelum ini saya mengajar Habill mengaji al-Quran sendiri di rumah dan selepas mendapat tahu Rumah Ngaji ini menawarkan pembelajaran kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran, jadi saya menghantarnya ke sini,” katanya ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, ibu kepada tiga cahaya mata itu berharap anaknya mampu mengenali diri sendiri dan taat kepada perintah agama.

“Saya percaya menerusi pendedahan al-Quran dapat menenangkan rohani anak istimewa seperti Habill ini, biarlah dia tidak fasih mengaji seperti anak normal lain, tetapi yang lebih penting perubahan sifat dan tahu tentang agama,” ujarnya.

TIKET KE SYURGA

Sementara itu, Nur Hanisah A. Bakar nekad mengetepikan cita-citanya untuk meluangkan sepenuh masa membantu ibu bapanya mendidik adiknya Nurul Fatihah A. Bakar, 14, yang mengalami sindrom Down.

Lulusan jurusan Psikologi dari Universiti Sains Malaysia itu berkata, ia bagi mengelakkan adiknya yang dikesan berstatus istimewa sejak dari kecil itu agar tidak keciciran pendidikan terutama pengetahuan agama.

“Dalam keluarga kami, Fatihah merupakan anak terakhir daripada enam adik beradik dan hanya dia seorang yang istimewa seperti ini. Saya sedar sudah banyak membuang masa melakukan urusan lain dalam hidup, oleh itu, saya bersetuju mengambil tanggungjawab membantu emak dan ayah menjaganya.

“Sebelum ini kami belum pernah menghantar Fatihah belajar mengaji al-Quran di mana-mana pusat pengajian, hanya ke sekolah pendidikan khas sindrom Down dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Panchor Jaya.

“Kami berharap, di Rumah Ngaji ini, menjadikan dia lebih dekat dengan Allah. Biarpun tidak pandai mengaji, saya yakin dengan mukjizat al-Quran dapat memberi sesuatu dalam dirinya dan kami berharap, dengan pengorbanan ini menjadikan Fatihah sebagai tiket kami sekeluarga ke syurga,” katanya.

Dalam pada itu Mimi Masura Jamaludin berkata, anaknya Haazieq Ibrahim Shamshul Qamal, 6, menunjukkan perkembangan positif selepas dua minggu dimasukkan ke Rumah Ngaji tersebut untuk mempelajari al-Quran.

“Alhamdulillah, berkat al-Quran, Hazieq sudah mula mengenal surah-surah lazim, begitu juga selawat dan mengingat 99 nama Allah Asma ul-Husna. Walaupun tidak selancar dan fasih orang normal, tetapi saya sangat bersyukur.

“Saya berharap selepas ini dia mampu untuk mengaji al-Quran dan menunaikan solat lima waktu sendiri untuk memulihkan keadaannya. Bagaimanapun, saya tidak paksa tetapi jika berjaya itu satu bonus kepada saya dan diri dia sendiri,” katanya.

Mimi turut menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa agar tidak menyembunyikan status tersebut daripada masyarakat kerana hanya akan merugikan anak tersebut.

“Jangan sesekali malu untuk berhadapan dengan masyarakat, berikan mereka sebanyak mungkin pendedahan pendidikan agar mereka tidak ketinggalan.

“Sebagai ibu bapa, juga perlu mengetahui keistimewaan dan tahap kebolehan anak-anak agar kita dapat mendedahkan kepada mereka mengikut kemampuan mereka,” katanya.